Oleh pada 24 Aug 2023 kategori

Salah satu undang-undang unik yang ada, melibatkan status kewarganegaraan di antara dua buah negara berbeza digunapakai Korea Selatan dalam menerima kemasukan pendatang tanpa izin Korea Utara. 

Berbeza dengan banyak negara lain, Korea Selatan melihat warga Korea Utara sebagai sebahagian daripada mereka. Mereka yang ingin lari ke Selatan, dibenar untuk menceroboh masuk dan kerajaan Korea Selatan akan menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh kerana wujud jurang ketara corak hidup di Korea Utara dengan jirannya, kerajaan Korea Selatan melihat ada keperluan mewujudkan program khusus dalam mendidik dan menyediakan 'pengkhianat-pengkhianat' ini untuk mampu hidup kendiri dalam negara baru.

Di sinilah, pusat pendidikan yang dikenali dengan nama Hanawon memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu proses asimilasi berlaku.

Hanawon - pusat penyatuan masyarakat yang terpecah

bangunan hanawon korea selatan

Dinamakan Hanawon atau 'Pusat Penyatuan', kompleks ini dikenali masyarakat antarabangsa sebagai Settlement Support Center for North Korean Refugees atau Pusat Sokongan dan Penempatan Pelarian Korea Utara.

Dibuka di bandar Anseong yang terletak kira-kira satu jam perjalanan daripada ibu negara Seoul, semua warga Korea Utara yang melarikan diri diwajibkan hadir ke Hanawon secara mandatori. 

Setiap peserta program dilabelkan sebagai 'North Korean Defectors' atau singkatannya NKD, harus menjalani program pemulihan dan pendidikan selama 3 bulan yang diharap membantu mereka hidup di negara baru mereka dengan baik. 

Walaupun begitu - demi memastikan keberjayaan program dan kelancaran kursus tidak terganggu, semua NKD yang didaftarkan tidak akan dibenar meninggalkan Hanawon selagi mana mereka belum disahihkan tamat kursus disediakan.

Ini bermakna walaupun NKD diterima dengan tangan terbuka, mereka masih perlu ditahan di Hanawon untuk beberapa bulan, sebelum dibenarkan menyertai masyarakat di luar sana.

Ada juga pendapat menyebut, tempoh 3 bulan itu perlu bagi memudahkan pegawai Korea Selatan menilai siapakah di antara pelarian ini mata-mata kerajaan Korea Utara cuba menyusup masuk.

Peranan Hanawon yang semakin meluas

kelas yang dibuka di hanawon

Semenjak dekad 90-an jumlah NKD didaftarkan Hanawon semakin meningkat tahun ke tahun, dengan individu berusia di antara 20-an ke 30-an menjadi kategori usia terbesar melakukan penghijrahan ini.

Dianggarkan di seluruh Korea Selatan, sudah ada lebih 30,000 NKD berdaftar selamat memulakan hidup baru sejak 3 dekad lalu.  Walau bagaimanapun angka NKD turun mendadak beberapa tahun kebelakangan ini akibat bermacam faktor.

Yang pertama, adalah disebabkan gejala COVID-19 yang melanda. 

Selain itu kerajaan Korea Utara juga telah melakukan beberapa perubahan drastik dalam mengetatkan kawalan sempadan mereka dengan penambahan petugas yang menjaga pintu masuk. 

Faktor perubahan dasar kerajaan China yang satu ketika dulu menjadi pilihan NKD sebagai jalan keluar utama untuk ke negara-negara lain, juga menyebabkan angka NKD berkurangan.

Ini disebabkan China telah mengisytiharkan mereka akan menghantar pulang mana-mana NKD yang ditemui secara automatik, kembali ke Korea Utara. Atas pelbagai faktor itulah disamping kawalan yang lebih ketat menyukarkan NKD untuk berjaya hadir ke Korea Selatan dengan selamat.

Cabaran mendidik warga Korea Utara memulakan hidup baru

kisah hanawon pusat pendidikan korea utara

Cabaran terbesar yang dihadapi bukan saja oleh NKD yang ditempatkan di Hanawon, bahkan petugas Hanawon yang dilantik kerajaan Korea Selatan adalah keterbatasan NKD dalam pelbagai aspek khususnya pendidikan.

Majoriti rakyat Korea Utara yang tidak mendapat sokongan kerajaan biasanya menamatkan pengajian pendidikan mereka pada usia muda, bagi membolehkan mereka mula bekerja membantu keluarga.

Apabila tiba umur 18 tahun, kerajaan Korea Utara akan memasukkan setiap individu ke dalam skim pekerjaan wajib, di mana setiap orang diberikan kerja yang telah ditetapkan tanpa ada pilihan lain.

Atas pengalaman itulah, individu dewasa yang tiba ke Hanawon tidak ada pendidikan asas yang sangat berguna dalam memastikan mereka boleh hidup sendiri. 

Bagi membantu ketidakmatangan itu, ketika fasa awal kehadiran mereka, setiap NKD diberikan peluang memilih sama ada untuk mempelajari kemahiran vokasional untuk dijadikan asas kemahiran mereka atau masuk ke kelas asas yang layak dikatakan setara pendidikan sekolah rendah.

Adalah menjadi pemandangan biasa di Hanawon pelajar dewasa diajar ilmu membaca, mengira dan menulis, walaupun sudah berusia lebih 20-an.

Apa yang diajarkan di Hanawon? 

kelas teknologi dalam hanawon korea selatan

Selain bertindak sebagai sebuah sekolah, Hanawon mempunyai beberapa silibus unik yang mungkin kedengaran aneh bagi kita.

Semua pelajar tanpa mengambil kira usia akan menjalani perhimpunan pagi pada jam 6.30 pagi, bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Korea Selatan. Mereka mula menjalani kelas tepat jam 9 pagi sehinggalah tamat kelas jam 5 petang setiap hari, untuk tempoh 3 bulan.

Setiap pelatih di Hanawon wajib menjalani kursus bidang teknologi selama 35 jam, yang mendidik mereka asas penggunaan komputer, telefon, internet dan sebagainya yang berkait dalam bidang tersebut.

NKD juga dididik tentang kefahaman pengurusan kewangan, bagi memastikan mereka mampu menangani kos sara hidup secara kendiri.

Konsep asas seperti menabung simpanan sebanyak 10% daripada pendapatan, tatacara penggunaan kredit kad, mengamalkan bajet bulanan dan sebagainya turut mendapat penekanan.

Selain pendidikan teori NKD juga perlu melalui banyak latihan praktikal, di mana mereka akan dilatih menggunakan mesin ATM, belajar adab di tempat awam dan bagaimana mahu memesan dan makan di restoran atau medan selera.

Ganjaran besar untuk yang tamat kursus

korea utara lari dari negara

Bagi memastikan disiplin peserta NKD dapat dikawal selia, kerajaan Korea Selatan memperkenalkan sistem penalti berasaskan skor dan juga penalti kewangan bergantung kepada jumlah bantuan kewangan yang bakal terima selepas tamat kursus di Hanawon.

Sejak mula kursus lagi, semua NKD sudah dimaklumkan sekiranya mereka berjaya menjalani kursus di Hanawon, setiap NKD lulus akan dibekalkan dengan 6 juta Won (sekitar RM21,100) sebagai perbelanjaan memulakan hidup baru. 

Atas pengetahuan itulah sistem penalti kewangan turut diperkenalkan, dalam mencegah kesalahan yang disifatkan serius.

NKD yang terlibat melakukan kesalahan berat seperti jenayah seks, serangan fizikal atau berjudi akan menyebabkan 50% daripada ganjaran di atas akan dipotong daripada kelayakan mereka. 

Bagi NKD yang terlibat dalam insiden menyerang atau mengugut petugas atau guru di Hanawon, sebanyak 30% akan dipotong. 20% daripada keseluruhan ganjaran akan dipotong seandainya NKD melakukan kerosakan pada fasiliti yang disedia atau dipasang dalam kompleks Hanawon. Buat ketiga-tiga kesalahan sekali, habis hilang wang ganjaran!

Walaupun tujuan pusat pendidikan ini dibuka tampak baik, Hanawon tidak dapat lari daripada kritikan.

Ini kerana fasiliti Hanawon terletak di kawasan terpencil serta lebih mirip dengan penjara, sehinggakan kompleks ini sering dicemuh oleh warga tempatan dan juga NKD yang berjaya sebagai penjara terakhir perlu dilepasi NKD sebelum dibenarkan keluar ke dunia nyata.

Sukatan pendidikan di Hanawon juga sering dikritik, kerana apa yang diajarkan didakwa lebih kepada doktrin untuk menunjukkan hebatnya Korea Selatan, dibentangkan secara tradisional tanpa ada banyak interaksi saksama guru dan murid yang ada.

Jangan terkejut pula kalau kami katakan, walaupun sudah puluhan ribu NKD berjaya melepasi Hanawon, bukan semuanya benar-benar menerima perubahan hidup yang mendadak. 

Ada di kalangan graduan Hanawon akhirnya memilih jalan lebih sukar, cuba menceroboh kembali ke negara asal mereka kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan dunia moden dan penuh tekanan, yang menimpa mereka di Korea Selatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)