Semasa kecil, Julia Lorraine Hill atau dikenali dengan Julia "Butterfly" Hill sering menghabiskan zaman kanak-kanaknya dengan berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini kerana pekerjaan bapanya memerlukan mereka sekeluarga terpaksa untuk berbuat demikian.
Walaupun Julia pernah tinggal di merata-rata tempat tetapi satu tempat ini amat unik dan berbeza berbanding dengan yang lain. Julia pernah menghabiskan masa selama dua tahun dengan tinggal di atas sebatang pokok yang berusia 1500 tahun dengan ketinggian 180 kaki dari tanah.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 1997, Julia yang baru sahaja pulih daripada kemalangan teruk yang hampir meragut nyawanya telah pergi ke California. Dia ke sana untuk menghadiri satu aktiviti pengumpulan dana raggae yang dianjurkan oleh sebuah organisasi bukan kerajaan.
Persatuan itu ingin mengumpul wang bagi menyelamatkan kawasan hutan yang penting daripada ditebang dan diratakan. Gerakan pencinta alam itu sering dilihat keluar dan masuk kawasan hutan di Humboldt County, bagi melindungi pokok-pokok penting di situ daripada ditebang oleh syarikat pembalak Pasific Lumber Co.
Pada satu ketika, penganjur kutipan derma itu memerlukan orang untuk tinggal di salah sebuah pokok di situ selama seminggu. Kerana tiada sukarelawan yang tampil menawarkan diri, Julia bersetuju untuk melakukannya.
Sebelum ini, Julia tidak pernah terlibat dalam mana-mana acara pergerakan pencinta alam sekitar sekalipun. Namun, dia kemudian telah membuat keputusan untuk bertindak terhadap ketidakadilan sivil ini.
Tidak hanya untuk seminggu, Julia telah mengejutkan semua orang apabila dia menghabiskan masa selama dua tahun untuk tinggal di atas pokok berusia 1500 tahun itu.
Pada tanggal 10 Disember 1997, Julia telah memanjat pokok kayu Redwood setinggi 180 kaki yang dinamakan sebagai Luna. Julia kekal berada di situ dan menjadikan pokok itu sebagai rumahnya sehingga 18 Disember 1999.
Dengan sekelip mata, Julia mendapat sokongan oleh beberapa lagi kumpulan pencinta alam sekitar serta individu lain kerana tindakannya melindungi pokok purba ini daripada ditebang.
Mereka mengambil masa selama 90 minit untuk menaikkan segala kelengkapan yang diperlukan Julia di atas pokok itu. Julia kemudian memanjat sendiri pokok itu. Setelah keletihan, dia berhenti dan mencari tempat untuk berehat.
Selama 738 hari berikutnya, Julia hanya hidup di atas pelantar seluas 1.8 meter persegi sahaja. Semasa berada di atas pokok Redwood itu, dia telah menempuh pelbagai rintangan dari segi cuaca hinggalah kepada ugutan oleh pembalak yang berang dengan tindakannya itu.
Dia pernah menghadapi angin kuat yang bertiup selaju 64km sejam. Malah dia juga pernah menghadapi gangguan helikopter dan pengepungan sepuluh hari yang dilakukan oleh pengawal-pengawal keselamatan syarikat pembalak itu.
Julia juga pernah ditemu ramah oleh sebuah rancangan televisyen di atas pokok itu. Dia menggalakkan lagi agar lebih ramai yang tampil membuat tentangan dan protes terhadap penebangan pokok-pokok purba oleh syarikat pembalakan.
Dengan menggunakan telefon bimbit solar, Julia juga melakukan beberapa wawancara radio. Dia bertahan di atas pokok itu dengan bekalan yang berikan oleh kru sokongan menggunakan tali. Untuk melindungi dirinya daripada malam yang dingin, Julia membaluti dirinya dengan beg tidur dengan ketat dan hanya mempunyai bukaan kecil sahaja untuk dia bernafas.
Selama berada di atas pokok itu, dia mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari semua kemahiran kelangsungan hidup yang ada. Akhirnya pada tahun 1999, kata putus akhir telah dicapai antara pencinta alam sekitar dan syarikat Pasific Lumber Co. Syarikat pembalakan itu telah bersetuju untuk menyelamatkan Luna dan kawasan sekitarnya.
Apabila persetujuan telah dicapai, Julia bersetuju untuk meninggalkan pokok yang menjadi rumahnya selama dua tahun itu. Ketika itu, organisasi alam sekitar Earth First! telah berjaya mengumpul derma sebanyak USD 50,000.
Ia adalah jumlah yang dipersetujui kedua-dua pihak untuk dibayar kepada Pasific Lumber Co. sebagai perjanjian memelihara pokok itu. Wang itu kemudian telah diberikan oleh syarikat pembalakan itu kepada Humboldt State University sebagai sumbangan kepada penyelidikan mengenai pemuliharaan hutan.
Perkembangan pokok gergasi Redwood yang diberi nama Luna itu tidak hanya terhenti di situ sahaja. Hampir setahun selepas pokok itu ditinggalkan Julia, terdapat satu keretakan berukuran 32 inci dan 5.8 meter dalam di sekitar pangkal pokok itu.
Luna telah dirawat dengan ubat-ubatan herba semulajadi dan batangnya distabilkan menggunakan kabel keluli. Tidak lama selepas itu Luna sekali lagi telah diselamatkan, kali ini dari serangan yang dilakukan oleh pelaku vandalisme.
Pada tahun 2000, Julia telah menerbitkan sebuah buku berjudul The Legacy of Luna. Buku itu ditulis sebagai sebuah diari harian, menceritakan pengalamannya selama dua tahun berada di atas pokok purba itu.
Rujukan:
1. The Spruce