Kalendar merupakan salah satu ciptaan asas tetapi sebenarnya memberikan impak yang besar kepada tamadun manusia. Oleh sebab itu tamadun terdahulu yang dianggap maju, mempunyai sistem kiraan hari mereka sendiri yang menjadi bukti kemajuan tamadun mereka.

Kita semua sedar pada ketika ini secara universal, masyarakat dunia menggunakan kalendar Gregorian yang diperkenalkan pada tahun 1582 bagi menggantikan kalendar Julian, bagi membetulkan ralat yang wujud dalam perkiraan orang Rom terdahulu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun dalam masa yang sama, wujud pula penggunaan sistem Anno Domini atau 'AD' (serta pengenalan kiraan BC) bagi menandakan detik permulaan satu peristiwa penting masyarakat Kristian di Eropah. Pernahkah anda tertanya, kenapa kita memerlukan penambahan sistem tersebut kepada sistem kalendar sedia ada?

Pengenalan sistem Anno Domini

dionysius exiguus ilustrasi

Seandainya ditanya apakah Anno Domini, ramai antara kita mampu menjawab bahawa detik itu menandakan bermulanya apa yang dipercayai penganut agama Kristian sebagai tarikh kelahiran Jesus Christ.

Sesuatu yang jarang disebutkan adalah sistem Anno Domini sebenarnya diperkenalkan hanya pada tahun 525, dibentuk berdasarkan kepada perkiraan seorang ahli matematik Rom zaman dahulu bagi menyelesaikan masalah perpecahan aliran agama Kristian.

Dan tidak ramai yang sedar, perkiraan yang berlaku sebenarnya mempunyai ralat yang sangat ketara, khasnya melibatkan tarikh kelahiran Jesus Christ sendiri. Perkara ini diakui Pope Benedict pada tahun 2012.

Sistem Anno Domini yang dibentuk ahli matematik bernama Dionysius Exiguus pada abad ke 6 untuk menandakan tarikh kelahiran Jesus sebagai era baru sebenarnya tersasar 2 ke 7 tahun.

Ada juga pendapat mengatakan Jesus Christ lahir jauh lebih awal di antara tahun 40BC sehinggalah 10BC, memperbesarkan lagi julat ralat yang ada.

Ralat besar dalam kalendar yang terus digunakan hingga kini

ancient medieval latin anno domini detail facade buil ancient medieval latin anno domini detail facade building palma de 113714017

Dionysius Exiguus merupakan seorang penulis dan ahli matematik yang mahir. Berikutan pengetahuannya yang luas, Dionysius diberikan tanggungjawab oleh Pope Gelasius I untuk hadir ke Rom bagi menyelesaikan masalah fahaman masyarakat Kristian, namun Dionysius hanya berjaya hadir pada tahun 496 selepas kematian Pope Gelasius.

Pada era tersebut, ajaran Kristian sedang melalui era 'perang saudara' apabila ajaran di bahagian barat dan timur Eropah mempunyai perbezaan doktrin yang ketara. Dionysius diberikan tugas untuk menyeragamkan sambutan hari Easter, kerana kepentingannya sebagai hari di mana mereka percaya Jesus Christ dibangkitkan.

Dionysius berjaya membangunkan sistem Anno Domini atau 'the year of our Lord' serta pengenalan istilah BC atau 'Before Christ' bagi memudahkan penetapan tarikh sambutan hari Easter, setiap hari Ahad pertama selepas berlakunya ekuinoks musim bunga.

Bagaimanapun kiraan Dionysius tidak digunakan semasa hayatnya. Hanya selepas Saint Bede the Venerable dari Northumbria (kini England) pada abad ke 7 memperkembangkan lagi idea Dionysius untuk menyatukan sambutan Easter di kalangan masyarakat Kristian negara tersebut, seterusnya membolehkan sistem Anno Domini digunakan secara lebih menyeluruh.

Penerimaan baik gereja-gereja di England mempercepatkan perubahan berlaku daripada sistem kalendar Julian yang masih diamalkan, kepada sistem kiraan Anno Domini yang lebih dekat dengan kepercayaan mereka.

Bede juga bijak mempopularkan penggunaan istilah 'the year of our Lord' sebagai penarik utama dalam menggantikan sistem kiraan Julian ciptaan orang Rom dalam tulisannya, memudahkan penerimaan sukarela masyarakat Kristian di sana.

Walaupun begitu, masyarakat Eropah tetap memerlukan lebih 600 tahun lamanya untuk bertukar kepada sistem Anno Domini sepenuhnya. Portugal menjadi negara terakhir di bawah pengaruh ajaran Katolik bertukar kepada sistem baru tersebut pada tahun 1422.

Sistem yang dibangunkan Dionysius diterima baik, walaupun ada pihak menyangkal ketepatannya sehingga menjadi sistem standard masyarakat zaman kita.

Bagaimanakah tarikh 1 Januari 1AD ditentukan Dionysius?

kalendar bede

Kalendar Rom yang telahpun wujud sebelum wujudnya sistem Anno Domini, dimulakan dengan menandakan tahun pertama mereka seiring dengan penubuhan kerajaan Rom oleh Maharaja Romulus, dianggarkan pada tahun 753BC. Julius Caesar merombak sistem kalendar mereka, memperkenalkan sistem Julian pada tahun 45BC.

Pada detik kedua-dua pengenalan kalendar tersebut, sudah pastilah sistem Anno Domini belum diperkenalkan lagi.

Bagi mendapatkan tarikh permulaan sistem baru ini, sistem Anno Domini menggunakan kiraan yang telah digunakan kalendar Julian yang diperkenalkan lebih awal sebagai asas kiraan.

Dionysius memulakan perkiraan tahun 1AD sebagai detik terawal, tanpa wujud 0AD; dengan perubahan daripada era BC (Before Christ) kepada AD (Anno Domini) juga berlaku terus daripada 1BC kepada 1AD.

Kenapa tidak wujud tahun 0AD? Ini kerana pada ketika era tersebut, konsep 'sifar' belum diperkenalkan lagi di kalangan ahli matematik Rom!

Berdasarkan petunjuk dari kitab Bible yang dipercayai merujuk kepada kelahiran Jesus Christ serta tahun dimana Dionysius memulakan kiraan (532AD), Dionysius menamakan satu per satu hari dan tahun yang ada, sebelum sampai kepada hari di mana dia percaya sebagai sehari sebelum hari kelahiran Jesus Christ, pada hari terakhir tahun 753AUC (AUC adalah sistem tahun Julian, singkatan bagi 'Ab urbe condita' atau 'penubuhan bandar pertama' merujuk kepada bandar Rom).

Jadi Dionysius menamakan 753AUC sebagai '1BC' atau 'Before Christ' dan 1 Januari 754AUC, sebagai tarikh permulaan Anno Domini atau 1 Januari 1AD; menandakan permulaan kiraan tahun berdasarkan tarikh kelahiran Jesus Christ - walaupun banyak pihak meragui kesahihannya.

Ini tahun ke berapa sebenarnya?

anno domini tarikh the year of our lord

Artikel ini hanya cuba menjawab persoalan bagaimana tarikh 1 Januari 1AD ditentukan.

Kami tidak mahu membincangkan tentang kekeliruan lain yang ada seperti kenapa tarikh Krismas jatuh pada 25 Disember, sedangkan Krismas dipercayai tarikh kelahiran Jesus Christ?

Atau persoalan kenapa ada yang menyambut Krismas pada 25 Disember dan ada juga yang menyambutnya pada 7 Januari? Akan wujud makin banyak kekeliruan seandainya persoalan-persoalan itu cuba dijawab. Apa yang kami cuba sampaikan, kiraan kalendar merupakan satu isu yang sangat bercelaru serta dibuat berdasarkan kepada pilihan tamadun lain.

Dalam topik ini, permulaan Empayar Rom diangkat sebagai titik permulaan kiraan sebelum tarikh kelahiran Jesus Christ diperkenalkan. Apatah lagi apabila permulaan sistem kiraan tahun yang digunakan sekarang dibuat berdasarkan fakta yang tidak jelas, dibentuk asalnya dengan tujuan mahu menyatukan dua aliran agama Kristian yang berbeza pandangan.

Rujukan

Dionysius Exiguus

Holy miscalculation: The entire Christian calendar is based on a sixth-century monk's 'mistake,' Pope says




Hakcipta iluminasi.com (2017)