Ramai orang mungkin biasa mendengar kisah pengamal Yoga India yang boleh kekal dalam satu kedudukan selama beberapa hari atau minggu. Sesetengah daripada pengamal Yoga atau sami-sami Buddha mampu memperlahankan dengupan jantung mereka sehingga pada tahap tidak dapat dikesan.
Kebanyakan cerita sebegini membabitkan meditasi, disiplin diri dan doa dalam agama-agama di Timur seperti agama Hindu dan pelbagai cabang agama Buddha. Tahukah anda bahawa 1,700 tahun yang lalu, penganut-penganut agama Kristian juga mempunyai amalan disiplin yang lebih ekstrem berbanding pengamal Yoga dan sami-sami Buddha ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang mereka lakukan ialah duduk di atas tiang. Ada yang melakukan amalan displin duduk di atas tiang ini selama beberapa tahun malah ada yang melakukannya selama beberapa dekad. Penganut setia Kristian yang paling popular duduk di atas tiang ini telah melakukannya selama 37 tahun!
Mereka ini dikenali dalam sejarah sebagai "Stylites" yang berasal dari perkataan Yunani purba "stylos". Stylos bermaksud 'tiang' manakala Stylites pula bermaksud 'penghuni tiang'.
Penerimaan Kristian sebagai agama baru
Kristian mula diterima Empayar Rom
Pada abad ke-4 Masihi, agama Kristian adalah agama yang baru sahaja diterima oleh Empayar Rom selama satu kurun sebelumnya. Di Timur pula, pertikaian yang melampau telah berlaku di kalangan beberapa ahli agama.
Ini kerana, penduduk di Timur Tengah percaya bahawa sesuatu agama dan kepercayaan itu mestilah mempunyai unsur disiplin diri yang tinggi bagi mengelakkan semua bentuk godaan terutamanya duniawi.
Unsur-unsur disiplin diri ini terdapat dalam banyak cara. Ada antara disiplin diri ini melibatkan puasa, pertapaan dan juga memukul diri sendiri sehingga berdarah. Beberapa mubaligh dari Empayar Rom Timur telah pergi ke Eropah Barat untuk memperkenalkan disiplin diri ini tetapi tidak diterima.
Oleh sebab itu, para Stylites telah melakukan sesuatu yang baharu. Stylites yang pertama dan paling terkenal ialah Simeon Stylites. Dia adalah seorang lelaki Syria yang tinggal berhampiran bandar Aleppo. Simeon dipercayai dilahirkan sekitar tahun 390 Masihi dan meninggal dunia pada 2 September 459 Masihi.
Pada waktu itu, agama Kristian baru sahaja diterima di Empayar Rom Timur jadi semangat untuk agama baharu dan amalannya begitu tinggi di kalangan penduduk.
Kisah awal Simeon Stylites
Simeon antara salah seorang yang terkesan dengan ajaran agama Kristian ini. Ketika dia berusia 13 tahun, dia sudah menjadi seorang penganut agama Kristian yang kuat dan setia.
Ketika berumur 16 tahun, Simeon telah memasuki sebuah biara di mana pengorbanan dan kesusahan adalah sebahagian daripada amalan harian. Dalam semua pendeta yang berada di situ, Simeon adalah yang paling ekstrem sehingga pendeta-pendeta lain memintanya untuk meninggalkan biara itu.
Setelah itu Simeon mendirikan sebuah pondok kecil di mana dia tinggal lebih daripada setahun setengah. Kononnya dia telah menghabiskan masa di situ tanpa makan dan minum. Apabila dia keluar dari pertapaannya itu, orang ramai mendakwa suatu keajaiban telah berlaku terhadap Simeon dan dia dilihat sebagai seorang yang dihormati.
Simeon kemudian melakukan satu jenis disiplin diri yang baru iaitu berdiri tegak sehingga dia tidak mampu bertahan lagi. Tidak lama selepas itu, dia memutuskan pula untuk tinggal di kawasan sempit dan tidak akan meninggalkannya lagi.
Disiplin diri dan penderitaan ekstrem Simeon
Dia memilih ruang seluas 20 meter persegi di lereng gunung berdekatan (kini dikenali sebagai Gunung Simeon). Malangnya bagi Simeon, ramai penziarah dan mereka yang mencari kerohanian Kristian sering melawatnya. Ini mengganggu disiplin diri pertapaannya.
Apa yang dilakukan oleh Simeon ini dianggap agak mementingkan diri oleh sesetengah orang. Dia memang sedang mencari tuhan bagi menghapuskan hawa nafsu dan pemikiran duniawinya tetapi tidak perkara yang dilakukannya itu tidak mempunyai mesej untuk orang lain. Dia juga tidak mengharapkan orang lain melakukan perkara yang dilakukannya.
Simeon percaya bahawa dia sedang mendapatkan tempat di Syurga. Masa hidupnya di dunia adalah sementara manakala di Syurga tidak terbatas. Apa yang orang lain lakukan tidak penting bagi Simeon.
Untuk mengelak daripada sering ditanyakan soalan oleh orang ramai yang inginkan nasihatnya, Simeon mendapat satu idea. Dia bercadang untuk duduk bertapa di atas tiang. Tiang pertama Simeon adalah sembilan kaki tinggi dan mempunyai platform kecil dengan ukuran satu meter persegi.
Di sekeliling platformnya pula terdapat tiang-tiang kecil atau "balusters", berfungsi sebagai penghadang bagi menghalangnya jatuh secara tidak sengaja. Simeon bertekad untuk menghabiskan sisa hidupnya di atas tiang itu. Kanak-kanak dari biara tempatan akan menghantar susu dan roti kepadanya dari masa ke semasa.
Sifat bangga atau merendah diri
Selepas beberapa waktu, para pendeta lain menjadi bimbang jika perilaku Simeon ini menjadi sesuatu yang dibanggakan bukannya sesuatu kerendahan diri. Mereka ingin menguji sejauh mana keikhlasan Simeon.
Para pendeta percaya sekiranya mereka mengarahkannya untuk turun dan dia patuh, maka itu tandanya dia merendah hati. Sekiranya dia enggan, itu bermakna dia lebih bangga dengan rekod dan kealiman yang ditunjukkannya.
Ketika mereka memanggilnya turun, Simeon patuh dan mengikuti arahan itu. Para pendeta berpuas hati dan menyuruhnya memanjat semula dan membiarkan Simeon tinggal di atas tiangnya itu.
Sembilan kaki tidaklah cukup tinggi untuk Simeon mengelak daripada diganggu orang ramai. Dari masa ke semasa, Simeon akan berubah kedudukan kepada tiang yang lebih tinggi. DIa melakukan perkara ini pada tujuh tahun pertama pertapaannya di atas tiang.
Akan tetapi, terlalu ramai orang yang ingin meminta pandangan dan bercakap dengannya. Akhirnya, Simeon menukar kepada tiang setinggi 50 kaki dari tanah. Dia tidur di atas tiangnya, makan dan minum secara sederhana. Dia bergantung kepada ihsan orang ramai dan biara tempatan untuk bekalan makanan.
Dia juga diberikan pakaian oleh orang ramai. Menurut sesetengah dakwaan lagi, kawasan sekeliling tiangnya dipenuhi najis. Apa yang dicatatkan dalam rekod ialah, Simeon kekal berada pada tiangnya selama 37 tahun.
Jejak langkahnya menjadi ikutan
Maxime Qavtaradze
Ketika dia meninggal dunia, tubuhnya terlalu kurus dan ringan kerana dijangkiti penyakit dan parasit. Dia mungkin telah mengalami masalah kesihatan ini buat seketika waktu sebelum meninggal dunia. Dia menanggung semua penderitaan ini kerana dia percaya ia akan membantunya untuk ke Syurga.
Simeon Stylites atau Simeon the Elder bukanlah satu-satunya Stylite yang ada. Ramai juga yang telah mengikuti jejak langkah Simeon dan ada yang menggunakan namanya. Salah seorang lagi Stylites yang terkenal ialah Simeon the Younger yang berasal dari Turki kuno.
Seorang lagi ialah seorang sami bernama Maxime Qavtaradze dari Georgia. Dia tidaklah hidup di atas tiang seperti Stylites yang lain tetapi memilih penempatan kecil di puncak pergunungan selama 20 tahun. Qavtaradze akan turun dari tempatnya seminggu sekali atau dua untuk memberi nasihat kepada pengunjung yang hadir. Satu filem bertajuk "The Stylite" dibuat mengenainya.
Rujukan:
1. New Advent
2. Tertullian