Acara marathon semakin lama semakin menjadi kesukaan ramai ahli masyarakat kita, dengan cara-acara yang dianjurkan kerap kali mendapat sambutan menggalakkan.

Jepun merupakan salah sebuah negara yang gila berlari, daripada golongan yang muda sehinggalah kepada golongan tua. Nama Shizo Kanakuri mungking tidak lagi disebutkan zaman sekarang, tetapi di Jepun dia adalah individu yang dikenali sebagai 'bapa larian marathon Jepun.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah Shizo amat menarik untuk dibincangkan kerana Shizo bukan saja salah seorang atlit individu Olimpik Jepun yang terawal, dia juga antara atlit paling lambat menghabiskan acaranya. Pernahkah anda dengar tentang kisah larian Shizo yang menambil masa 54 tahun, 8 bulan, 6 hari, 32 minit dan 20.3 saat untuk tiba digarisan penamat?

Ujian kelayakan Olimpik Jepun

kontinjen jepun olimpik pertama

Acara ujian kelayakan bagi memilih atlit yang bakal menjadi pelari pertama Jepun ke sukan Olimpik di adakan pada 19 November 1911. Ketika itu Shizo baru berumur 20 tahun. Bagaimanapun, apa yang membezakan Shizo dengan pesaingnya adalah Shizo percaya berpeluh semasa berlari akan membuatkan pelari lebih cepat penat.

Jadi setiap kali berlari, Shizo tidak akan minum apa-apa sepanjang larian sejaruh 40.2 km itu, membuktikannya pengalamannya yang masih mentah dalam bidang larian. Beliau dinasihatkan oleh petugas serta pegawai sukan supaya membuang tabiat itu dan akhirnya, Shizo berjaya mencatat masa terpantas di antara semua peserta melayakkan dirinya mewakili Jepun ke Olimpik.

Jadi, Shizo bersama seorang lagi pelari pecut bernama Yahiko Mishima, seorang atlit judo bernama Jigoro Kano serta seorang lagi pegawai pakar perubatan bernama Hyozo Omori - mereka berempat pun berangkat ke Sweden bagi menghadapi temasya sulung mereka.

Perjalanan menaiki kapal dan keretapi menyusahkan para atlit untuk berlatih, jadi Shizo mengambil peluang berlari di atas dek kapal dan mana-mana stesen yang mereka berhenti semasa melalui jalan darat. Pegawai bernama Hyozo itu pula jatuh sakit, menyebabkan atlit pula terpaksa bergilir menjaga dia.

Bagaimanapun, semua itu tidak melunturkan hasrat Shizo.

Berlari!

kontinjen olimpik jepun

Pada hari pertandingan pada 14 Julai 1912, suhu yang panas sehingga mencecah 32 darjah celcius menyebabkan majoriti daripada 68 orang peserta, berhadapan situasi tidak selesa.

Shizo yang turut sama kepanasan hanya menyedari kasut yang dipakainya sebenarnya tidak sesuai untuk acara itu. Namun apakan daya dia tidak ada pilihan lain. Selepas acara dimulakan, Shizo berjaya berlari sehingga jarak ke 27 km sebelum menghadapi hipertermia menyebabkan dia hampir pengsan.

Dia bernasib baik diselamatkan oleh seorang penduduk yang membawanya ke vila miliknya yang ketika itu kebetulan sedang mengadakan jamuan. Shizo mengambil masa berehat memulihkan dirinya dengan minuman jus oren dan akhirnya mengambil keputusan tidak mahu meneruskan larian - tanpa memberitahu penganjur keputusannya itu.

Lebih separuh peserta yang berlari gagal menamatkan perlumbaan dengan salah seorang daripadanya, pelari dari Portugal pengsan 8 km sebelum tiba digarisan penamat dan langsung tidak sedar, sebelum disahkan meninggal dunia esoknya.

Penganjur yang mencatatkan masa pelari gagal mengesan Shizo, terpaksa mengumumkan bahawa Shizo Kanakuri didapati telah hilang tanpa dikesan. Shizo pula sebenarnya menyembunyikan diri, kerana malu gagal menamatkan perlumbaan jadi dia pulang ke depan secara senyap-senyap sebelum kontroversi yang melanda mereka mula menjadi heboh.

Banyak pihak memuji tindakan Shizo yang tetap berani pergi bertanding walaupun tanpa persediaan yang rapi. Rasa malu Shizo yang pada mulanya membebankan dirinya ditolak ke tepi lalu Shizo mula mempersiapkan diri menghadapi sukan Olimpik seterusnya.

Walaupun demikian, di Sweden - status Shizo masih lagi dilaporkan hilang!

Orang hilang yang bertanding di Olimpik

shizo kanakuri pelari marathon jepun

Persediaan menghadapi sukan Olimpik keduanya gagal disebabkan perang dunia pertama. Bagaimanapun, Shizo tetap berjaya bertanding pada temasya Olimpik 1920 di Belgium mendapat tempat ke 16. Pada tahun 1924 di Olimpik Paris, Shizo gagal menamatkan lariannya ketika berusia 32 tahun.

Sambil berlatih untuk Olimpik, atas rasa cintanya pada sukan marathon, Shizo mengasaskan acara larian yang kini menjadi tradisi tahunan negara Jepun iaitu Hakone Ekiden - sebuah acara larian jarak sejauh 218 km berganti-ganti melibatkan pelari peringkat universiti.

Shizo menamatkan kariernya sebagai pelari jarak jauh kebangsaan tidak lama selepas kegagalannya pada Olimpik Paris, namun terus menabur bakti melatih pelari-pelari muda agar mereka dapat mengharumkan nama Jepun di peringkat dunia. Bagaimanapun di Sweden namanya kerap disebut-sebut sebagai pelari yang hilang.

Kembali menamatkan larian pada usia 75 tahun

shizo kanakuri bapa marathon jepun

Hanya pada tahun 1962, seorang jurnalis Sweden menyedari Shiro Kanakuri sebenarnya masih hidup dan pengetahuan ini sampai kepada Majlis Olimpik Sweden. Lima tahun berikutnya, bagi menamatkan kisah Shizo, Majlis Olimpik Sweden menjemput Shizo ke Stockholm dalam sambutan ulang tahun ke 55 larian Olimpik mereka pada tahun 1912.

Shizo dijemput untuk menyertai satu acara amal bagi membantu mengutip dana menghantar atlit Sweden ke sukan Olimpik, namun kejutannya khas untuk Shizo. Dia diminta untuk menghabiskan larian pertamanya yang ditinggalkan begitu saja, tanpa sebarang pemberitahuan pada pengajur yang mengelolakan acara.

Jadi Shizo pun menamatkan lariannya pada 200 m terakhir pada usia 75 tahun disaksikan oleh pegawai-pegawai majlis Olimpik. Setelah melepasi garisan penamat, masa rasmi Shizo yang direkodkan adalah '54 tahun, 8 bulan, 6 hari, 5 jam, 32 minit dan 20.3 saat,' menjadikan Shizo bukan saja bapa marathon Jepun malahan pelari yang memegang rekod larian marathon paling lama dalam dunia.

17 tahun berikutnya, pada tahun 1982 ketika sudah berusia 92 tahun Shizo menghembuskan nafas terakhirnya meninggalkan legasi sukan yang sehingga kini menjadi ikutan generasi muda Jepun, kerana dia adalah individu yang dikatakan bertanggungjawab mempopularkan sukan marathon pada masyarakat mereka.

Sempena mengingati jasa serta 'kehilangan' beliau, bermula pada tahun 2004, pelari terbaik dalam acara Hakone Ekiden akan diberikan trofi yang dinamakan trofi Shizo Kanakuri.

Rujukan

Japan Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)