Sebahagian besar daripada kita mungkin menyangka kawasan sempadan Korea Selatan dan Korea Utara sebagai kawasan yang paling merbahaya dan dikawal rapi oleh tentera. Sempadan kedua-dua buah negara ini juga dikenali sebagai Korean Demilitarized Zon (DMZ).

Artikel berkaitan: Daeseong-dong dan Kijong-dong, Kawasan Perkampungan di Sempadan Korea Utara dan Selatan

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, kawasan periuk api terpanjang di dunia bukanlah di Zon Demiliterisasi Korea ini, kawasan savannah Angola atau pergunungan Afghanistan. Sebaliknya, Ia terletak di salah satu bahagian paling terpencil di bahagian barat Gurun Sahara.

Anda mungkin atau anda mungkin tidak pernah mendengar tentang "Sahara Barat" (Western Sahara), tetapi jika anda merujuk peta Google atau mana-mana atlas moden yang lain, anda akan melihat wilayah ini dikenal pasti dengan jelas di hujung selatan Maghribi.

"Sahara Barat" bukanlah negara sebenar (seperti yang ditunjukkan oleh kekurangan sempadan politik antara wilayah ini dan Maghribi) tetapi ia juga tidak berada di bawah kawalan Maghribi sepenuhnya. Ia adalah wilayah yang dipertikaikan dengan sejarah yang kompleks.

Dan seperti banyak kawasan lain yang dipertikaikan di dunia, ia mempunyai zon yang dikawal ketat tentera di tengahnya yang mempunyai tembok pasir sepanjang 2,700 km yang dipanggil Tembok Sahara Barat Maghribi atau secara ringkasnya "Tembok Maghribi".

Sejarah pendudukan

sahara barat

PBB mengklasifikasikan Sahara Barat sebagai "wilayah yang tidak berkerajaan sendiri" walaupun dua pertiga daripada wilayah itu diduduki oleh Maghribi.

Terletak di pantai barat Afrika - berhampiran Kepulauan Canary, selatan Maghribi, barat Algeria dan utara Mauritania - Sahara Barat adalah dibawah penguasaan Sepanyol sehingga 1976 apabila tekanan daripada pejuang pro-kemerdekaan memaksa tentera Sepanyol berundur.

Selepas Sepanyol melepaskan kawalan ke atas wilayah ini, Maghribi dan Mauritania masing-masing berpindah dan membahagikan wilayah itu antara mereka, mengabaikan kehendak penduduk asli Saharawi yang menuntut kemerdekaan sejak 1960-an.

Pada tahun 1976, Saharawi membentuk gerakan pembebasan nasional pemberontak yang dipanggil Polisario Front bertujuan untuk menamatkan kehadiran asing di Sahara Barat. Mereka mengisytiharkan Republik Demokratik Arab Saharawi (SADR) sebagai sebuah negara merdeka dan meletus perang.

Pada tahun 1979, Mauritania menarik diri tetapi Maghribi mengekalkan pendudukan kawasan itu. Berikutan pencerobohan Maghribi pada 1975, orang asli Sahrawi melarikan diri merentasi sempadan ke Algeria. Dan pada tahun 1980 Maghribi yang merasakan bahawa wilayah itu terdedah membuat desakan untuk mengambil alih sebahagian besar padang pasir yang tidak ditadbir.

Pembinaan Tembok Maghribi

morocco wall

Jurutera Maghribi telah membina "Berm" sebuah tembok darat sepanjang 1,500 batu dan penghadang bertingkat yang menembusi Sahara Barat. Tembok ini juga dikenali sebagai Tembok Maghribi.

Berm ini adalah salah satu halangan pertahanan paling selamat yang pernah ada. Ia terdiri daripada dinding setinggi 10 kaki, dawai berduri, pagar elektrik dan setiap tujuh batu, pengawal manusia. 

Dengan 16 kali lebih panjang daripada tembok Berlin, Tembok Maghribi adalah salah satu halangan ketenteraan aktif terbesar. Periuk api merentasi sepanjang tembok kubu ini, menjadikannya juga medan periuk api terpanjang di dunia.

Tahun demi tahun, Maghribi mengembangkan tembok ini sehingga 1987 apabila ia mencapai hujung selatan sempadan dengan Mauritania. Setelah siap, tembok ini meliputi semua penempatan utama Sahara Barat termasuk bandar terbesarnya El AaiĂșn yang berada di bawah kawalan Maghribi.

Tembok Maghribi pada masa kini

peta tembok maghribi

Hari ini masih terdapat 120,000 tentera Maghribi di sepanjang sempadan Wilayah Selatan - kawasan yang dituntut oleh Maghribi. Kawasan di timur Tembok Maghribi ialah zon bebas, padang pasir terkurung daratan di sebelah Algeria dan Mauritania.

Titik persimpangan utama keluar dan masuk dari tembok ini adalah berhampiran bandar Algeria yang dikenali sebagai "Tindouf" yang juga menempatkan pasukan PBB untuk Referendum di Sahara Barat atau MINURS (Mission for the Referendum in Western Sahara).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak mengiktiraf kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat. Mereka berpendapat bahawa puak Sahrawis mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri. Walau bagaimanapun, banyak negara telah menyatakan sokongan mereka terhadap pendudukan Maghribi antaranya negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat.

Maghribi mempunyai kepentingan ekonomi di Sahara Barat. Mereka percaya wilayah ini kaya dengan rizab fosfat dan perairannya banyak ikan. Terdapat juga spekulasi bahawa mungkin terdapat medan minyak dan gas asli di kawasan pesisir luar pantai.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)