Penulis mengakui, dengan kesederhanaan hidup penulis ketika ini - tak kaya tetapi tak susah, cantik-cantik sederhana saja, penulis pasti tidak mampu membayangkan bagaimana keadaannya terpaksa meninggalkan rumah dan negara sendiri, melarikan diri untuk menjadi penghuni kem pelarian.

Kumpulan pelarian membawa bermacam konotasi berbeza, sama ada positif dan juga negatif. Ada yang menyokong agar kita membantu pelarian tetapi ada juga yang melihat pelarian sebagai satu masalah yang tak patut kita campur tangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pasti sangat sukar bukan untuk mengambil keputusan meninggalkan segala-galanya di belakang kita, hanya untuk satu matlamat menyelamatkan diri dan keluarga? Bergelumang dengan puluhan atau ratusan ribu lain yang hidup sebatang kara. Berikut adalah lima kem pelarian terbesar dunia yang masih aktif sehingga hari ini.

5. Kem pelarian Yida, Sudan Selatan

kem pelarian sudan selatan yida terbesar

Bagaimana rasanya menjadi pelarian di negara sendiri? Itulah yang dihadapi oleh lebih 72,000 warga Sudan Selatan yang terpaksa berpindah ke kem-kem pelarian perang dalam negara sendiri. Terletak dalam sebuah daerah bernama Unity yang duduk dalam kawasan berpaya, penempatan di Yida berlaku secara organik apabila kumpulan pelarian mula menjadikan lokasi itu tempat tinggal mereka.

Bermula dengan hanya 20,000 orang, angka itu bertambah tahun ke tahun sehinggakan Yida pada ketika ini menjadi salah satu kem pelarian paling aktif dan meriah dari segi ekonomi. Walaupun begitu, semua penduduknya berdepan risiko yang besar - ini kerana kem pelarian ini wujud secara tidak rasmi dan berdepan masalah banjir yang boleh melanda setiap kali musim hujan.

Usaha memindahkan pelarian daripada Yida ke sebuah kem kelolaan badan pelarian sedunia UNHCR yang terletak di Pamir sejak 2016 berdepan kesukaran, akibat penduduk yang telah selesa menetap di situ. Setakat Februari 2020, hanya 6,000 orang berjaya dipindahkan walaupun bantuan bekalan makanan ke kem Yida ditamatkan pada Oktober 2019.

4. Kem pelarian Zaatari, Jordan

zaatari refugee camp jordan

Lokasi yang menempatkan pelarian Syria terbesar di dunia setakat ini, kem pelarian Zaatari yang terletak di Jordan dibuka khas untuk menempatkan pelarian perang yang melarikan diri selepas perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011.

Kemasukan pendatang Syria yang beramai-ramai menyebabkan kem ini menjadi bandar ke empat paling ramai populasinya di negara Jordan, yang hanya mempunyai populasi seramai 9.9 juta orang penduduk. Kem Zaatari menempatkan hampir 80,000 orang, dengan 20,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

Berikutan nisbah pelarian kanak-kanak yang tinggi, pendidikan menjadi asas utama kem Zaatari dengan pembukaan 32 sekolah di dalamnya serta 58 pusat masyarakat menjalankan pelbagai aktiviti.

Bagi pelarian Syria yang dibenarkan tinggal di luar kem, mereka berjaya meneruskan hidup seperti biasa di bandar dan pekan negara Jordan. Tahukah anda, pada ketika ini hampir 10% daripada jumlah populasi Jordan, seramai 670,000 orang keseluruhannya adalah pelarian Syria?

3. Kompleks pelarian Dabaab, Kenya

kem pelarian terbesar dunia

Dibentuk dalam rangkaian tiga kem pelarian yang berada berdekatan, kompleks pelarian Dabaab menempatkan tiga kem berbeza iaitu Dagahaley, Ifo dan Hagadera. Jumlah populasi ketiga-tiga kem dilaporkan mencecah 211,365 orang dengan Hagadera menampung penduduk paling ramai melebihi 100,000 orang.

Berbeza dengan kem pelarian yang biasa dibangunkan, konsep kem pelarian Dabaab lebih mirip kepada sebuah pekan kecil yang telah melalui proses pembangunan. Dibuka sejak tahun 1991, kompleks Dabaab telah mempunyai penduduk yang selamat melalui 2 ke 3 generasi keluarga mampu hidup selesa disebabkan oleh konsep kompleks itu sendiri.

Menempatkan majoritinya pelarian yang lari daripada perang saudara melibatkan pemerintah Somalia dengan kumpulan pemberontak - penduduk kompleks Dabaab masih belum boleh pulang kerana konflik yang berlaku sejak 1989 masih belum tamat.

2. Kem pelarian Kakuma, Kenya

kem pelarian terbesar di dunia akibat perang

Sebelum ini, kem pelarian Kakuma yang terletak di bahagian barat laut Kenya merupakan kes pelarian terbesar di dunia menempatkan lebih 100,000 pelarian dari Sudan Selatan dan 55,000 pelarian Somalia.

Dibuka pada tahun 1992 secara rasmi selepas insiden perang meletus di Sudan pada tahun 1987, sehingga mengakibatkan kematian lebih 2 juta orang. Perang yang meletus di antara penduduk Muslim Sudan di bahagian utara dan penduduk beragama Katolik di bahagian selatan mencapai kemuncaknya pada era tersebut sehingga memisahkan kedua-dua negara - hanya berakhir pada tahun 2005.

Penduduk terawal kem itu adalah kumpulan kanak-kanak yang kematian ibu bapa dari kawasan peperangan sebelum berkembang, mencapai populasi 190,650 pada bulan Mac 2020 - berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding bandar Kakuma yang menempatkannya yang hanya mempunyai seramai 60,000 penduduk.

1. Kem pelarian Kutupalong

kem kutupalong terbesar dunia rohingya

Selepas mula dikenakan pelbagai jenis sekatan dalam negara sendiri, orang Rohingya mula melarikan diri ke serata tempat. Operasi pembersihan yang dijalankan tentera Myanmar, dinamakan sebagai Operasi Pyi Thaya dijalankan bermula 1991 bagi membersihkan Myanmar daripada kedatangan pendatang asing - iaitu warga Rohingya yang ada.

Hampir 250,000 orang Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh, menyebabkan keperluan untuk kerajaan Bangladesh mewujudkan kem pelarian yang dinamakan Kutupalong pada tahun 1992 - khas untuk menempatkan kumpulan pelarian ini.

Hanya mempunyai keluasan sebesar 13 km persegi, pada ketika ini jumlah keseluruhan pelarian Rohingya yang ada di situ melebihi 600,000 kesemuanya.

Ini jauh meninggalkan populasi negeri Perlis yang hanya seramai 254,400 orang dan Melaka yang hanya sekitar 485,000 orang. Kiranya macam anda gabungkan penduduk Melaka dan Perlis, kemudian arahkan mereka duduk dalam kawasan sempit.

Apa yang mengagumkan tentang Kutupalong, walaupun kecil - sistem ekonominya berkembang mirip sebuah pekan yang pesat. Aktiviti ekonomi berjalan rancak. Sistem pekerja dan majikan berjalan baik. Perumahan lusuh ala setinggan yang ada mula digantikan dengan rumah dua tingkat menggunakan buluh dan mengkuang - mampu digerakkan atau dipindahkan dengan cepat mudah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)