Tapak Warisan Dunia atau dalam bahasa Inggeris 'World Heritage Site' merupakan status yang diberikan kepada lokasi-lokasi dalam sesebuah negara yang dirasakan perlu dipulihara, berikutan terdapat kepentingan elemen budaya, sejarah, sains dan elemen-elemen lain yang dirasakan perlu dipulihara.
Untuk sesuatu lokasi di namakan sebagai tapak warisan dunia, lokasi tersebut perlulah memenuhi beberapa syarat berdasarkan garis panduan yang dikelolakan oleh pihak United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization atau UNESCO.
BESARKAN TEKS A- A+
Setakat ini, di seluruh dunia terdapat 1,073 lokasi tapak warisan dunia yang telah digazetkan dengan empat (atau lima) daripadanya terletak di negara kita. Tahukah anda kesemua tapak warisan dunia negara kita?
1. Lembah Lenggong, Perak
Lembah Lenggong adalah lokasi paling baru diwartakan sebagai tapak warisan dunia di negara kita, pada tahun 2012. Lokasi penemuan 'Perak Man' pada tahun 1991 dan 'Wanita Perak' pada tahun 2004, Lembah Lenggong merupakan sebuah tapak warisan yang mengandungi empat kawasan arkeologi. Kesemua empat tapak tersebut dikatakan sudah berusia lebih 2 juta tahun lamanya.
Kepentingan Lembah Lenggong kepada sejarah dunia adalah bukti yang menunjukkan wujudnya manusia di luar kawasan Afrika yang sudah menetap di benua ini lebih awal, dengan jangkaan wujudnya komuniti manusia yang tinggal di Lenggong semenjak zaman paleolitik lagi.
Beberapa artifak penting yang dijumpai seperti kapak membuktikan masyarakat zaman tersebut sudah mula menggunakan peralatan dalam kehidupan mereka. Jalinan gua yang ada seperti Gua Gunung Runtuh, Gua Teluk Kelawar dan Gua Kajang menyimpan pusara-pusara manusia zaman dulu.
2. Gunung Mulu, Sarawak
Terletak dalam kawasan Taman Negara, Gunung Mulu mencapai ketinggian 2736m mempunyai sejarah yang berusia lebih 1.5 juta tahun lamanya. Menyimpan ruangan gua terbesar di dunia yang dikenali dengan nama 'Sarawak Chambers' atau 'Ruangan Sarawak' yang dianggarkan mampu menyimpan 40 buah pesawat besar di dalamnya.
Gunung Mulu sangat terkenal berikutan kewujudan kepelbagaian bio dan formasi batu kapurnya yang unik dengan anggaran 3500 spesis tumbuhan hidup di dalamnya dan menjadi lokasi 109 spesis tumbuhan jenis sawit di dunia.
Bagi mereka yang mahu berkunjung ke Gunung Mulu, pastikan anda dapat melawat empat gua utama di situ, Rusa, Lang, Jernih dan Angin selain turut sama berjalan di atas 'jalan udara' sepanjang 480 meter. Gunung Mulu diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia pada tahun 2000.
3. Taman Kinabalu
Menempatkan mercu tertinggi negara kita, Gunung Kinabalu, formasi granit yang terhasil di sini dianggarkan sudah bermula hampir 15 juta tahun dahulu sebelum naik ke permukaan bumi membentuk permukaan.
Mempunyai keluasan 754km persegi, Taman Kinabalu yang menjadi pintu masuk kepada Gunung Kinabalu menempatkan lebih 4500 spesis flora dan fauna termasuklah 326 spesis burung. Taman Kinabalu diisytiharkan sebagai salah satu pusat 'Centre of Plant Diversity' yang berjumlah 234 lokasi di seluruh dunia oleh World Wildlife Fund.
Dengan anggaran menyimpan lebih separuh spesis tumbuhan yang terdapat di seluruh kepulauan Borneo, spesis-spesis yang ada di Taman Kinabalu dianggarkan datang dari seluruh benua, termasuklah Himalayas, China, Australia dan juga semenanjung Malaysia. Taman Kinabalu diletak di bawah status Taman Warisan Dunia pada tahun 2000, sama seperti Gunung Mulu.
4. Bandaraya Melaka dan George Town
Dua bandar bersejarah yang terletak di negeri Melaka dan Pulau Pinang ini melalui proses pembangunan sepanjang 500 tahun yang menyebabkan percampuran banyak elemen luar diadun dengan pembangunan tempatan. Berikutan identiti yang unik ini, kedua-duanya dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO serentak pada tahun 2008.
Gabungan ciri senibina Asia dan Eropah menjadi identiti kedua-dua bandar ini, yang menampakkan kemajmukan masyarakat Malaysia. Melaka yang menerima kemasukan penjajah lebih awal menyimpan bangunan-bangunan tinggalan Eropah seperti pusat pentadbiran kerajaan, gereja, pusat masyarakat dan kubu-kubu perang.
George Town pula mempunyai identiti yang berbeza dan lebih moden berikutan kemasukan penjajah British ke pulau tersebut pada kurun hujung kurun ke 19 yang menempatkan kawasan tempat tinggal dan kawasan perdagangan.