Perasan tak dari segi bahasa, wujud dua istilah berbeza iaitu 'lautan' dan 'laut' yang diguna bagi menamakan kesemua jenis badan atau jasad air yang ada di bumi?

'Laut' atau sea diguna bagi mewakili kawasan jasad air yang lebih kecil saiznya serta kelilingi kawasan pulau dan semenanjung, seperti 'Laut China Selatan'.

Bagi 'Lautan' pula atau ocean, hanya ada lima jasad air utama di bumi yang masih diperdebatkan layak dikategorikan sebagai lautan, iaitu Lautan Pasifik, Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Artik dan terakhir Lautan Selatan/Antartika.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa kita menggelarkan kesemua lautan itu dengan nama begitu? Mari kita pelajari tentang sejarah kesemua nama lautan utama dunia.

1. Lautan Artik

lautan artik kawasan lautan utama

Lautan Artik dinamakan sempena kawasan kutub utara bumi yang kita namakan sebagai rantau Artik, meliputi 8 negara iaitu Denmark, Kanada, Rusia, Iceland, Norway, Sweden, Finland dan juga Amerika Syarikat

Istilah 'Artik' dipinjam daripada istilah asal Yunani 'arktikos' yang membawa makna 'berhampiran beruang di utara.' Istilah ini kata akarnya pula adalah 'arktos', atau beruang. Kenapa beruang?

Pendapat popular menyebut nama kawasan ini dipilih kerana hanya di sini beruang kutub dapat ditemui. Bagaimanapun pandangan ini kurang tepat. Sebenarnya nama 'Artik' digunakan kerana di langit kawasan ini konstelasi bintang yang dikenali sebagai 'Ursa Besar' dan 'Ursa Kecil' sentiasa dapat dilihat.

'Ursa' adalah istilah dari bahasa Latin yang mewakili makna....beruang.

2. Lautan Atlantik

lautan atlantik asal usul nama

Lautan kedua terbesar dunia, Lautan Atlantik dinamakan sempena kisah mitologi Yunani yang direkodkan, hasil tulisan seorang penulis bernama Stesichorus yang hidup sekitar tahun 630SM/BC ke 555SM/BC - mengisahkan tentang seorang makhluk gergasi bernama Atlas.

Selepas peperangan di antara golongan gergasi dengan dewa orang Greek, golongan gergasi yang tewas dihadapkan kepada perbicaraan lalu dijatuhkan hukuman masing-masing kerana menderhakai kedudukan dewa dan dewi.

Atlas dijatuhkan hukuman perlu memikul langit dan syurga sepanjang hayatnya.

Lokasi yang dipercayai berdirinya Atlas menanggung hukumannya dikelilingi air yang dinamakan sebagai Atlantikôi pelágei atau 'Lautan Atlas.' Dari sinilah nama 'Atlantik' diambil.

Nama ini telah melalui perubahan bahasa menjadi beberapa varian berbeza seperti 'Lautan Atlantis', sebelum ejaannya dalam bahasa Inggeris ditulis sebagai 'Atlantic' atau Atlantik.

Perasan tak, nama Atlas bukan saja diguna sebagai nama jasad air ini, malahan istilah 'atlas' sendiri yang kita guna sebagai kata rujuk kepada 'koleksi peta dunia' turut dinamakan sempena makhluk mitologi ini - dimulakan oleh Gerardus Mercator, seorang ahli kartografi sekitar abad ke 16.

3. Lautan Hindi

lautan hindi asal usul sejarah

Berbeza dengan kesemua lautan dalam senarai ini, Lautan Hindi adalah satu-satunya kawasan badan air yang dinamakan sempena kawasan atau tanah yang ada berdekatan dengannya.

Pada awalnya, masyarakat barat menamakan kawasan lautan ini sebagai 'Lautan Timur' atau 'Eastern Ocean'.

Selepas proses-proses penjelajahan lebih giat dijalankan, rekod-rekod rasmi kerap menamakan kawasan lautan ini sebagai 'Oceanus Orient alis Indicus' atau 'Lautan Hindi Timur'; (pautan PDF), semuanya disebabkan kewujudan sebuah tamadun yang terdapat kawasan ini iaitu Tamadun Indus sekitar tahun 3300SM/BC ke 1300SM/BC.

Orang Indus menamakan masyarakat mereka (dalam istilah tempatan) Sindhu atau 'sungai', membawa makna 'orang sungai.' Hasil pertemuan masyarakat di sana dengan penjelajah dari barat, penyelidik geografi barat mula merujuk mereka sebagai 'Indus'.

Penggunaan istilah itu bagi mewakili kawasan di bahagian timur bumi (daripada kaca mata masyarakat barat) diperluaskan sehingga turut merangkumi kawasan sekitar Indonesia. 

Sungai yang didiami masyarakat Indus sepanjang 3,180 km ini masih kekal wujud sehingga ke hari ini, merentasi beberapa negara seperti China, India dan Pakistan.

Sementara itu penggunaan nama 'Lautan Hindi' atau 'Indian Ocean' direkodkan kali pertama secara rasmi pada tahun 1515, berdasarkan sejarah dan hubungkait tamadun Indus dengan kawasan tersebut.

4. Lautan Pasifik

lautan pasifik pacific

Lautan Pasifik merupakan kawasan lautan terbesar di bumi, tetapi istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini berpunca daripada kebetulan.

Dari aspek sejarah bahasa, 'pasifik' hadir dari istilah Perancis 'pacifique' yang membawa makna 'mencetuskan keamanan atau kedamaian.' Istilah ini datang daripada gabungan istilah Latin 'pacificus.'

Rekod rasmi menunjukkan penggunaan istilah ini dirakamkan kali pertama sekitar tahun 1540 ke 1550 bagi merujuk nama kawasan lautan ini. Bagaimana istilah pacifique boleh jadi istilah namanya pula?

Semuanya bermula daripada penjelajahan Fernao de Magalhaes atau lebih dikenali sebagai Ferdinand Magellan, mencari Kepulauan Maluku dalam usaha mendapatkan bahan rempah yang ketika itu dianggap sangat bernilai.

Magellan diberitahu berkenaan pulau ini dari seorang rakannya bernama Francisco Serrao, ketika itu ketua ekspedisi Portugis yang bertugas menjelajah kawasan sekitar Maluku, berpusat di Melaka.

Bagi mencari kedudukan sebenar Maluku, Magellan memulakan ekspedisi dari Sepanyol pada tahun 1519 dengan lima buah kapal. Selepas mengharungi perjalanan sukar selama 38 hari sehingga hanya 3 buah kapal selamat, Magellan akhirnya tiba ke satu kawasan di mana airnya tenang dan mendamaikan.

Berdasarkan kedudukannya ketika itu, Magellan merekodkan kawasan tersebut sebagai 'mare pacificum' atau 'laut damai.'

Selepas mencatat sejarah menjadi pengembara barat pertama tiba ke kawasan tersebut, istilah yang digunakan Magellan bagi menamakan kawasan lautan itu mula digunakan secara meluas di kalangan penjelajah barat lain yang akhirnya membawa kepada populariti 'Pacific Ocean' atau Lautan Pasifik.

5. Lautan Selatan/Antartika

lautan selatan antartika

Istilah 'Lautan Selatan' walaupun telah lama bagi diguna bagi merujuk jasad air sekitar kawasan Antartika, gagal dipersetujui majoriti penyelidik lautan.

Penggunaannya hanya diamalkan secara tidak rasmi berdekad-dekad lamanya, disebabkan usaha untuk menamakannya dalam bentuk formal masih belum menemui kata putus.

National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) Amerika Syarikat misalnya, mengiktiraf penggunaan terma 'Lautan Selatan' atau 'Southern Sea' sejak tahun 1999.

Bagaimanapun badan penyelidik lautan terbesar dunia iaitu International Hydrographic Organization atau IHO yang disertai 68 negara anggota, tidak mengiktiraf penggunaannya disebabkan oleh kegagalan untuk mendapatkan sokongan majoriti negara anggota.

Kesemua negara IHO bersetuju wujud keperluan untuk menamakan semula Lautan Antartika, namun hanya 18 daripada 28 buah negara yang memberi maklum balas bersetuju nama 'Lautan Selatan' digunakan. Jadi nama 'Lautan Antartika' kekal buat masa sekarang sebagai nama paling popular walaupun dipertikaikan ketepatannya. 

Kecuali bagi pengkaji di bawah National Geographic Society. Mereka telah mengisytiharkan penamaan lautan itu sebagai 'Lautan Selatan' secara rasmi pada 8 Jun 2021, mungkin kerana mereka merasakan prosedur IHO terlalu menyukarkan situasi.

Bagi nama 'Antartika' pula, istilah asalnya adalah 'Antartike' atau 'tiada beruang.' Dari mana datang istilah ini?

Masih ingat hubungkait gugusan bintang Ursa besar dan kecil dengan asal nama kawasan Artik? Antartika membawa maksud berlawanan dengannya, di mana bintang-bintang yang dipercayai membawa simbol beruang itu tidak kelihatan.

Jadi nama Antartike digunakan bagi merujuk kawasan tersebut yang terletak di Kutub Selatan bumi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)