Penggunaan kapal sebagai tempat tahanan banduan dan pesalah merupakan satu kaedah yang biasa digunakan sejak zaman terdahulu.
Dengan kemunculan sistem fasiliti penjara yang semakin moden, penggunaan kapal-kapal yang telah diubahsuai untuk diletakkan tahanan sudah tidak lagi menjadi satu kebiasaan.
Walaupun begitu, sebuah kapal gergasi yang berlabuh di Bronx, New York City, Amerika Syarikat meneruskan legasi ini, terus meletakkan pesalah dalam kapal sebagai kurungan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Kapal penjara terbesar dunia
Menurut Guinness Book of World Records, Vernon C. Bain Correctional Center atau 'Penjara Vernon C. Bain' merupakan kapal yang digunakan sebagai penjara terbesar di dunia.
Kapal itu dinamakan sempena menghormati jasa seorang warden penjara yang digemari ramai, selepas beliau terkorban dalam satu insiden nahas jalan raya. Pembinaan kapal setinggi lima tingkat ini dimulakan pada penghujung dekad 1980-an sebuah syarikat bernama Avondale Shipyard, dengan kos permulaan RM670 juta.
Kapal itu dibina dengan tujuan utama menyelesaikan masalah peningkatan populasi banduan penjara yang tidak lagi mampu ditempatkan di fasiliti-fasiliti lain.
Ekoran masalah ketiadaan fasiliti mencukupi, Datuk Bandar New York (ketika itu) memahami keperluan mewujudkan penambahan kompleks penjara - namun gagal mendapat lokasi yang sesuai.
Beliau mencadangkan agar kapal dibina sebagai penjara, sekaligus dapat meningkatkan aspek keselamatan selain daripada mengelakkan rungutan orang ramai terus kedengaran yang membantah penambahan bilangan penjara di kawasan sekitar mereka. Cadangan itu jelas diterima baik pihak kerajaan tempatan ketika itu.
Sementara menunggu pembinaan kapal ini siap, kerajaan Amerika Syarikat meluluskan pembelian dua buah kapal penjara dari United Kingdom untuk tujuan sama, bagi membolehkan perpindahan banduan dilakukan terlebih dahulu.
Pembinaan kapal yang akhirnya dinamakan sebagai Vernon C. Bain Correctional Center atau VCBC ini siap dan selamat dilancarkan pada tahun 1992, diletakkan di bawah penyeliaan New York City Department of Corrections.
Dua kapal lebih awal yang telah dibeli sebelum itu dijual semula kepada kerajaan United Kingdom dan kini masih berkhidmat dalam kapasiti sama di Dorset, England sebagai pusat tahanan.
Protes lokasi kapal berlabuh
Walaupun kapal merupakan idea yang baik ekoran kebolehannya untuk dipindahkan secara mudah, cadangan awal kerajaan tempatan New York untuk menempatkan kapal tersebut di beberapa lokasi tetap mendapat tentangan dan protes masyarakat setempat.
Situasi tersebut memaksa kerajaan tempatan New York melakukan tinjauan semula bagi mengenalpasti lokasi terbaik dijadikan lokasi kekal kapal itu akan berlabuh seterusnya membolehkan pembukaan fasiliti tahanannya dimulakan.
Hunts Point yang terletak di bahagian selatan Bronx terpilih membolehkan kemasukan kumpulan pertama 800 tahanan dijalankan. Direka untuk mengendalikan tahanan berisiko sederhana sehingga berbahaya, kesemua banduan yang ditempatkan di situ mula berkongsi 16 dormitori dan 100 buah lokap sebagai rumah baru mereka.
Selepas beroperasi hampir 3 tahun, kontroversi mula melanda pusat tahanan tersebut ekoran jumlah banduan yang mula berkurangan di Amerika Syarikat sehingga tidak lagi memerlukan penggunaan kapal tersebut.
Apa yang dipersoalkan, kos penyelenggaraan serta pengurusan kapal tersebut tetap perlu dikeluarkan memerlukan peruntukan sehingga RM110 juta setahun walaupun jumlah banduan yang dikendalikan mula menurun tahun ke tahun.
Situasi jumlah banduan yang reda memaksa pusat tahanan VCBC ditutup untuk sementara bagi menjimatkan kos, sebelum dibuka semula pada tahun 1998.
Pembukaan semula VCBC menukar mod fasilitinya.
VCBC tidak lagi dijadikan tahanan banduan-banduan berisiko tinggi sebaliknya diubah sebagai pusat tahanan pesalah juvana, sebelum ditukar kepada pusat peralihan banduan yang sedang menjalani peralihan status atau perpindahan.
Fungsi tersebut kekal sehingga ke hari ini.
Kapal penjara yang bakal bersara pada tahun 2026
Perubahan selama beberapa dekad sejak pembukaan VCBC benar-benar mengubah wajah bandar Bronx yang satu ketika dulu cukup terkenal sebagai kawasan penjenayah.
Kadar jenayah bandar tersebut yang satu ketika dulu digeruni kini sudah berada dalam situasi terkawal, menurunkan jumlah banduan yang perlu menjalani hukuman penjara.
Situasi positif ini membuatkan banyak pihak kembali mempersoalkan keperluan untuk kerajaan Amerika Syarikat terus membuka operasi VCBC, sedangkan keperluannya sudah tidak lagi sepenting dahulu. Pandangan ini mendapat reaksi baik pihak kerajaan baik pusat atau tempatan.
Selepas perbincangan melibatkan kesemua pihak terlibat, majlis kerajaan New York bersetuju untuk menutup fasiliti ini pada tahun 2026 melalui pengumuman pada tahun 2019. Tempoh 7 tahun peralihan yang ditetapkan dirasakan wajar dan cukup, untuk pengurusan proses peralihan banduan dan fasiliti ke pusat tahanan lain.
Walaupun demikian, kisah-kisah banduan yang tetap cuba melarikan diri dari VCBC masih lagi dilaporkan.
Kes terbaru melibatkan seorang banduan bernama David Mordukhaev yang berusia 30 tahun berjaya melarikan diri sekitar jam 4 pagi pada tanggal 10 Julai 2021. Dengan menggunakan beberapa cadar tilam yang dipintal untuk dijadikan tali, David meloloskan diri dari tingkap biliknya dan menuruni dinding kapal tersebut lalu terjun ke dalam air.
Bagaimanapun, 12 jam kemudian dia kembali tertangkap di rumahnya. Pada tahun 2020, seorang banduan turut berjaya melarikan diri tetapi ditangkap semula selepas 2 jam berada di dalam air.
Mungkin dia tak reti berenang agaknya.
Rujukan
The East River prison barge, intended to be temporary, draws ire amid plans to close Rikers