Pulau Langkawi ialah salah satu pulau yang terletak di negeri Kedah Darulaman dan merupakan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Bukan sahaja mempunyai banyak pantai dan pulau menarik, Langkawi juga mempunyai pelbagai kisah legenda yang menyelubunginya.
Salah satu kisah paling sinonim dengan pulau ini ialah kisah Sumpahan Mahsuri yang menjadi buah mulut dan tumpuan para pelancong yang berkunjung ke Langkawi. Kisah Mahsuri ini dipercayai berlaku semasa pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803).
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat beberapa versi Sumpahan Mahsuri yang sering diceritakan sama ada melalui penulisan atau lisan penduduk setempat. Iluminasi ingin berkongsikan kepada anda versi popular yang paling banyak dinukilkan mengenai kisah Sumpahan Mahsuri dan Pulau Langkawi ini.
Keturunan Mahsuri di bumi Langkawi
Bapa Mahsuri bernama Pandak Mayah dikatakan berasal dari Indonesia manakala ibunya pula bernama Endak Alang atau Mak Yah adalah berketurunan Cina. Pandak Mayah dan isterinya telah berijrah ke Tongka di Selatan Thailand dan kemudiannya berpindah pula ke Langkapuri (nama lama Langkawi).
Pasangan suami isteri itu tidak mempunyai cahaya mata walaupun telah lama berkahwin. Pada suatu hari, Pandak Mayah telah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan-akan bunyi bayi menangis ketika berehat di pondok setelah mengerjakan sawah.
Kerak nasi ajaib itu dibawa pulang oleh Pandak Mayah dan dicampurkan sedikit bersama nasi yang ditanak. Tidak lama selepas itu, isterinya Endak Alang hamil. Ketika Mahsuri dilahirkan, rezeki pasangan miskin itu semakin bertambah apabila padi yang mereka usahakan semakin menjadi.
Wan Aisyah dikatakan keturunan Mahsuri ke-7
Ditambah pula apabila Pandak Mayah menemui lubuk batu kemenyan dan sarang burung layang-layang yang kemudiannya dijual kepada pedagang-pedagang Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan mereka berubah dan bapa Mahsuri mula digelar sebagai Orang Kaya Pandak Mayah.
Ada juga kisah yang menyatakan bahawa Pandak Mayah telah menemui Ular Cinta Mani atau Ular Itik lalu menangkap dan memakannya. (mengikut kepercayaan orang-orang dahulu, ular ini memberi tuah dan kekayaan kepada sesiapa yang terlihat dan memakannya.)
Kemasyhuran Mahsuri
Mahsuri dibesarkan dengan didikan nilai melayu dan agama yang cukup. Dia juga diajar bersilat untuk mempertahankan diri. Mahsuri membesar sebagai seorang dara pingitan yang menjadi sebutan kerana sifat dan kejelitannya yang luar biasa.
Kemasyhuran Mahsuri bukan sahaja tersebar di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka tempatnya tinggal malah di seluruh Pulau Langkawi. Selain menjadi pujaan ramai, ada juga segelintir pihak yang cemburu dengan populariti Mahsuri terutamanya kaum wanita.
Antara yang menaruh hati pada Mahsuri ialah Penghulu Langkawi yang juga merupakan wakil Sultan Kedah di pulau itu iaitu Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Isteri Wan Yahya, Wan Mahora berasa amarah yang membara apabila mengetahui bahawa suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri sebagai isteri keduanya.
Adik lelaki Wan Yahya iaitu Wan Darus juga menyimpan hasrat yang sama. Demi mengelakkan rumah tangganya goyah dan menjaga nama baiknya selaku pembesar, Wan Yahya merestui niat Wan Darus untuk meminang Mahsuri.
Majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah sekali. Ramai lelaki di pulau itu kecewa kerana gagal memiliki Mahsuri. Begitu juga dengan para wanita yang menaruh hati pada Wan Darus yang dikatakan seorang pahlawan gagah perkasa serta tidak kurang tampannya.
Mahsuri hamil anak sulung
Telaga Mahsuri
Ketika Mahsuri hamil anak sulungnya, hubungan Kedah dan Siam bertambah keruh. Siam mula menakluki bahagian utara Kedah, menyebabkan berlakunya peperangan. Baginda Sultan memerintahkan semua pembesarnya mengumpulkan panglima untuk mempertahankan negeri.
Datuk Pekerma Jaya menyeru orang-orang Langkawi dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang termasuklah Wan Darus. Dengan berat hati Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya untuk pergi berjuang. Mahsuri yang ditinggalkan berpindah ke rumah ibu bapanya kerana sedang sarat mengandung.
Setelah tiba masanya, lahirlah anak lelaki sulung Mahsuri yang dinamakan Wan Hakim. Ada juga sesetengah kisah yang mengatakan bahawa nama anak Mahsuri ialah Wan Mat Arus.
Langit tidak selalunya cerah
Makam Mahsuri
Pada suatu hari, seorang pendatang bernama Deramang berlabuh di pantai Langkawi. Ada kisah yang menyatakan dia berasal dari Batu Bara, Acheh dan ada juga mendakwa dia dari Sumatera. Deramang telah diambil bekerja oleh Pandak Mayah untuk membantunya bertani.
Selain rajin dan tekun bekerja, Deramang juga memiliki bakat istimewa iaitu kebolehannya berdendang dan bersyair. Ramai penduduk kampung yang akan berkumpul di rumah Pandak Mayah hampir setiap malam untuk mendengar dendangan dan syair yang disampaikan Deramang. Ketika itu keluarga Pandak Mayah menjadi bualan di seluruh pelusuk Langkawi.
Kemasyhuran yang diperolehi Mahsuri itu tidak disenangi sesetengah orang terutamanya Wan Mahora. Tambahan pula kedudukannya sebagai isteri pembesar mula dilupakan. Melihat keakraban Mahsuri dan Deramang, Wan Mahora melihatnya sebagai satu peluang yang tidak patut dilepaskannya.
Dia menghasut suaminya Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Wan Yahya mula memerhatikan tindak-tanduk Mahsuri. Rancangan Wan Mahora berhasil apabila kebetulan suatu hari Deramang dilihat masuk ke rumah Mahsuri, tetapi hanya untuk menjaga anak Mahsuri, Wan Hakim, sementara Mahsuri berada di bendang.
Mahsuri dijatuhkan hukuman bunuh
Datuk Pekerma Jaya memerintahkan orang-orangnya yang diketuai oleh Panglima Hitam untuk menangkap Mahsuri. Deramang dikatakan melarikan diri tetapi berjaya diburu dan dibunuh di Batu Asah. Ada juga cerita yang mengatakan bahawa Deramang ada bersama ketika Mahsuri diseret ke Balai Adat di Padang Mat Sirat.
Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat mendengar khabar itu dan menawarkan segala harta kekayaan demi menyelamatkan nyawa puteri tunggal mereka tetapi ditolak oleh Datuk Pekerma Jaya.
Mahsuri kemudian dibawa ke tempat hukuman dan diikat di sebatang pokok. Orang ramai datang untuk menyaksikan perkara tersebut kerana terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan ke atas Mahsuri itu.
Orang ramai terkejut apabila tombak atau keris yang digunakan untuk menikam tubuh wanita itu tidak berjaya menembusinya. Peristiwa ini mencemaskan Wan Mahora kerana ia bukti bahawa Mahsuri tidak bersalah. Mahsuri terus diseksa sehingga dirinya tidak bermaya lagi.
Mahsuri akhirnya memberitahu rahsia bahawa dirinya hanya boleh dibunuh dengan menggunakan tombak pusaka milik keluarganya sahaja (ada yang mendakwa keris pusaka).
Sumpahan Mahsuri
Tanpa membuang masa Datuk Pekerma Jaya mengarahkan tombak itu diambil di rumah Pandak Mayah. Setelah memperolehinya, Wan Yahya menikam Mahsuri menembusi rusuk dan buah dada kiri Mahsuri.
Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, Mahsuri melafazkan kata-kata yang dianggap sumpahan dan diingati sepanjang zaman:
Aku redha matiku jika benar aku bersalah tetapi jika aku dianiaya, aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini. Aku bersumpah, bumi Langkawi tidak akan aman dan menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!
Darah yang mengalir keluar dari tubuh Mahsuri bukannya berwarna mereh tetapi berwarna putih. Ada kisah yang mengatakan bahawa darahnya terapung seperti awan dan hilang di udara serta tidak menitik ke tanah.
Wan Darus pulang ke Langkawi setelah kekalahan tentera Kedah di Kuala Muda tetapi kecewa setelah menerima berita kematian Mahsuri. Dia dan anaknya, Wan Hakim, bersama ibu bapa Mahsuri kemudian meninggalkan Langkawi untuk selamanya.
Tentera Siam kemudan mara ke seluruh pelusuk Kedah termasuklah Pulau Langkawi. Genap tujuh hari selepas kematian Mahsuri, kemusnahan dan kematian berlaku di merata tempat. Datuk Pekerma Jaya dibunuh oleh tentera Siam dan mayatnya dicampakkan di Sungai Langkanah.
(kanan) Wan Aisyah Nawawi, keturunan ke-7 Mahsuri
Manakala Wan Mahora pula dikatakan dirogol dan dijadikan hamba oleh tentera Siam sebelum dibunuh. Angkara hasad dengki dan fitnah, Langkawi menerima akibat yang besar dan hebat.
Rujukan: