Oleh pada 03 Jul 2019 kategori

kredit gambar GooGooZool

Kisah Raja Bersiong dikatakan mula berasal daripada cerita-cerita lisan yang berunsurkan mitos dan legenda. Ia kemudiannya disematkan dalam sastera tulisan yang diberi nama 'Hikayat Merong Mahawangsa'. Ia merupakan sebuah karya sastera sejarah teragung berkaitan dengan sejarah negeri Kedah.

Sama ada ia hanya satu mitos atau kisah benar, kezaliman Raja Bersiong sentiasa menarik perhatian peminat sastera dan sejarah tanah air. Hikayat ini pernah direkodkan oleh R.J. Wilkinson pada tahun 1898 bertajuk 'Salasilah Negeri Kedah Dar al Aman'. Ia kemudiannya diterbitkan dan diolah semula oleh Siti Hawa Salleh pada tahun 1991.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebiasannya dalam penulisan sastera Melayu, sesuatu kritikan terhadap raja disampaikan secara tersirat dan memerlukan pemahaman mendalam seperti Temasik dilanggar todak, Sultan Melaka meminang Puteri Gunung Ledang dan beberapa lagi.

Manakala Hikayat Raja Bersiong pula adalah satu-satunya sastera Melayu lama yang menceritakan kezaliman seorang raja secara berterus terang. Ini yang menjadikannya istimewa berbanding hikayat-hikayat lain.

halaman hikayat merong mahawangsa

Antara halaman Manuskrip Hikayat Merong Mahawangsa

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, watak Raja Kedah yang kelima sebelum memeluk Islam ialah seorang raja keturunan siam bernama Raja Ong Maha Perita Deria. Dia dikatakan seorang yang berpewatakan bengis dan zalim. Jika ada rakyatnya yang melakukan kesilapan walaupun sedikit, dia akan memerintahkan mereka supaya dipenjarakan.

Manakala gelaran 'Raja Bersiong' yang diberikan kepadanya dalam Hikayat Merong Mahawangsa mungkin kerana dia gemar memakan bayam yang bercampur darah, bermula apabila salah seorang tukang masaknya secara tidak sengaja terhiris jari dan darahnya bercampur dalam masakan sayur bayam.

Raja Bersiong makan masakan sayur bayam tersebut dan perasan bahawa ia tidak sama seperti sebelumnya. Dia memerintahkan pengawal untuk memanggil tukang masaknya datang menghadap.

kota aur raja bersiong kedah 816

Kota Aur di Gubir, Kedah

Setelah disoal apakah yang menyebabkan rasa sayur bayam itu lebih enak, akhirnya tukang masaknya mengaku bahawa masakan itu telah bercampur darah secara tidak sengaja. Tukang masak yang takut akan dihukum terkejut apabila Raja Bersiong yang zalim itu memberikan reaksi berlainan sama sekali.

Raja Bersiong memerintahkan agar 'resipi' baru itu dibuat setiap hari bermula dari saat itu. Dia juga mengarahkan pengawalnya agar  tahanan di penjara yang menanti hukuman mati dibunuh dan diambil darahnya setiap hari untuk digunakan dalam masakan kegemarannya itu.

Sejak daripada itu, rakyat negeri Kedah semakin takut kepada Raja Bersiong yang sering dahagakan darah itu termasuklah para petugas di istananya sendiri. Apabila tahanan di penjaranya semua habis dibunuh, Raja Bersiong mengarahkan pula para pengawalnya untuk menculik orang awam khususnya kanak-kanak.

sup bayam merah

Rakyat negeri Kedah termasuk para petugas istana menjadi semakin marah dan benci kepada Raja Bersiong. Akibat perbuatannya meminum darah itu juga, tanpa disedari dua batang taring atau siong telah tumbuh di mulutnya.

Raja Bersiong malah berbangga dengan siongnya itu. Dia mahu semua rakyatnya tahu bahawa siongnya bertambah panjang apabila dia memakan lebih banyak darah manusia. Ia menambahkan lagi ketakutan rakyat Kedah. Bagi Raja Bersiong pula, dia perlukan rasa takut dan hormat itu dari rakyat dan juga musuhnya.

Pernah sekali, salah seorang daripada tukang masaknya cuba untuk meletakkan racun dalam masakan sayur bayam bagi menghentikan kekejaman Raja Bersiong. Akan tetapi, rancangan itu gagal apabila anjing buruan milik raja itu menumpahkan dan memakan masakan itu. Anjing buruannya mati sejurus selepas itu dan tukang masak yang terlibat diseksa dan dihukum bunuh.

hikayat raja bersiong kedah

Ada juga berlaku pemberontakan oleh para nelayan di Kedah untuk menentang kezaliman Raja Bersiong tetapi berjaya digagalkan oleh para tentera yang ditugaskan oleh raja. Semua pemberontak telah berjaya dibunuh dan salah seorang daripada mereka merupakan adik kepada seorang menteri Raja Bersiong.

Ketika kejadian itu, menteri itu berada di luar negeri Kedah. Apabila pulang, orang kampung menceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Menteri itu berasa marah dan sedih kerana dia amat patuh kepada raja sebelum ini.

Menteri yang terkenal di kalangan orang-orang istana itu bercadang sudah tiba waktunya untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kekejaman yang berlaku. Dia menanti masa yang sesuai untuk melakukan pemberontakan. 

Pada suatu hari ketika Raja Bersiong keluar berburu, menteri itu menjalankan misinya. Dia berjaya mendapat sokongan daripada menteri-menteri lain dan pasukan tentera Raja Bersiong sendiri.

hikayat lagenda raja bersiong

Mereka mula menuju ke tempat Raja Bersiong memburu untuk mengepung raja zalim itu. Melihat keadaan itu, tahulah Raja Bersiong bahawa terjadinya pemberontakan. Dia mengarahkan pengawal dan tentera yang mengiringinya untuk menentang pasukan pemberontak itu tetapi tiada siapa yang patuh kepada arahannya.

Raja Bersiong berasa takut dan cuba untuk melarikan diri ke hutan untuk menyelamatkan diri. Ketika melarikan diri, Raja Bersiong telah memulas dan mencabut siongnya agar tidak dikenali dan membaling taring itu di kawasan yang kini dinamakan Baling di Kedah.

Raja Bersiong juga dikatakan telah singgah di Perak ketika melarikan diri. Kawasan yang disinggahnya itu kini dikenali sebagai Kota Raja Bersiong di Ijok, Selama, Perak. Raja Bersiong akhirnya mati ketika dalam buangan dan tanpa sebarang gelaran dan kuasa.

poster filem lama raja bersiong

Poster Filem Raja Bersiong

raja bersiong kedah

Filem Raja Bersiong (1968)

Kisah unik Raja Bersiong ini telah diperbaharui dalam bentuk filem oleh M. Amin dan ditayangkan pada 1968 atas permintaan Perdana Menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman kerana keunikan kisah itu.

Rujukan:

1. Malaysia Kini

2. Sastera Rakyat Kedah

3. Utusan




Hakcipta iluminasi.com (2017)