Sesetengah tempat bersejarah di dunia ini bukan sahaja memiliki pemandangan yang indah, namun ada di antaranya yang menyimpan legenda mengenai sumpahan. Tempat-tempat yang terkena sumpahan ini selalunya dikaitkan dengan nasib malang atau pelbagai lagi perkara mistik yang menjadi buah mulut untuk sekian lamanya. Berikut kami kongsikan anda beberapa tempat yang dikatakan terkena sumpahan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Sebuah dinding dari gereja Margam - Wales
Sebuah dinding daripada runtuhan sebuah gereja yang berusia lebih kurang 800 tahun masih megah berdiri di Port Talbot, Wales. Dinding ini dikelilingi oleh pagar besi dan batu-bata yang dijadikan sokongan kepada dinding ini. Semua ini disebabkan oleh satu sumpahan purba.
Kisah mengenainya bermula apabila Raja Henry VIII telah mengarahkan agar biara ini dibubar dan diruntuhkan pada kurun ke-16. Salah seorang paderi Cistercian (satu kumpulan paderi yang ditubuhkan pada tahun 1098) tempatan telah memberitahu tuan tanah yang baharu bahawa jika kesemua bangunan gereja itu runtuh, maka keseluruhan bandar itu juga runtuh bersamanya.
Sejak itu, penduduk tempatan mencuba sedaya upaya agar tidak membiarkan dinding terakhir itu runtuh, walaupun banyak kilang besi yang telah didirikan di sekelilingnya. Khabar angin mengatakan lembaga paderi yang telah membuat sumpahan itu seringkali dilihat berada di sekitar kawasan berdekatan dinding itu.
2. Menara Alloa - Scotland
Menara Alloa di Clackmannanshire, Scotland dilaporkan telah disumpah selama beberapa ratus tahun lamanya. Pada kurun ke-16, Earl of Mar dikatakan telah memusnahkan biara Cambuskenneth dan mengambil batu dari runtuhan itu untuk membina istana barunya.
Ketua sami di biara itu dikatakan berang dan telah melakukan beberapa sumpahan yang dikenali sebagai "The Doom of Mar" ke atas keluarga Earl itu. Beberapa daripada sumpahan telahpun menjadi kenyataan. Salah satu sumpahan itu adalah '3 keturunan Mar tidak akan melihat cahaya di dunia ini' dan ia menjadi kenyataan apabila tiga orang anak luar nikah Earl itu dilahirkan buta.
Sumpahan lain pula mengatakan rumah itu akan terbakar dan itulah yang berlaku pada tahun 1800. Satu lagi sumpahan mengatakan rumah itu akan hancur dan runtuh, sehinggalah bumbungnya ditumbuhi anak pokok. Pada tahun 1820, kelihatan anak pokok menjalar telah mula tumbuh pada bumbung bangunan itu dan dipercayai bahawa sumpahan pada keluarga itu telah berakhir.
3. Tapak perkuburan pekerja - Mesir
Pada tahun 2017, para arkeologi telah menemui sebuah kompleks kubur berusia 4500 tahun di Giza, Mesir. Ia mengandungi ratusan kubur pekerja yang dipercayai terlibat dalam pembinaan Piramid Besar Giza.
Di situ juga terdapat kubur ketua kepada pekerja dan dipercayai bahawa dia telah melakukan sumpahan terhadap kubur itu bagi melindunginya daripada pencuri. Di antara sumpahan yang tertulis di situ adalah:
"Sesiapa yang memasuki kubur ini dan melakukan kerosakan padanya, buaya dan badak air akan menjadi musuhnya dalam air manakala ular dan kala jengking akan menjadi musuhnya di darat".
Kini kompleks perkuburan itu telah dibuka kepada orang awam.
4. Runtuhan Chateau de Rocca Sparviera - Perancis
Sebuah runtuhan istana yang terletak di utara Perancis ini mempunyai legenda yang agak menggerunkan. Cerita mengenainya bermula pada era medievel Perancis di mana seorang Ratu bernama Jeanne telah datang ke istana ini bersama dua anak lelakinya serta seorang sami setelah suaminya dibunuh.
Pada satu malam Hari Natal, Jeanne telah pergi ke kampung berdekatan untuk melihat perayaan yang diadakan di sana. Apabila kembali semula ke istananya, dia mendapati dua anak lelakinya telah dibunuh oleh sami itu dalam pergaduhan ketika mereka mabuk (dalam versi lain dikatakan sami itu menghidangkan makanan dan Jeanne memakannya tanpa menyedari itu adalah daging anaknya sendiri).
Dalam legenda mengatakan Jeanne telah menyumpah istana itu dengan mengatakan bahawa tiada seekor burung pun yang akan hinggap dan berkicauan di situ. Sehingga hari ini sesetengah pengembara telah memberitahu bahawa runtuhan istana itu dirasakan sangat dan menyeramkan.
5. Batu kerikil Pulau Koh Hingham - Thailand
Sebuah pulau kecil yang terletak di Thailand iaitu Koh Hingham, dihiasi dengan batu cantik yang berwarna hitam. Batu kerikil itu dianggap berharga bukanlah disebabkan ia bernilai dari segi kewangan namun kerana masyarakat Thailand percaya ia dihasilkan oleh Tuhan Tarutao.
Tarutao dikatakan telah meletakkan sumpah kepada sesiapa sahaja yang membawa batu ini keluar daripada pulau itu. Saban tahun, pejabat Taman Negara yang menguruskan pulau itu akan menerima banyak bungkusan dari seluruh dunia yang mengandungi batu kerikil hitam itu.
Ini kerana, banyak para pengunjung yang mengambil batu kerikil hitam itu keluar dari pulau Koh Hingham untuk dijadikan kenangan dan mereka mendakwa diri mereka sering mengalami nasib malang.
6. Tanda nama di Gereja Universiti St. Andrew - Scotland
Tanda nama "PH" telah diukir di hadapan pintu masuk di luar Gereja St. Salvator di Universiti St. Andrew, Scotland. Ia ditanda sempena nama Patrick Hamilton, seorang paderi dan juga ahli fakulti berusia 24 tahun, di mana dia dibakar kerana menyebarkan ajaran sesat pada tahun 1528.
Lokasi itu dikatakan mempunyai sumpahan. Dikatakan jika mana-mana pelajar yang memijak tanda nama itu maka mereka akan gagal dalam perperiksaan. disebabkan kepercayaan ini, ramai pelajar akan datang selepas hari graduasi untuk berdiri di tapak tanda nama ini kerana tidak lagi risau untuk gagal dalam perperiksaan.
7. Pulau Charles - Connecticut
Pulau Charles terletak berhampiran pinggiran pantai di Milford, Connecticut. Pulau ini boleh diakses dari tanah besar melalui tebing pasir yang kelihatan apabila air surut. Hari ni ia merupakan habitat kepada burung tempatan dan juga satu sejarah lama yang mengandungi 3 sumpahan.
Dikatakan bahawa sumpahan pertama telah dilakukan pada tahun 1639 oleh ketua puak Paugussett, setelah mereka diusir oleh penjajah. Ketua puak itu dikatakan telah melakukan sumpahan kepada setiap bangunan yang dibangunkan di pulau itu.
Sumpahan kedua pula dikatakan berlaku pada tahuh 1699, apabila seorang lanun iaitu Kapten William Kidd telah berhenti di pulau itu dan menanam harta rompakannya serta melindungi tapak itu dengan sumpahan. Tidak lama selepas itu Kidd ditangkap dan dihukum bunuh tanpa mendedahkan di mana harta itu disembunyikan.
Sumpahan yang ketiga pula datangnya jauh dari Mexico. Pada tahun 1525, Maharaja Mexico iaitu Guatimozi telah diseksa oleh penjajah Sepanyol supaya mendedahkan lokasi harta karun kaum Aztec namun maharaja itu tetap tidak memberitahu.
Sehinggalah pada tahun 1721 apabila sekumpulan kelasi telah menjumpai harta itu disembunyikan di sebuah gua di Mexico. Mereka telah membawa harta itu pulang namun nasib buruk yang berterusan menimpa mereka sehinggalah hanya seorang sahaja kelasi yang masih selamat tiba di Pulau Charles ini. Dia kemudian telah menanam harta yang disumpah ini dengan harapan agar sumpahannya dapat dihapuskan.
8. Bandar berhantu di Bodie - California
Bandar Bodie yang terletak di Sierra Nevada, California dibangunkan ketika zaman perburuan emas sedang rancak dijalankan. Bandar yang berada di kemuncaknya pada penghujung kurun ke-19 itu mempunyai populasi sebanyak 10,000 orang.
Apabila emas di situ sudah mulai berkurangan, bandar itu juga dilihat semakin sunyi tambahan pula dengan beberapa kejadian kebakaran yang menyebabkan beberapa bangunan rosak. Pada tahun 1950-an, bandar itu telah menjadi bandar kosong tanpa penghuni.
Pada tahun 1962, bandar Bodie telah dijadikan Tapak Bersejarah Negeri dan cerita mengenai sumpahan bandar itu juga turut tersebar. Ramai pelawat yang telah mengambil sesuatu sebagai tanda kenangan dari bandar itu mendakwa telah mengalami nasib yang buruk.
Muzium tempatan juga telah memaparkan beberapa surat yang ditulis oleh pengunjung yang telah menghantar semula barangan yang dibawa keluar dengan harapan dapat membalikkan sumpahan itu.
Khabar angin mengatakan cerita mengenai sumpahan itu sebenarnya disebarkan oleh seorang renjer yang menjaga kawasan itu agar pengunjung berhenti dari mencuri barangan bersejarah yang ada di situ. Namun dia tidak menyangka bahawa ramai pengunjung yang mencuri telah mendakwa bahawa mereka benar-benar mengalami nasib yang malang. Ini telah menguatkan lagi bahawa bandar itu sememangnya telah disumpah.