Dalam hidup kita, kita menemui ramai orang yang mempunyai bermacam jenis perwatakan dan perangai.
Majoriti kami yakin baik, tetapi ada jugalah segelintir golongan yang perangai mereka mampu membuatkan kita rasa sedikit jengkel dengan mereka. Salah satu perangai yang kerap kali dikritik perwatakannya khasnya dalam era media sosial zaman sekarang, adalah sikap seseorang yang narsisistik.
BESARKAN TEKS A- A+
'Narsis' atau 'narcist' adalah gelaran yang kita lafazkan merujuk kepada individu yang hanya mempedulikan tentang diri sendiri, senantiasa rasa'syok sendiri' dengan semua kelakuan dirinya.
Kenapa golongan sebegini digelarkan 'narsis'?
Legenda Narcissus yang disumpah syok sendiri tahap dewa
Istilah 'narcist' yang sering kita sebutkan dalam bahasa Inggeris, sebenarnya datang daripada mitos legenda masyarakat Yunani tentang seorang dewa bernama Narcissus atau Narkissos.
Kisah Narcissus ada ceritakan dalam buku hikayat lama Yunani berjudul Metamorphoses, dikarang seorang penulis bernama Ovid dan dikompilasikan sekitar tahun ke 8.
Metamorphoses merupakan koleksi 15 buah sajak dalam bahasa Latin yang membawakan cerita pengajaran tentang perubahan sikap yang boleh berlaku, merangkumi kisah peristiwa penciptaan dunia sehinggalah tibanya era kematian Julius Caesar.
Diceritakan dalam salah satu sajak tentang seorang dewa bernama Narcissus, yang mempunyai wajah mampu mencairkan perasaan dan hati mana-mana orang yang melihatnya.
Narcissus anak kepada dewa yang menjaga sungai Kephisos selepas menyetubuhi seorang dewi tasik bernama Liriope secara paksa, melahirkan anak dengan wajah kacak itu ke dunia.
Narcissus walaupun mempunyai rupa paras yang sangat indah, malangnya tidak terbuka untuk sudi menerima mana-mana cinta sesiapa pun. Salah seorang dewi yang telah jatuh hati sehingga obses terhadap Narcissus bernama Echo (ditulis sebagai Ekho).
Echo adalah dewi bukit yang telah disumpah tidak dapat bercakap secara biasa, sebaliknya hanya mampu mengulangi perkataan terakhir yang didengarinya daripada orang lain. Sebab inilah gema disebut sebagai 'echo' dalam bahasa Inggeris, sempena mengambil nama Echo.
Rasa cinta Echo kepada Narcissus
Ketika Narcissus sedang berburu di dalam hutan mencari rusa, Echo ternampak Narcissus.
Hatinya tertawan dengan kekacakan Narcissus selepas pertemuan tidak sengaja itu, namun Echo yang tidak mempunyai kebolehan untuk bercakap hanya mampu melihat Narcissus dari jauh dan mengulangi secara diam apa yang didengarinya.
Ketika Narcissus tersesat dan cuba mencari jalan, Echo yang bersembunyi memerhatikan Narcissus dari jauh. Semua usaha Narcissus mendapatkan bantuan gagal, dia menjerit, dia melaung.
Sehinggalah Echo tersalah anggap Narcissus sedang memanggilnya. Echo dengan 1001 harapan menampakkan diri di depan Narcissus, malangnya Narcissus menolaknya. Penolakan ini mengakibatkan Echo terkejut dan merasa sangat kecewa, lalu melarikan diri.
Namun hatinya yang telah tertambat pada Narcissus tidak boleh terlerai walaupun ditolak.
Bermula dari detik itulah Echo mengabdikan diri sepanjang hayatnya hanya untuk Narcissus, berusaha mengintai jejaka itu dari jauh tanpa berani menampakkan diri tanpa meluahkan perasaan kasih dan sayang yang ada padanya, kerana tiada daya.
Tidak lama selepas pertemuan dengan Echo, seorang jejaka bernama Ameinias turut sama mengalami apa yang telah dirasai oleh Echo; terjatuh cinta dengan Narcissus.
Seperti Echo, perasaan itu ditolak Narcissus dengan angkuh tanpa rasa simpati. Bagaimanapun akibat penolakan kali ini, nasib Narcissus bakal berubah.
Disumpah kerana menolak cinta lelaki lain
Ameinias yang kecewa cintanya ditolak, bertindak membunuh diri di hadapan pintu kediaman Narcissus.
Walaupun begitu sebelum nyawanya tamat dia sempat memohon kepada Dewi Nemesis - dewi yang menguasai pembalasan, untuk memberikan Narcissus pengajaran dek sifatnya yang angkuh, sombong dan bongkak.
Nemesis menerima permintaan Ameinias - menyumpah Narcissus, mengakibatkan Narcissus akhirnya jatuh cinta dengan diri sendiri setelah terlihat pantulan dirinya di permukaan air tasik.
Narcissus yang dilamun cinta dengan wajahnya sendiri cuba untuk mendapatkan lelaki dalam pantulan itu.
Tetapi setiap kali dia menyentuh air, 'lelaki' itu hilang dari pandangan sebelum kembali muncul. Duduk di situ Narcissus mencuba dan mencuba dan mencuba, sehinggalah dia berputus asa.
Berasa sedih keinginannya gagal dikecapi, Narcissus nekad membunuh dirinya kerana gagal mendapatkan 'cintanya.'
Darah Narcissus yang tumpah ke tanah mengakibatkan sejenis tumbuhan berbunga yang cantik tumbuh, kini dinamakan sebagai spesis Narcissus poeticus. Dalam bahasa Melayu, pokok ini kita namakan pokok bunga narjis atau nargis, juga dikenali sebagai dafodil.
Echo yang bersembunyi melihat semua yang berlaku terhadap cinta hatinya itu, hanya mampu merenung detik-detik akhir Narcissus.
Sebelum meninggal dunia Narcissus sempat mengucapkan 'selamat tinggal' atau 'farewell' kepada dirinya sendiri yang terpapar di permukaan air. Ucapan itu diulangi semula Echo, mengucapkan selamat tinggal kepada lelaki yang dicintai tetapi telah menolak cintanya.
Echo meninggal dunia dalam keadaan merana akibat patah hati, hidup sengsara dan akhirnya bertukar menjadi batu.
Narsisistik - gejala yang semakin ketara
Begitulah kisah kenapa individu yang taksub dengan bayang-bayang diri sendiri kini digelarkan sebagai narsisitik.
Dalam aspek bahasa Melayu, kita sebenarnya tiada istilah 'narcist' atau 'narsis' sebagai istilah rasmi - sebaliknya penggunaannya haruslah dengan imbuhan penuh, menjadikan istilah betul sebagai 'narsisistik.'
Secara statistiknya, dianggarkan 5 daripada 100 orang di seluruh dunia berhadapan dengan masalah ini - jauh mementingkan semua tentang diri sendiri dan gagal mengambil kira hati budi orang lain.
Sekiranya anda gemar melihat bayangan diri sendiri dalam cermin, suka dengan apa yang anda lihat dan merasakan tidak ada mana-mana individu lain dapat memenuhi hati anda melainkan anda seorang saja...ada kemungkinan anda adalah seorang yang narsisistik.
Jika anda ada 'Echo' anda, cuba minta pandangan mereka.
Manalah tahu mereka telah lama memendam rasa mahu meluahkannya, tetapi takut semua pandangan mereka tentang anda bakal ditong sampahkan sekelip mata.