Generasi sekarang mungkin tidak pernah mendengar perkataan 'Jikey' walaupun bagi mereka yang tinggal di utara semenanjung tanah air. Jikey sebenarnya adalah sejenis teater rakyat yang terkenal di kalangan penduduk utara suatu masa dahulu terutamanya di Kedah dan Perlis.
Kredit foto : Affacino
Kini, warisan rakyat itu semakin dilupakan masyarakat. Hanya beberapa kumpulan sahaja yang masih aktif mengadakan persembahan seperti Persatuan Jikey Mukim Kedawang di Langkawi yang ditubuhkan pada tahun 1950-an dan Kumpulan Jikey Bukit Hangus di Sik yang ditubuhkan pada 1974.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan dan pesta-pesta, kumpulan Jikey juga pernah diundang untuk membuat persembahan sempena ulang tahun Keputeraan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Sejarah Jikey
Lakonan Jikey dulu-dulu
Lakonan Jikey 2009. Kredit foto Affacino
Terdapat beberapa saranan bagaimana Jikey bermula. Ada keterangan mengatakan bahawa Jikey dimulakan oleh orang-orang miskin yang memerlukan wang untuk kembali ke negeri mereka. Justeru itu mereka terpaksa mengadakan satu permainan untuk mengumpul wang yang diperlukan.
Keterangan kedua mengisahkan tentang sekumpulan peniaga yang belayar ditangkap kerana tidak mempunyai surat kebenaran berniaga. Mereka dipenjara dan memohon belas kasihan raja untuk dilepaskan.
Raja kemudiannya memberikan nobat, gendang dan alat-alat lain untuk mereka berlatih di kawasan penjara. Kumpulan peniaga itu menamakan persembahan mereka sebagai Jikey. Mereka berjaya menghiburkan raja lalu mereka dibebaskan.
Jikey dulu-dulu
Jikey Sekarang
Manakala keterangan ketiga pula menyebutkan bahawa Jikey berasal dari India. Disebabkan itulah dalam setiap permainan Jikey terdapat seorang watak dari India. Dikatakan bahawa seorang lelaki India yang berniaga di Tanah Melayu bersama isterinya mahu pulang ke negara asal.
Namun, kapal mereka telah dirampas dan pasangan itu dipenjarakan kerana tidak membayar cukai. Untuk mendapatkan wang, raja negeri itu telah memerintahkan pasangan itu agar menari dan membuat lakonan.
Ketiga-tiga keterangan di atas mempunyai satu motif yang sama yakni bagaimana sekumpulan manusia terpaksa berlakon untuk mendapatkan wang tebusan.
Bagaimana Jikey dimainkan
Jikey dianggap sebagai satu teater komunal iaitu sejenis hiburan rakyat yang menggabungkan ciri-ciri Mak Yong, Mek Mulung, Hadrah dan Bangsawan. Sebelum lakonan dimulakan, ahli-ahli korus terlebih dahulu memainkan alat muzik sekuat hati.
Pada bahagian ini, ahli korus akan berjenaka dengan penonton. Ia bukanlah sesuatu yang asing kerana usik-mengusik ini juga terdapat dalam persembahan teater-teater popular lain.
Penggunaan alat muzik, teknik persembahan, pakaian, watak serta nyanyian membawa cerita tersendiri dalam persembahan Jikey. Antara alat-alat muzik yang digunakan dalam permainan ini adalah seperti :
- Gendang - Dalam permainan ini tiga buah gendang digunakan dalam bentuk yang berlainan ukurannya. Yang paling besar dipanggil "Penyibu" yang dibuat dari kulit anak kerbau. Yang sederhana "Pengabah" daripada kulit kambing jantan sementara yang kecil "Penganak" daripada kulit kambing.
- Cerek - Dalam permainan ini lima pasang cerek yang diperbuat dari buluh betung digunakan. Kesemua cerek ini sama panjang dan sama lebar dan selalunya panjang cerek ini kira-kira dua ruas buku buluh.
- Serunai - Diperbuat daripada kayu merbau dan dicat menurut kehendak pembuatnya. Serunai ini kalau dilihat dari jauh seolah-olah satu alat yang berat yang diperbuat dari besi.
- Loceng - Di Langkawi menggunakan istilah loceng tetapi bentuk alat ini tidaklah seperti yang biasa kita kenal. Di Sik, Kedah ianya hanya disebut "Ching" saja. Ianya diperbuat daripada besi atau tembaga atau sebenarnya merupakan bekas pinang atau cerana. Istilah yang lebih tetap ialah "kisi"
Selain itu, alatan moden seperti tamborin juga diperkenalkan dalam permainan Jikey tetapi menggunaannya adalah amat sederhana. Terdapat juga beberapa alatan lain yang sering digunakan dalam permainan ini seperti :
- Sapu tangan - Sapu tangan ini digunakan di kedua-dua negeri (Kedah dan Perlis) oleh watak raja dan puteri-puterinya. Mungkin ini melambangkan pangkat atau kerabat diraja.
- Pemukul - Pemukul ini digunakan di Langkawi dalam adegan di mana hulubalang mengadap raja untuk memberitahu akan kehilangan puterinya. Raja memegang pemukul dan menunjuk-nunjuk ke arah hulubalang ketika memerintahnya mencari puteri baginda. Di Perlis, putera sulung adalah raja yang sombong, derhaka dan lupa asal-usulnya. Dia akan menggunakan pemukul ini untuk memukul adik dan bapa yang berpura-pura tidak dikenalinya. Manakala di Kedah pemukul ini digunakan dalam adegan lucu.
- Beg dan cermin bulat - Digunakan oleh Tok Nujum, mungkin untuk mengisi bahan nujumannya. Manakala cermin pula digunakan oleh Tok Nujum untuk tilik menilik.
- Topeng - Dalam persembahan Jikey, hanya dua buah topeng yang biasanya digunakan. Di Kedah, topeng biasanya digunakan oleh watak Tok Nujum atau watak lawak manakala di Perlis pula biasanya digunakan oleh watak bapak atau khadam. Topeng juga seperti sapu tangan di mana ia digunakan untuk menunjukkan kedudukan sosial.
Lazimnya, persembahan Jikey ini dipersembahkan di majlis kenduri atau menyambut keramaian istimewa di kalangan masyarakat Melayu seperti pesta dan perayaan rasmi. Ia biasanya diadakan pada waktu malam bermula dari jam 8.00 sehingga 12.00 tengah malam.
Kebanyakan cerita-cerita yang dilakonkan oleh pemain-pemain Jikey diambil dari hikayat dan cerita dongeng seperti :
- Cerita Raja Rum
- Cerita Raja Cina
- Kisah Raja Dua Beradik
- Cerita Ahmad Mohamad
- Cerita Mahsuri
- Bawang Putih Bawang Merah
- Cerita Batu Belah Batu Bertangkup
- Pending Emas Pending Perak
- Awang Kudis Buta
- Cerita Seri Intan Seri Emas
Antara watak-watak penting yang sering digunakan dalam permainan Jikey pula adalah seperti :
- Watak India atau Benggali
- Watak lawak
- Watak Raja
- Watak Wira atau Wirawati
Upacara Penyemahan
Sebelum persembahan ini bermula, gelanggang atau pentas akan disemah terlebih dahulu. Upacara ini dilakukan sendiri oleh ketua pasukan. Roh-roh guru yang asal dipuja supaya menyelamatkan pelakon-pelakon dan juga memuja semangat-semangat ghaib dari pelakon-pelakon yang bijak di zaman dahulu supaya menjiwai pelakonnya agar dapat mengeluarkan dialog-dialog yang menarik kerana dialog-dialog lakonan lahir secara 'spontan'.
Rujukan:
1. Academia.Edu
2. JKKN
3. Utusan