Jika kita mempunya kisah-kisah legenda berkenaan dengan hantu, Jepun juga tidak terkecuali.
Sesetengah orang Jepun takut untuk berjalan berseorangan pada waktu malam kerana percaya Jepun mempunyai pelbagai jenis hantu yang mengintai di kawasan gelap.
Ini termasuklah "yurei" yang bermaksud manusia yang mati kemudian menjadi hantu, dan juga "yokai" iaitu roh mitos yang telah menjadi sebahagian daripada cerita rakyat di Jepun untuk berabad lamanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Sosok-sosok hantu ini menghantui di merata-rata tempat dari sungai-sungai ke kawasan pergunungan hinggalah ke jalan-jalan di bandar.
Bermula dari awal abad ke-8, roh-roh ini pertama kali muncul dalam Kojiki, yang merupakan catatan terawal tentang mitologi Jepun, mencatatkan penciptaan Jepun sendiri.
Sejak itu, yurei dan yokai kerap muncul dalam seni tradisional Jepun seperti ukiyo-e (ukiran kayu) sehingga kini.
Sesetengah daripadanya dilihatkan sebagai ikon budaya popular, seperti manga yang kemudiannya dihasilkan sebagai anime iaitu Gegege no Kitaro yang mana kesemua watak adalah berbentuk yokai.
iluminasi.com kongsikan 6 lgenda hantu Jepun yang sangat menakutkan.
1. Kuchisake Onna
Kuchisake Onna adalah yurei moden yang sangat jahat, yang mana namanya secara harfiahnya diterjemahkan kepada "wanita mulut terkoyak".
Menurut legenda, ketika Kuchisake Onna masih hidup, dia dihukum oleh suaminya kerana curang dan berzina. Berang dengan tindakan itu, suaminya menghiris mulut Kuchisake Onna terbuka dari satu telinga ke satu telinga yang lain.
Hantu Kuchisake Onna muncul sebagai seorang wanita muda yang cantik memakai topen muka sambil memegang senjata tajam seperti gunting. Dia menghampiri manusia pada waktu malam dan bertanyakan soalan dengan tujuan jahat.
"Watashi, kirei?" yang bermaksud "Cantik tak saya?", adalah soalan yang ditanyakan. Jika jawapan yang diterima adalah tidak, maka mangsa akan dibunuh serta-merta dengan memotong tubuh anda.
(Gambar yang didakwa sebagai Kuchisake Onna sebenar)
Jika anda menjawab ya, Kuchisake Onna akan menanggalkan topeng mukanya mendedahkan wajahnya yang sangat menakutkan lalu menghiris mulut anda sama sepertinya.
Dengan senyuman yang luas menampakkan gigi tajam, Kuchisake Onna sekali lagi bertanya, "Sekarang masih cantik lagi tak?".
Pertemuan dengan Kuchisake Onna adalah satu situasi kalah-kalah, di mana apa sahaja jawapan yang anda berikan, anda pasti akan mati.
Watak hantu pembunuh ini muncul sebagai watak dalam filem Pom Poko pada tahun 1984 dan beberapa filem seram Jepun telah menjadikan kisahnya premisnya, termasuklah filem seram bajet 2007 yang bertajuh Carved: The Slit-Mouthed Woman.
2. Yuki Onna
Pernahkah anda terlihat seorang wanita cantik dengan kulit putih seperti salji berambut panjang berjalan-jalan di tengah musim sejuk yang sangat dingin?
Jika ya, maka itu adalah yuki onna, atau wanita salji.
Apabila dia berjalan di atas kawasan yang dipenuhi salji, anda tidak akan menemui tapak kakinya.
Sebahagian besar cerita yuki onna berasal dari wilayah bersalji utara di Jepun seperti Aomori dan Akita di wilayah Tohoku.
Dalam beberapa versi, dia adalah pontianak salji yang menyedut jiwa mangsa-mangsanya.
Dalam versi lain, dia menggunakan kecantikan ghaibnya untuk memikat lelaki lemah ketika musim sejuk, dan membiarkan mangsanya membeku sehingga mati.
Sesetengah mengatakan bahawa yuki onna merupakan seorang wanita cantik yang dibunuh dalam salji dan dia melakukan perkara yang sama untuk membalas dendam.
3. Chochin Obake
Hantu tanglung ini tidaklah mempunyai niat jahat seperti yokai lain.
Dia hanyalah penipu yang nakal yang suka menakutkan manusia.
Obake chochin akan menjelirkan lidahnya yang besar, memutarkan matanya dan ketawa terbahak-bahak untuk menakutkan orang yang melalui kawasan sekitar.
Menurut legenda, tanglung biasa boleh berubah menjadi yokai ini setelah digunakan selama 100 tahun.
Ini berasal dari kepercayaan agama Shinto kuno bahawa semua objek bahkan benda mati, juga mempunyai roh.
4. Jorogumo
Hantu labah-labah yang menggoda ini adalah berdasarkan kepada labah-labah penenun bebola emas yang benar-benar wujud.
Biasanya ditemui di seluruh Jepun, labah-labah betina membesar 2.5 sentimeter panjang malah boleh menangkap burung kecil sebagai mangsa.
Legenda menceritakan bahawa apabila seekor labah-labah ini mencapai usia 400 tahun, ia akan berubah menjadi jorogumo dan mempunyai selera makan terhadap lelaki muda dan bukannya burung serta serangga.
Jorogumo sering kali digambarkan sebagai wanita cantik berkaki labah-labah, dikelilingi oleh kerangka mangsanya.
Mereka menggunakan bahagian manusia yang sangat memikat untuk menggoda lelaki pulang ke rumah mereka, kemudiannya terperangkap dalam sarang dan melahap mangsa dengan perlahan-lahan.
5. Gashadokuro
Legenda Jepun menceritakan bahawa tulang-tulang orang miskin dan tidak bernasib baik yang mati akan bertukar menjadi gashadokuro.
Yokai ini terbentuk di tempat-tempat di mana banyak kerangka normal berbaring, seperti di kampung-kampung setelah kelaparan atau penyakit telah menghapuskan penduduk setempat.
Disebabkan tidak dikembumikan, roh dan tulang-tulang tersebut akan bergabung dan menghasilkan satu kerangka yang besar, sekitar 15 kali ganda saiz manusia biasa.
Anda boleh lihat yokai ini pada ukiran terkenal iaitu "Takisyasha the Witch and the Skeleton Spectre", yang dicetak ke atas kad pos, bendera, dan t-shirt sejak penghasilannya pada tahun 1844.
Hantu kerangka ini memakan pengembara yang berseorangan, dengan menggigit kepala mereka, melahap tulang dan meminum darah seperti Dracula
6. Kappa
Senarai yurei dan yokai Jepun tak akan pernah lengkap tanpa kappa, yokai yang sangat tertanam dalam agama, sejarah dan budaya di Jepun.
Malah, terdapat sushi yang dinamakan bersempenanya, iaitu kappa-maki (cucumber roll).
Makhluk kenit seperti manusia ini mempunyai cangkerang seperti penyu, kulit hijau bersisik dan sebuah piring di atas kepalanya yang mesti diisi dengan air setiap masa untuk terus hidup.
Ia tinggal di sungai-sungai, tasik dan laluan air yang lain di Jepun.
Dalam Shintoisme, kappa dihormati sebagai tuhan air dan patung-patungnya kadang-kala boleh dilihat di kuil-kuil di sekitar Jepun.
Perkara biasa yang dilihatkan pada kappa adalah ia sangat sukakan timun dan tidak mungkir janji.
Kappa versi bandar gemar menarik kanak-kanak dan haiwan yang sesat ke dalam air sehingga lemas dan dimakan.
Selain daripada gemar memakan timun, kappa juga sangat meminati usus mentah manusia.