Matahari terbenam di Langkawi pada 17 Oktober 2018, disaksikan John dan Samantha Jones.
Kedua-duanya sedang minum bersama rakan mereka di sebuah bar di Pantai Teluk Cenang, Pulau Langkawi yang terletak di negeri Kedah, menjadi kediaman mereka selama hampir 11 tahun.
Beberapa jam kemudian, John yang sudah berusia 63 tahun ditemui mati dengan sebilah pisau dapur tertusuk di dada, dalam vila yang dibina sebagai kediaman persaraan beliau dengan Samantha.
BESARKAN TEKS A- A+
Kes pembunuhan John mengejutkan keseluruhan Pulau Langkawi.
Ratusan warga Britain dan Eropah menghabiskan usia tua mereka di pulau cantik itu menikmati hidup tenang, dalam negara yang dinobatkan sebagai antara yang terbaik untuk dijadikan tempat persaraan warga Eropah, berbanding kesemua negara lain.
Samantha yang ketika kejadian berusia 51 tahun dituduh suspek utama pembunuhan suaminya sendiri.
'Pioneer' kepada komuniti Britain di Pulau Langkawi
John adalah bekas seorang anggota bomba dan Samantha pula bekas kerani syarikat insurans, menghabiskan setiap hari mereka di Langkawi tinggal di vila satu tingkat yang terletak 3 km daripada kawasan pantai.
Menjadi 'orang luar' pertama membina kediaman di situ, vila setingkat mereka walaupun saiznya kecil kelengkapannya agak mewah, lengkap dengan kolam renang serta sebuah dek yang mempunyai pemandangan cantik sawah padi meluas.
Setiap malam, John dan Samantha menghabiskan masa di kawasan komersial Langkawi menjadi pelanggan tetap bar dan restoran yang menyediakan bekalan minuman arak serta makanan barat.
Kedua-duanya dikenali rapat di kalangan penduduk tempatan berikutan status mereka sebagai pasangan luar pertama, menjadikan Langkawi rumah kedua mereka.
Berbeza dengan beberapa warga luar lain yang kurang mahu bercampur dengan masyarakat tempatan, John dan Samantha mesra dengan penduduk setempat.
John gemar memandu motorsikal besar jenama Harley Davidson miliknya setiap malam, diekori Samantha yang memandu motorsikal kecil berwarna jingga.
Walau demikian disebalik kemesraan dan keramahan mereka berdua - tidak ada sesiapa mengetahui kisah sulit hubungan John dan Samantha yang sering berlaku dalam vila apabila mereka kembali bersendirian, terlindung daripada pandangan umum.
Derita dalam bahagia
Pada malam 17 Oktober 2018, jiran kepada pasangan itu seorang warga Britain dipanggil Samantha yang berada dalam keadaan cemas - meminta pertolongan kerana John telah ditikam.
Mereka berdua berlari masuk ke dalam vila.
John yang sudah nyawa-nyawa ikan sempat melihat Samantha kembali mengucapkan kata terakhirnya pada isterinya;
"Jauh! Kau tikam aku! Kau tikam aku!"
Beberapa detik kemudian, John menghembuskan nafas terakhirnya.
Ekoran kehadiran jirannya yang menyaksikan sendiri pengakuan John sebelum meninggal dunia, Samantha ditahan bagi membantu siasatam.
Apa yang dibongkar selepas insiden itu mendedahkan realiti sebenar yang dihadapi pasangan itu setiap hari.
Situasi sebenar hidup pasangan itu sangat berlainan dengan gambaran indah yang dapat dilihat penduduk setempat.
Samantha akhirnya mengaku membunuh suaminya sendiri dengan alasan cuba mempertahankan dirinya daripada serangan John, selepas siasatan mula dijalankan pihak berkuasa negara kita.
Barulah terbuka tembelang mendiang John terbongkar - kerap mendera isterinya setiap kali dia mabuk.
Samantha memberitahu dia pernah melaporkan tindakan itu 11 tahun lalu kepada pihak berkuasa di Britain sebelum mereka berpindah ke Pulau Langkawi, namun tidak ada tindakan susulan diambil atas laporannya.
Malam kejadian yang membuka rahsia
Malam kejadian itu, John pulang lebih lewat berbanding Samantha, menyebabkan isterinya mula bimbang.
Panggilan telefon tidak berjawab sehinggalah seorang kenalan membantu menghantar John ke rumah dalam keadaan separa sedar. Samantha menegur perbuatan suaminya menyebabkan pergaduhan berlaku.
John yang mabuk, meradang lalu menyepak perut serta menumbuk muka isterinya sendiri.
Samantha cuba berikhtiar berlari ke dapur dan mengambil sebilah pisau bagi melindungi dirinya daripada serangan suaminya sendiri.
John yang nyata hilang akal mula melakukan provokasi, melihat isterinya bersenjatakan pisau meminta Samantha menikamnya.
Provokasi itu tidak berhasil kerana Samantha berada dalam ketakutan.
John yang berang menerpa dan menyerang Samanth, mengakibatkan pisau yang dihunus tertujah dada John.
Dia jatuh terkulai ke lantai dan darah mula membuak keluar.
Kenyataan dalam mahkamah membuktikan John Jones mati disebabkan kesan tikaman pada bahagian dada kanan, yang menyebabkan kerosakan pada bahagian organ hati.
Jika disabitkan bersalah, Samantha bakal dijatuhkan hukuman gantung mandatori.
Samantha tunduk tanpa mahu membuat rayuan berkenaan pertuduhan yang dibacakan selepas tamat perbicaraan, dengan adiknya yang tiba dari Britain menemaninya duduk tidak jauh dari kandang tertuduh hanya mampu mengalirkan air mata.
Alkohol adalah perosak hidup manusia
Pulau Langkawi tidak mempunyai kes jenayah bunuh yang banyak, dengan hanya satu kes bunuh melibatkan dadah dicatatkan dalam tahun 2018.
Kes pembunuhan John merupakan kes yang kedua dalam rekod.
Samantha dibawa ke penjara wanita di Alor Setar bagi menjalani proses hukuman sebelum perbicaraan seterusnya dilakukan.
Pengakuan rakan-rakan mereka yang turut sama menetap di Langkawi memberitahu John dan Samantha sebenarnya pernah berpisah, selepas Samantha tidak tahan didera.
Hanya selepas John menyertai program pemulihan alkohol dan psikologi barulah mereka bersama semula.
Bagi masyarakat tempatan Langkawi, kebanyakan yang mengenali pasangan itu tidak mempercayai wujud konflik yang sangat besar di antara mereka berdua. Mereka juga tidak menyangka John sebenarnya mempunyai sifat suka mendera wanita.
Bila alkohol dah jadi sebahagian daripada hidup kita - tak susah pun untuk yang siuman bertukar menjadi gila.
Kemaskini : Pada bulan Ogos tahun 2020, Samantha Jones dijatuhkan hukuman penjara 42 bulan, terlepas daripada hukuman mati kerana mahkamah merasakan apa yang dilakukan olehnya bukanlah dilakukan kerana niat membunuh.
Pihak peguambela berjaya membuktikan mendiang suaminya telah menyeksa isterinya sendiri sekian lama dan insiden itu berlaku secara tidak sengaja, akibat cubaan mempertahankan diri.
Apa yang sangat menyedihkan, selepas apa yang telah berlaku - Samantha mengakui dia sangat-sangat merindui suaminya walaupun mimpi ngerinya berpunca daripada kelemahan lelaki itu.
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel asal 'Killing of British expat on Malaysian island of Langkawi exposes darker side of retiring to paradise' terbitan South China Morning Post.