Sumber berita: Instagram Elfira Loy

Pasangan selebriti Sufian Suhaimi dan Elfira Loy mengumumkan bakal berkahwin Mac tahun hadapan yang juga merupakan bulan kelahiran Elfira.

Dedah aktres berusia 23 tahun itu, Mac 2018 dianggap istimewa kerana perhubungan mereka yang bakal genap setahun.

Elfira berkongsi momen menarik tentang nostalgia cintanya bersama Sufian ketika awal perkenalan dahulu.

"Mac sangat istimewa buat kami. Moga segala perancangan menuju ke gerbang perkahwinan dipermudahkan Ilahi.

“Tepat jam 12 tengah malam pada 8 Mac lalu genaplah usia saya 23 tahun dan dia tunggu di depan rumah saya dengan jambangan 23 kuntum bunga ros. Saat itu juga dia menyatakan kesungguhannya untuk serius dengan saya. Kiranya itu detik rasmi kami menjalinkan hubungan cinta. Lebih penting, dia tidak membelakangkan ibu bapa dalam soal ini," katanya menurut laporan portal Harian Metro.

Semalam, pasangan itu melangsungkan pertunangan di kediaman Elfira di Alam Damai, Cheras pada jam 4 petang.

Dalam majlis yang menghimpunkan 100 orang tetamu itu, pihak Sufian memberikan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan.

Dalam pada itu, Elfira berkata, dia terasa begitu pantas masa berlalu kerana perkahwinan yang bakal berlangsung hanya dalam tempoh setengah tahun sahaja lagi.

“Ikutkan kurang enam bulan lagi kami akan bersatu. Masa pun berjalan begitu pantas. Mujur keluarga banyak membantu memudahkan urusan persiapan majlis pertunang dan selepas ini kahwin pula,” luahnya.

Manakala Sufian pula menganggap aktres jelita itu sebagai pelengkap dalam hidupnya.

Tidak ketingggalan, penyanyi lagu Terasa Ada itu memanjatkan kesyukuran kerana majlis yang dirancangkan berjalan dengan baik.

“Alhamdulillah, akhirnya hubungan kami menuju ke fasa yang pasti. Keluarga turut merestui apa yang kami rencanakan. Di sebalik pelbagai ujian kecil yang melanda hubungan kami, terselit banyak hikmah sekali gus menguatkan lagi kasih sayang kami.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan Elfira. Dia pemangkin semangat saya malah selalu menggalakkan saya menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Mengimbas kembali detik pasangan ini mula berkawan apabila Sufian dalam sebuah kenyataan kepada media mendedahkan Elfira adalah selebriti wanita yang diminatinya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)