Oleh pada 15 Dec 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Nora Ariffin

    

Penyanyi Nora Ariffin memberitahu anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan, 20, yang meninggal dunia pagi semalam tidak pernah menunjukkan petanda sebarang penyakit.

Nora, 46, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan Alif Johan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba selepas rebah.

“Dia tidak ada sebarang penyakit dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda ada penyakit. Ketika menghantar saya ke lapangan terbang awal pagi tadi untuk ke Singapura, dia baik-baik saja.

“Saya memang terkejut apabila pembantu rumah menghubungi dan beritahu badannya sudah tidak bergerak selepas rebah," katanya memetik laporan Harian Metro.

Nora menganggap kematian anaknya tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan penyakit jantung, walaupun situasi kematian itu sama seperti Allahyarham Johan Nawawi.

   

anak nora meninggal

Kredit foto: Instagram Nora Ariffin

    

“Saya masih menunggu keputusan daripada doktor mengenai punca sebenar dan bedah siasat akan dilakukan untuk mendapatkan jawapan. Disebabkan doktor terbabit tidak ada hari ini, bedah siasat akan dilakukan esok pagi.

“Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, tempat yang sama dengan kubur arwah bapanya," katanya.

Sementara itu, Nora berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang sikap pelik atau tanda-tanda akan pergi. Sehari sebelum meninggal, beliau sempat menyanyi bersama adik-adiknya di dalam bilik.

Nora menyifatkan Alif sebagai pengganti arwah bapanya dan penyambung legasi karyawan popular itu.  

       

nora ariffin 943

Kredit foto: Instagram Nora Ariffin

    

Sejak anak sulung Nora iaitu Muhammad Syakir Iman berkahwin dan berpindah rumah, Alif merupakan individu yang bertanggungjawab membantunya dalam menguruskan rumah dan dua adik beliau.

“Dia masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan tinggal di asrama tetapi sering pulang ke rumah membantu saya. Kadang-kadang dia masak untuk kami semua. Apabila dia tidak dapat pulang saya akan hubunginya bertanya khabar dan tidak sangka kali ini dia tidak pulang selamanya.

“Dia sering beritahu habis belajar ingin cari kerja untuk bantu saya serta mahu menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda dan meneruskan minat arwah bapnya dalam bidang muzik," katanya.

Terdahulu, pada pagi tadi Alif menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya selepas rebah secara tiba-tiba.

Pembantu rumah bertindak meminta bantuan jiran selain menghubungi abang sulung Alif. Arwah kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Beliau merupakan antara peserta Top 20 pertandingan nyanyian realiti Mentor Milenia edisi 2019.

    

Sumber berita: 'Alif ibarat pengganti Johan' - Nora [METROTV]

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)