Kredit foto: Instagram Abam Bocey
Pelawak Abam daripada kumpulan Bocey meninggal dunia di kediamannya di Gombak pada Isnin.
Menurut adik kepada arwah iaitu Ali, dia dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh isteri Abam.
“Isteri Abam, hubungi saya dan beritahu abang saya tidak sedarkan diri.
“Saya bergegas kediaman Abam dan ya, dia sudah tidak bernafas,” katanya dengan penuh beremosi.
Nor Hidayah selaku isteri Abam mengesahkan perkara itu sambil berkongsi momen-momen terakhir sebelum pemergian arwah.
Cerita Hidayah, Abam mengalami demam dan memaklumkan keadaannya yang kurang sihat sejak dua hari lalu.
Namun pelawak itu enggan dibawa ke hospital kerana menganggap sakit yang dihadapi tidak kritikal.
Baca: Biodata Dan Latar Belakang Pelawak Abam Bocey
Kredit foto: Instagram Abam Bocey
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.
“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi...pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia,” katanya dalam tangisan teresak-esak.
Rakan seperjuangannya, Achey selaku antara yang terawal dimaklumkan mengenai berita itu, memberitahu arwah 'pergi' dalam keadaan yang sangat baik.
“Saya diberitahu adik Abam, Ali Puteh bahawa arwah meninggal dalam tidur selepas waktu subuh tadi. Arwah meninggal dalam keadaan sangat baik.
“Saya dimaklumkan selepas subuh, arwah bangun sebelum membuat keputusan untuk tidur seketika.
“Namun tak sangka, tidurnya itu untuk selama lamanya,” katanya yang menuju ke kediaman arwah sebaik menerima berita berkenaan.
Abam yang mendirikan rumah tangga dengan Nor Hidayah pada 2017 mempunyai seorang cahaya mata lelaki bernama Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, berusia 5 bulan.
Pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan berusia 32 tahun itu mewarnai dunia seni sebagai seorang pelawak, pelakon yang juga anggota kumpulan Bocey bersama Fad dan Achey.
Sumber berita:
1. Pelawak Abam meninggal dunia
2. Pelawak Abam Bocey Meninggal Dunia