Kredit foto: Instagram Maya Matahari & Instagram Nazia Mustafar
Penyanyi Ieda Moin mendedahkan momen terakhir sebelum Maya Matahari menghembuskan nafas terakhir.
Ieda berkata, kisah itu diceritakan sendiri oleh kekasih arwah, Haziq Khairil ketika beliau melawat jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), malam tadi.
Menurut Ieda, arwah meluahkan rasa teruja untuk melihat cincin perkahwinan yang dibeli Haziq, beberapa jam sebelum meninggal.
“Saya tahu arwah dan Haziq merancang berkahwin. Cuma, tidak menjadi kenyataan. Arwah bertuah memiliki kekasih yang setia dan baik.
“Arwah berseloroh mahu mengadakan majlis perkahwinan sederhana ketika nazak dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, sebuah hospital swasta, November tahun lalu. Malah, arwah ada bercakap dengan seorang teman, dapat berkahwin atas katil pun sudah memadai,” kata Ieda yang tenggelam dalam emosi sebak.
Katanya, arwah 'pergi' dalam lingkungan pukul 4 petang, semalam. Ini kisah lanjutnya:-
Baca: Biodata Penyanyi Maya Matahari
Kredit foto: Instagram Maya Matahari
“Haziq memberitahu, arwah berkeras dan tak sabar mahu melihat cincin perkahwinan mereka.
“Ketika itu, Haziq mahu suapkan makanan kepadanya. Haziq minta arwah menghabiskan dahulu makanan, sebelum menunjukkan cincin kahwin.
“Haziq cuba menyuap makanan, tetapi arwah menolaknya. Kemudiannya, arwah terbatuk dan muntah. Masa itulah arwah sesak nafas".
Menurut Ieda, ketika Haziq membuat panggilan telefon kepada ambulans, arwah mula kancing gigi dan menyentap.
“Dalam ambulans, Haziq cuba memegang tangan arwah, namun tangannya sudah terkulai.
“Hasrat mahu menunjukkan cincin kahwin tak kesampaian kerana arwah terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhir dalam ambulans,” katanya.
Maya, penghidap kanser sarcoma tahap empat sejak beberapa tahun lalu itu, meninggal dunia di sisi ibunya sewaktu dikejarkan ambulans ke sebuah hospital swasta di Sungai Buloh, lingkungan pukul 4 petang, semalam.
Sumber: Maya tak sempat tengok cincin kahwin