Kredit foto: Instagram Nora Ariffin

Penyanyi, Nora Ariffin, meminta pendatang baru dalam industri hiburan supaya tidak sombong atau bersifat 'diva' jika mahu terus bertahan dalam bidang ini.

Bekas pemenang Bintang HMI 1991 berusia 44 tahun itu memohon agar selebriti hari ini bersikap merendah diri serta mengutamakan keikhlasan dalam berkarya.

jangan bajet bagus nora 2

Kredit foto: Instagram Nora Ariffin

"Penggiat seni terutamanya kalangan orang muda perlu ikhlas berkarya demi mengasah bakat dan menonjolkan kemahiran yang kita ada. Jangan 'bajet' bagus (jangan perasan)," katanya kepada Bernama.

Bercerita tentang lagu terkininya, Ada Dalam Tiada ciptaan Sirkhan dan senikata oleh Habsah Hassan, yang berkisar tentang pemergian arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, Nora berkata, ia bakal menemui pendengar pada bulan hadapan.

"Kita sedang dalam proses perancangan untuk merakam muzik video bagi lagu ini yang sudah mendapat sambutan daripada peminat dan pihak media,” katanya.

Di kesempatan sama, penyanyi yang meledak dengan lagu Hanyalah Satu itu merakamkan ucapan penghargaan kepada kesemua peminatnya yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan.

jangan bajet bagus nora 3

Kredit foto: Instagram Nora Ariffin

Difahamkan, lagu Ada Dalam Tiada mengisahkan tentang luahan hati Nora selepas pemergian suami tersayang yang meninggal dunia pada tahun lalu.

Ia menjadi salah sebuah karya dalam album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi, bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Antara lain, album kompilasi lagu-lagu terbaik ciptaan arwah itu turut menampilkan penyanyi terkemuka negara yang pernah mendapatkan khidmat beliau sebagai komposer, seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Siti Nurhaliza.

Album ini pada asalnya ingin diterbitkan pada tahun lalu oleh arwah, namun niatnya itu tidak kesampaian.

Mengenai perkembangan lain, Nora memaklumkan dia turut menerima tawaran sebagai duta sebuah jenama produk terkemuka dan perlantikannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)