Kredit foto: Instagram Emma Maembong
Susulan foto yang dimuatnaik bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman Instagram, aktres Emma Maembong dikatakan telah mengambil kesempatan atas populariti diraih Ahli Parlimen Muar itu.
Emma, 26, bagaimanapun bertegas hubungannya dengan Syed Saddiq sudah lama terjalin yakni sebelum Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bergiat aktif dalam arena politik.
"Saya dikecam kononnya mahu mengambil kesempatan ke atas Syed Saddiq selepas memenangi kerusi Ahli Parlimen. Anda semua boleh tengok akaun Instagram saya di mana saya sebenarnya sudah lama berkawan dengan beliau.
"Kami mula berkawan apabila saya mengutus mesej kepada Syed Saddiq meminta beliau membuat kejutan pada majlis hari jadi pembantu peribadi saya yang menyukai ketokohannya berdebat.
"Syed Saddiq dengan rendah hati bersetuju melakukannya... Dari situlah kami mula berkawan," katanya kepada BH Online sewaktu menghadiri sidang media Mood Republik di ibu kota.
Emma berkata, Syed Saddiq turut menyatakan sokongan terhadap kerjaya seninya dengan memenuhi jemputan ke majlis pelancaran filem Kimchi Untuk Awak.
"Sebelum ini, apabila saya memuat naik foto bersama dirinya, tiada siapa kisah. Sekarang, apabila beliau sudah jadi Ahli Yang Berhormat, baru orang perasan," katanya.
Mengulas gosip hubungan cinta dengan pelakon dan penyanyi, Alvin Chong pula, Emma menangkis dakwaan yang tular.
Apatah lagi fokus pelakon yang juga usahawan muda itu sedang terarah kepada karier lakonan dan perniagaan yang diusahakan.
Emma, dalam masa sama, menyifatkan hubungan dengan aktor Kamal Adli juga masih dalam fasa berkawan, sekaligus enggan memberi sebarang pendedahan lanjut.
Kredit foto: Instagram Emma Maembong
"Saya tidak lagi memikirkan soal kahwin, sekarang sudah tiada apa yang mahu diperkatakan mengenai kisah peribadi saya. Saya masih lagi berkawan dengan Kamal dan keluar bersama.
"Kalau sampai masanya ada yang masuk meminang dan ajak saya berkahwin, saya akan berkahwin. Tapi sekarang saya tidak lagi berharap dan hanya berserah," katanya yang menganggap Kamal sebagai rakan baik.
Dalam perkembangan lain, perniagaaan yang dijalankan Emma bersama adik-beradik turut mendapat bantuan ibunya.
"Disebabkan itulah saya lebih fokus kepada perniagaan," katanya.
Beralih sisi kerjaya, bintang drama Awak Suka Saya Tak ini bakal menyempurnakan penggambaran drama terbaharu, Cinta Kelas Satu untuk siaran Astro Oasis.
"Biarpun bulan Ramadan, saya akan sibuk dengan penggambaran. Bukan tahun ini saja, malah setiap tahun saya tidak berehat pada bulan puasa," katanya.