Oleh pada 11 Jul 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Emma Maembong

Pelakon Emma Maembong berkata dia menerima lamaran daripada beberapa lelaki menerusi mesej peribadi, susulan kenyataan yang dikeluarkan berhubung keterbukaannya menerima pinangan sesiapa, baru-baru ini.

Namun Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, berkata, dia enggan memberi ruang dengan mudah, apatah lagi selepas tragedi hubungan yang terlerai pada Oktober lalu, dengan bekas kekasihnya, aktor Kamal Adli.

"Saya terkejut apabila ramai lelaki yang mahu melamar di laman sosial, sedangkan saya hanya berseloroh.

"Apabila menyentuh soal teman hidup, sudah tentu saya mahu terlebih dulu mengenali lelaki yang bakal sehidup semati dengan saya.

"Lelaki itu juga perlu berani bertemu ayah saya kerana dia adalah insan nombor satu dalam hidup saya," katanya menurut BH Online.

Tidak menyangkal masih berbaik dengan Kamal, aktres berkulit putih itu menjelaskan pertalian antara dirinya dengan pemuda itu, hanya sebagai kawan.

Mengenai perkembangan hubungan mereka pula, Emma mengaku pelakon Blok 404 itu ada mengunjunginya di Kuala Terengganu pada Syawal.

emma maembong dilamar 2

Kredit foto: Instagram Kamal Adli

"Mungkin ada sesetengah peminat pelik kerana saya yang masih berbaik dengan bekas kekasih. Bukan hanya Kamal, saya juga masih baik dengan Zizan Razak dan seorang lagi jejaka yang pernah hadir dalam hidup saya.

"Apa juga yang pernah terjadi antara kami, mereka pernah memberikan kebahagiaan dan kemanisan dalam hidup ini. Saya tidak mahu membenci insan yang pernah hadir dalam hidup.

"Mereka pernah menjaga dan melayan saya dengan baik, cuma takdir menentukan kami tiada jodoh," katanya yang selesa bersendirian kini.

Sementara itu, hubungannya dengan keluarga Kamal, terutama ibunya, kata Emma, tidak bermasalah hingga kini.

Selebihnya, Emma belum merelakan dirinya dimiliki cinta lelaki lain, bukan kerana menagih cinta Kamal, tetapi mahu memberikan kuasa buat takdir untuk menentukan segalanya.

"Orang luar mungkin fikir saya masih mengharapkan Kamal, tetapi hakikatnya tidak. Memang Kamal ada melakukan kejutan pada hari jadi saya yang lalu, malah saya juga melakukan perkara yang sama.

"Berbeza Kamal yang lebih sukakan privasi, saya pula akan memuat naik gambar di laman sosial sebagai tanda penghargaan. Bukan hanya pemberian Kamal, tetapi juga daripada teman lain. Itu cara saya menghargai insan yang hadir dalam hidup ini," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)