Kredit foto: Instagram Kamal Adli & Instagram Zahirah Macwilson
Aktres Zahirah Macwilson meminta Kamal Adli agar segera mengakui kesilapan sekaligus tidak membabitkan namanya atas isu yang timbul.
Aktres berusia 22 tahun itu juga berkata, dia terpaksa bertegas buka mulut kerana tidak mahu dipandang khalayak sebagai pemusnah perhubungan Kamal dan Emma Maembong.
"Jadilah seorang lelaki! Kalau ada buat salah mengaku sajalah. Jangan petik nama orang lain.
"Apa niat dia kaitkan nama saya pun tak tahu, mungkin nak sakitkan hati Emma.
"Saya ada hubungi Emma dan dia ada tunjuk paparan perbualan Kamal mengatakan saya terhegeh-hegeh mendekatinya. Apa itu semua!," katanya.
Zahirah membuat kenyataan tersebut dalam temubual secara langsung bersama sebuah portal berita semalam.
Sebelum ini, Kamal dalam laporan Mstar Online berkata, dia enggan lagi mengulas isu hubungannya dengan Emma yang dikatakan sudah berakhir.
Dalam masa yang sama, aktor itu menyifatkan tindakan Zahirah mendedahkan perbualan Whatsapp mereka kepada umum sebagai merumitkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, Zahirah berkata, dia memahami situasi yang dilalui Emma selepas disakiti teman lelakinya sendiri.
Justeru, dia enggan meletakkan perasaan benci apatah lagi bermusuh dengan aktres itu.
"Saya tak membenci Emma, tak mahu bermusuh dengan dia atau sesiapa. Saya faham perasaan Emma, pasti dia risau kalau teman lelaki buat hal macam ni.
"Saya minta maaf kalau ada menyakitkan hati Emma tapi percayalah saya tidak terbabit dalam hal ini," luahnya.
Sementara itu, Zahirah mengakui berlaku pertemuan antara dirinya bersama Kamal, Emma dan turut disertai teman lelakinya, Zul Ariffin kira-kira tiga minggu lalu.
Pun begitu, dia terkejut apabila Emma tampil dengan kenyataan di sebuah akhbar yang mengaitkan dirinya walaupun mereka berempat baru sahaja berbincang.
"Semasa itu saya terkejut kerana kita baru bertemu dan berbincang mengenai perkara ini. Selepas pertemuan tersebut, tiba-tiba keluar artikel 'Tanyalah Zahirah'. Bila saya baca artikel tersebut, saya ambil keputusan untuk diamkan diri kerana sibuk shooting di Johor.
"Cumanya pagi tadi nama saya dikaitkan semula menjadi punca perpisahan mereka, bermula daripada situlah saya rasa perlu untuk bersihkan nama saya," katanya lagi.
Zahirah menambah, dia akan berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan secepat mungkin kerana akan berlepas ke luar negara untuk menjayakan penggambaran drama Laluna.
Sumber berita: Mstar