Kredit foto: Instagram Emma Maembong
Aktres Emma Maembong menganggap kejutan hari lahir yang dilakukan aktor Kamal Adli terhadapnya sebagai suatu perkara yang paling manis.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Embong, 26, berkata, dia mengagumi usaha Kamal bersama perancang majlis berkenaan dalam mengilhamkan deko di atas bukit berlatarkan ibu kota.
Kredit foto: Instagram Emma Maembong
“Terima kasih kepada Kamal kerana buat kejutan. Ini paling ‘sweet’ pernah orang buat pada saya. Terima kasih awak.
“Ia bukan restoran atas bukit, tapi puncak bukit yang dihias begitu indah. Gigih mereka mendaki bawa naik kerusi, meja dan makanan.
“Malah lengkap dengan deko lampu lagi. Macam mana mereka boleh bawa naik generator. Apa pun, memang sangat cantik. Tidak tahu nak kata cantik macam mana,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Kamal menerusi laman Instagram menzahirkan penghargaan kepada pihak perancang majlis yang bekerjasama dengannya untuk 'pembinaan' taman rahsia itu.
Kamal yang juga umpama 'teman tapi mesra' kepada Emma turut mendoakan kesejahteraan wanita itu sempena peningkatan angka umurnya.
“Selamat hari jadi Emma, semoga panjang umur dan murah rezeki. Semoga Allah merahmati mu selalu,” katanya.
Antara lain, Emma turut menyertakan video pendakian mereka untuk sampai ke puncak selepas foto 'sweet' makan malam bersama yang terlebih dahulu dimuatnaik di akaun Instagram peribadinya.
Kejutan hari jadi ke-26 ini turut dimeriahkan dengan kemunculan kelab peminat Ema Vengers.
Dalam tempoh dua hari sahaja, video berkenaan meraih lebih 500,000 tontonan dan lebih 1,400 komen.