Kredit foto: Instagram Emma Maembong & Instagram Zahirah Macwilson
Aktres Zahirah Macwilson kesal apabila namanya dikaitkan Emma Maembong yang menghadapi kemelut perhubungan dengan teman lelakinya, Kamal Adli.
Zahirah tidak puas hati kerana kenyataan Emma itu seolah-olah membayangkan dia menjadi orang ketiga dalam masalah hubungan mereka.
“Memang tidak adil apabila dia menyebut nama saya yang sekali gus meninggalkan persoalan. Apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan saya. Jadi kenapa perlu babitkan saya?
“Saya terkejut dengan tindakan Emma yang mengeluarkan kenyataan begitu sedangkansebelum ini kami sudah berjumpa untuk menyelesaikan masalah ini.
“Saya sudah ada kekasih. Buat apa saya nak rampas Kamal daripada dia? Malah, kekasih saya juga tahu mengenai perkara ini,” katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Zahirah yang juga teman wanita kepada aktor Zul Ariffin tidak menafikan kemungkinan wujud batu api di sebalik isu yang berlaku.
Malah pada mulanya aktres itu enggan membuka mulut jika ianya hanya masalah remeh.
“Apabila membaca kenyataan Emma, saya berdiam diri lagi kerana terbabit dengan penggambaran drama di Johor Bharu. Saya tak nak mengganggu kerja. Saya tunggu masa sesuai.
“Saya malas nak bersuara jika ia hanya masalah remeh. Namun, apa yang keluar saya anggap melampau kerana mengheret nama saya sekali. Saya perlu jelaskan perkara ini supaya orang berhenti menuduh saya yang bukan-bukan.
“Bagi saya, perkara ini tidak kecoh jika tidak ada pihk yang bersikap batu api. Ia memburukkan lagi keadaan,” luahnya.
Menjelaskan lebih lanjut status hubungannya dengan Kamal, Zahirah berkata, mereka hanyalah rakan pelakon ketika menjayakan drama bersiri Duda Pujaan Dara.
Keakraban tersebut hanya berlaku di set penggambaran dan tidak pernah dibawa ke luar lokasi.
“Diakui di lokasi penggambaran semua orang rapat. Malah pengarah puji keserasian kami menjadi dalam drama ini.
“Emma sendiri ada memuat naik klip drama ini dalam Instagramnya. Jadi, saya beranggapan dia okay.
“Bagi saya, Emma patut percaya kekasihnya seperti mana saya lakukan. Lagipun isu ini ditimbulkan selepas sebulan saya terbabit dalam drama lain. Kalau Kamal dan Emma ada bergaduh sekali pun, itu urusan mereka. Kenapa saya perlu jadi mangsa?” katanya.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan Emma enggan mengulas khabar angin hubungannya bergolak dengan Kamal.
Sebaliknya Emma mahu media memulangkan kembali soalan itu kepada Kamal dan Zahirah.
Susulan itu netizen mula berspekulasi Zahirah menjadi punca hubungan mereka bermasalah.
Sumber berita: Harian Metro