Cakoi atau juga dikenali sebagai youtiao, churros goreng Cina dan donut Cina adalah doh berbentuk panjang yang digoreng dan berwarna perang keemasan selepas siap dimasak.
Ia adalah antara hidangan masyarakat China dan juga terkenal di beberapa negara di Asia Timur dan Asia Tenggara. Lazimnya, ia dijamah sewaktu sarapan dengan bubur nasi, kanji atau air kacang soya.
Di kalangan sebahagian penduduk utara semenanjung Malaysia, cakoi turut dikenali sebagai patongko, iaitu sebuah perkataan yang berasal dari Thailand dan merujuk kepada kuih jenis ini.
Cakoi bukanlah sebuah hidangan asli dari kalangan masyarakat Melayu, ia tercetus dari kedatangan masyarakat Cina dan juga orang Indo-China yang datang ke Malaysia.
Akan tetapi, orang Melayu tidak menjamah cakoi sewaktu sarapan. Sebaliknya, ia boleh dibeli oleh ramai penjual gerai jalanan semasa waktu petang.
Dalam kalangan masyarakat Melayu, ia kebiasaannya dijamah semasa waktu petang dan dicicah dengan kuah kacang cair. Cakoi jarang dihasilkan di rumah, namun hanya banyak dibeli di gerai jalanan dan pasar malam.
Dalam golongan masyarakat Cina pula, cakoi turut dijamah dengan Bak Kut Teh.
Kuih Cakoi
Kredit foto: Raja Amanina & Ieda Pazir (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Tepung gandum (400gm)
- Air (1 cawan)
- Gula (2 sudu besar)
- Garam (1 sudu kecil)
- Susu pekat (1 sudu besar)
- Kuning telur sahaja (1 biji)
- Minyak masak (1 sudu besar)
- Marjerin (1 sudu besar)
- Yis (2 sudu besar)
- Soda bikarbonat (1/2 sudu kecil)
- Bawang putih (1 ulas) - ditumbuk ke dalam bancuhan cakoi tersebut (optional)
- Minyak untuk menggoreng
Cara penyediaan:
1. Satukan air, marjerin, minyak, garam, gula, susu, yis, telur dan soda bikarbonat dalam mangkuk. Kacau sebati.
2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit ke dalam bancuhan.
3. Uli sehingga menjadi doh lembut dan tidak melekat di jari. Biarkan sebentar dalam 20 minit dalam bekas bertutup atau balut dengan plastik.
4. Canaikan doh lebih kurang setebal 1/2sm dan berbentuk segi empat.
Nota: Pemilik resepi pakai tangan sahaja.
5. Potong kepada kepingan bersaiz lebih kurang 1 inci. Saiz terpulang.
6. Rendam lidi dalam air dan tekan lidi basah atas setiap kepingan 1 inci tersebut.
7. Cantumkan dua bahagian kepingan dengan bahagian yang bertanda lidi bertemu antara satu sama lain.
8. Panaskan minyak. Tarik sedikit kedua-dua hujung cakoi tersebut dan goreng sehingga keperangan.
Sos / Kuah Manis Pandan
Kredit foto: Loving Eiyla (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Susu cair (1 1/2 cawan)
- Sedikit pes atau esen pandan
- Garam (secubit)
- Tepung kastard (1 1/2 sudu besar)
- Susu pekat (3-4 sudu)
- Sedikit pewarna hijau
Cara penyediaan:
Campurkan semua, kacau sebati dan masak sehingga sedikit pekat.
Tips:
✔ Cakoi menggunakan minyak yang banyak untuk menggoreng kerana ia akan mengembang.
✔ Jika rajin, anda boleh juga tindih cakoi seperti di pasar malam.
✔ Semasa memotong, tangan pisau celup dengan tepung. Nanti melekat-lekat. Memang akan melekat-lekat juga macam mana pun. Jangan risau.
Nota:
➡ Cakoi boleh dimakan dengan sambal ikan bilis, kuah asam pedas, kuah kacang atau apa sahaja yang anda suka.
➡ Terdapat juga cakoi yang disapu dengan marjerin dan kaya yang lazimnya dijual di Sabah.
Untuk melihat resepi lain, boleh follow Facebook Raja Amanina
Sumber: