Apabila ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan harian, biasanya mungkin kita akan perasan bahawa sesetengah barangan akan diletakkan pada harga yang berakhir dengan 99 sen, contohnya RM5.99. Mengapakah harga tersebut tidak digenapkan sahaja kepada RM6 memandangkan pembeli tetap akan membayar RM9?

Bukankah menggenapkan harga kepada RM6 lebih memudahkan pembeli kerana kerajaan Malaysia telahpun memansuhkan duit syiling 1 sen beberapa tahun dahulu. Sekiranya anda tidak tahu, sebenarnya terdapat alasan psikologi mengapa penjual gemar meletakkan harga yang berakhir dengan 99 sen dan tidak menggenapkannya terus kepada ringgit terhampir.

BESARKAN TEKS     A-  A+

teknik marketing psikologi 99 sen

Satu laporan yang diterbitkan pada bulan Jun 2018 oleh jurnal Marketing Letters telah mengkaji dakwaan bahawa kebanyakan manusia hanya memberi perhatian kepada unit ringgit (atau unit matawang lain) dan tidak begitu kisah mengenai jumlah sen yang dibayar.

Kajian psikologi terhadap tabiat membeli barang

jenis pemikiran manusia

Sekumpulan pengkaji daripada Baylor University telah melakukan 4 ujian terhadap 942 subjek. Daripada kajian ini mereka dapati bahawa manusia yang mempunyai pemikiran analitik (analytic thinker) lebih mudah terpengaruh dengan harga yang berakhir dengan 99 sen ini berbanding manusia yang mempunyai pemikiran holistik (holistic thinker).

Secara umumnya terdapat 2 jenis pemikiran manusia, iaitu pemikiran analitik dan pemikiran holistik. Pemikiran analitik melibatkan pemahaman sesuatu sistem dengan memikirkan setiap bahagiannya dan bagaimana setiap bahagian ini boleh memberikan kesan pada skala yang besar.

Sementara itu, pemikiran holistik pula melibatkan pemahaman pada pola yang besar dan memberi reaksi terhadap pola tersebut.

Pemikiran analitik vs Pemikiran holistik

Antara pemikiran analitik dan pemikiran holistik, tiada yang lebih baik daripada satu sama lain. Ianya hanya cara berfikir yang berbeza dan dalam sesetengah perkara mungkin boleh memberi manfaat kepada seseorang individu.

Penjelasan secara visual boleh dilihat daripada penjelasan daripada Dr. Ankush Chopra dengan menonton video di atas. Beliau adalah seorang professor dan juga penulis buku "The Dark Side of Innovation".

Untuk menjadi seorang pelukis atau ahli muzik, pemikiran holistik sangat dituntut. Ianya berkaitan konteks, dan intuisi adalah penting. Sementara itu, bagi manusia yang berada dalam bidang sains dan undang-undang, cara berfikiran analitik sangat berguna dimana mereka akan melihat pada setiap bahagian dan unik, lebih spesifik dan logikal.

Sementara itu, orang yang hebat pula mampu mempunyai kedua-dua jenis pemikiran dan mampu mengaplikasikannya pada situasi dan keadaan yang betul. Walaupun kedua-dua jenis pemikiran ini boleh dilatih dan dipelajari, cara berfikiran holistik yang melibatkan kreativiti adalah lebih sukar untuk dipelajari.

Kesan penggunaan harga 99 sen kepada manusia

pemikiran holistik dan analitik

Berbalik kepada persoalan penggunaan harga yang berakhir dengan 99 sen diatas, bagaimanakah jenis pemikiran seseorang mampu mempengaruhi mereka dalam hal ini? Menurut Dr. Lingjiang Lora Tu, seorang professor di Baylor University dan ketua dalam kajian ini, berikut merupakan rumusan ringkas daripada kajian yang dijalankan oleh pasukannya.

1. Seseorang dengan pemikiran analitik akan melihat harga RM9.99 pada setiap nombor individual dan akan memberikan prioriti pada nombor pertama (unit ringgit sahaja) kerana nombor inilah yang akan memberikan kesan besar dalam menentukan harga barangan tersebut.

2. Individu dengan pemikiran holistik pula sebaliknya akan melihat semua digit harga yang tertera secara keseluruhan. Oleh itu, golongan ini sama sekali tidak akan terkesan dengan teknik pemasaran yang menggunakan harga berakhir dengan nilai 99 sen ini.

Dalam kajian tersebut juga, para pengkaji dapati bahawa tidak kira cara pemikiran apapun yang ada miliki, ianya mungkin kurang memberi kesan contohnya apabila berada dalam keadaan tertekan kerana ramai orang beratur di kaunter pembayaran, diganggu oleh muzik latarbelakang di pasar raya atau kagum melihat demostrasi sesuatu produk yang dijual.

Kajian yang dilakukan ini sememangnya sangat bermanfaat kepada peniaga untuk mengetahui bagaimana jenis pemikiran manusia dan bagaimana ia boleh membantu mereka boleh meletakkan harga pada sesuatu produk yang dijual.

Kredit:

  1. Springer Nature
  2. Phys.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)