Nama Vivy Yusof mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya dalam kalangan wanita dan mereka yang meminati fesyen. Beliau merupakan seorang usahawan wanita berjaya melalui dua jenama popularnya, Fahion Valet dan juga dUCk.
Malah, kehebatannya dalam industri keusahawanan juga telah diiktiraf majalah Forbes apabila nama Vivy Yusof turut disenaraikan dalam senarai "30 Under 30 Asia 2017", iaitu senarai 30 usahawan hebat di Asia berumur bawah 30 tahun. Turut berada dalam senarai ini adalah selebriti Neelofa.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam bidang perniagaan, sebenarnya terdapat banyak faktor yang mempengaruhi sesuatu kejayaan perniagaan tersebut. Salah satunya adalah strategi pemasaran yang digunakan. Kali ini, pihak Iluminasi ingin mengupas kajian psikologi mengenai teknik pemasaran yang digunakan oleh Vivy Yusof dalam membangunkan jenama Fashion Valet dan dUCk.
Principles of Persuasion oleh Dr. Robert Cialdini
Pada tahun 1984, Dr. Robert Cialdini ada menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “Influence: The Psychology of Persuasion”. Buku ini begitu popular dan menarik perhatian ramai pemilik bisnes terutamanya mereka yang berminat dengan teknik meningkatkan jualan atau conversion optimization.
Aspek paling menarik yang dimuatkan dalam buku ini adalah "Principles of Persuasion". Principles of Persuasion ini boleh diterjemahkan sebagai prinsip bagaimana untuk melakukan persuasi (memujuk) orang ramai menjadi pembeli dengan cara halus dan bukannya "hard selling".
Dalam prinsip ini, terdapat 6 prinsip yang ditekankan iaitu reciprocity, consistency, social proof, liking, authority dan scarcity.
Principles of Persuasion dan teknik pemasaran Vivy Yusof
Daripada Principles of Persuasion, didapati bahawa Vivy Yusof dan pasukannya mengamalkan 3 daripada prinsip ini iaitu scarcity (terhad), authority (pengaruh) dan social proof (pengaruh persekitaran).
1. Scarcity (Terhad)
Cara ini sangat berkesan bagi mempengaruhi orang ramai membuat pembelian secara impulsif, iaitu tergesa-gesa. Misalnya, dengan menjual barangan edisi terhad dan promosi dalam tempoh masa terhad.
Bagi Vivy Yusof dan pasukan pemasarannya, teknik ini dapat dilihat dengan jelas untuk penjualan produk tudung keluaran dUCK. Secara umumnya, terdapat dua jenis jenis tudung yang dijual oleh dUCk iaitu basic dan juga edisi terhad. Bagi tudung dalam kategori basic, ianya boleh diperolehi setiap masa sama ada secara pembelian dalam talian atau di kedai dUCk dan Fashion Valet.
Walau bagaimanapun, produk tudung edisi terhad pula adalah lebih unik dan dicetak secara digital. Contohnya tudung edisi terhad ini adalah Yummy dUCk, London dUCK dan KL dUCk. Dijual dalam kuantiti dan masa yang terhad, produk edisi terhad ini biasanya habis dijual dalam masa beberapa hari sahaja. Dalam sesetengah kes, habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja!
Selain itu, produk edisi terhad ini juga biasanya tidak akan dicetak semula pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, wanita yang berminat perlulah mendapatkannya tanpa berfikir panjang walaupun harganya begitu premium. Malah, ada juga pembeli yang bertindak menjual kembali tudung edisi terhad ini pada harga yang jauh lebih mahal kerana kesukaran mendapatkannya.
2. Authority (Pengaruh)
Secara umumnya, manusia akan lebih mempercayai golongan yang mempunyai pengaruh yang kuat seperti doktor, jurutera dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.
Secara psikologinya, pendapat dan tindakan seseorang juga biasanya dipengaruhi oleh pendapat atau tindakan golongan yang mempunyai pengaruh yang kuat ini. Inilah juga antara sebab mengapa syarikat besar mengambil duta selebriti atau atlit terkenal untuk mempromosikan produk mereka.
Sebagai seorang yang popular di Instagram dengan 1.4 juta orang pengikut, Vivy Yusof menggunakan akaun personalnya sebaik mungkin untuk mempromosikan Fashion Valet dan dUCk secara halus (bukan hard selling). Beliau juga kerap kali berkongsi gambar bersama produk yang sudah dikeluarkan atau akan dikeluarkan di Fashiovalet dan dUCk untuk memberi "hint" kepada peminatnya.
Pada tahun lepas juga, Vivy Yusof telah melancarkan satu kempen dengan menggunakan tanda pagar (hashtag) #IAMHOMEGROWN. Kempen ini adalah sempena produk terbaru di Fashion Valet sempena Hari Merdeka. Kempen ini mendapat perhatian ramai orang ternama seperti Nurul Izzah Anwar (ahli politik), Harith Iskandar (komedian), Chef Wan (chef) dan Aireen Omar (CEO Air Asia).
Walaupun produk-produk yang dijual untuk kempen ini biasa-biasa sahaja, ianya laku keras dan habis dijual dalam masa beberapa hari sahaja. Dengan hampir 60 individu ternama dengan pelbagai latar belakang berbeza turut mempromosikan kempen ini, kempen ini berjaya menarik lebih ramai orang dari later belakang berbeza untuk mengenal jenama ini.
3. Social Proof (pengaruh persekitaran)
Dari segi psikologi, seseorang itu juga mudah terpengaruh dengan tindakan orang sekeliling terutamanya yang rapat dengan dengan mereka. Berbanding dengan prinsip authority (pengaruh) dimana sesuatu tindakan itu dipengaruhi oleh seseorang individu yang mempunyai pengaruh besar, prinsip sosial proof (pengaruh persekitaran) pula melihat kepada faktor persekitaran dalam jumlah yang ramai.
Dalam erti kata mudah, apabila anda kerap kali melihat rakan-rakan dan saudara mara berkongsi gambar melancong ke Universal Studios Singapore, anda pasti turut sama teringin untuk sampai ke sana. Sama halnya dengan teknik pemasaran yang dilakukan oleh syarikat Fashion Valet dan dUCk.
Salah satu strategi pemasaran Vivy Yusof yang mudah dan berkesan adalah penggunaan tanda pagar (hashtag). Sebagai contoh, #fvootd (merujuk kepada Fashion Valet Outfit of the Day) kerap kali digunakan setiap kali menggayakan pakaian yang dijual oleh Fashion Valet. Selain, tanda pagar #ducktravels pula diwujudkan untuk membolehkan peminat berkongsi gambar mereka melancong sambil memakai tudung keluaran dUCk.
Kedua tanda pagar ini juga begitu popular dimana terdapat lebih 30 ribu gambar yang disertakan dengan tanda pagar #fvootd dan lebih 16 ribu gambar disertakan dengan hashtag #ducktravels. Bagi menggalakkan peminat berkongsi gambar dan menggunakan tanda pagar ini, gambar yang menarik dan cantik biasanya akan dikongsikan kembali di halaman Instagram rasmi dUCk dan Fashion Valet.
Sekiranya ada mempunyai kawan wanita yang ramai di Instagram, mungkin anda pernah melihat mereka berkongsi gambar dan meletakkan tanda pagar ini. Tanpa sedar, perkara ini secara tidak langsung sebenarnya akan mempengaruhi anda dan menimbulkan keinginan untuk mencuba produk ini suatu hari nanti.
Kredit: