Oleh pada 01 Jun 2023 kategori

Bagi majoriti rakyat Malaysia, pengalaman kita membeli kenderaan sama saja.

Kita masuk ke galeri jualan, dapatkan bantuan jurujual, mohon pinjaman kereta (atau bayar cash kalau mampu), tunggu sehingga kenderaan tiba siap didaftarkan kemudian bawa pulang kereta selepas bergambar di galeri jualan itu.

Biasanya adalah riben besar diletak didepan kereta kita sebagai penghias.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi jenama-jenama kereta mewah dan eksotik, pengeluar kenderaan dalam kelas ini mempunyai pendekatan yang jauh berbeza dalam memastikan kesetiaan pelanggan serta tahap kepuas hatian mereka dalam pembelian terjaga.

Ada program-program khas untuk pelanggan yang diwujudkan, jika dibandingkan dengan pengalaman kita - agak berbeza ibarat langit dan bumi jauhnya.

1. Program penghantaran ke serata dunia

penghantaran sendiri di eropah

Bagi jenama-jenama mewah di Eropah, pengeluar kereta seperti BMW, Volvo, Mercedes-Benz dan Audi memberikan bakal pemilik mereka pengalaman yang cukup indah sebelum menerima kunci kereta mereka.

Jenama-jenama ini menawarkan program kepada pemilik dari serata dunia untuk hadir sama ada ke pusat kilang pengeluaran jenama itu atau ibu pejabat operasi mereka di Eropah - dengan kos penerbangan ditanggung sepenuhnya bagi 2 orang serta penginapan.

Bagi jenama Volvo, selepas pemilik diterbangkan ke Sweden, pemilik akan diberikan kunci bagi cuba memandu sendiri kenderaan mereka di jalanraya Eropah selepas dibawa melawat kilang Volvo.

Puas memandu di Eropah, pemilik haruslah menghantar kenderaan mereka ke pusat Volvo yang ditetapkan sebelum kenderaan itu akan dihantar ke negara asal pemilik tersebut.

2. Cuba kenderaan sendiri di litar lumba

trackday pemilik mclaren

Jenama-jenama kenderaan eksotik berprestasi tinggi seperti Ferrari, Lamborghini dan McLaren pula mahu memastikan setiap bakal pemilik mereka merasai kuasa sebenar setiap jentera yang telah dibina.

Untuk itu, ketiga-tiga jenama menawarkan program tersendiri yang membolehkan pemilik hadir ke litar lumba bagi memandu kereta sendiri selaju mana yang mereka berani. Selain itu, pemilik juga berpeluang mencuba kenderaan model-model lain yang memang disediakan untuk diuji pandu di atas litar.

Tidak cukup dengan pengalaman itu, jenama seperti Ferrari dan Lamborghini turut menawarkan sesi latihan di mana jurulatih pemanduan berpengalaman akan menyertai sesi-sesi percubaan, memberikan nasihat dan panduan kepada bakal pemilik.

3. Cuba uji kenderaan sendiri di kawasan lasak

cuba kenderaan kawasan lasak

Sekiranya anda bukan pemilik kenderaan berprestasi, sebaliknya anda peminat jentera-jentara lasak - beberapa jenama pengeluar kenderaan off-road seperti Land Rover, Jeep dan Toyota turut menawarkan program-program serupa kepada pemilik kenderaan buatan mereka.

Menerusi Land Rover Experience dan Jeep Adventure Academy, pemilik model baru akan dijemput untuk menyertai aktiviti perjalanan di kawasan-kawasan yang diketahui popular di kalangan peminat jentera lasak.

Mereka akan diajar bagaimana hendak menavigasikan perjalanan dengan selamat, mengelakkan hadangan yang ada serta mempelajari bagaimana untuk menggunakan jentera yang mereka ada untuk selamat sampai ke destinasi.

4. Custom-made kereta anda ikut spesifikasi anda

customized kereta sendiri

Bagi orang kebanyakan, mengubah kenderaan biasanya dilakukan selepas kita menerima kunci kenderaan. Ada yang tambah spoiler, skirt, tukar unit infotainment atau sekadar tambah sticker penghias kereta.

Golongan pemilik kenderaan mewah pula melakukannya sebelum kenderaan mereka dibuat lagi.

Program di bawah enama mewah seperti Porsche Exclusive Manufaktur, Ferrari Tailor Made, Rolls-Royce Bespoke, Bentley Mulliner, McLaren Special Operations dan Bugatti Atelier memberikan kebebasan kepada bakal pemilik untuk memilih sendiri spesifikasi yang ada, bergantung kepada model yang ditawarkan.

Bakal pemilik bukan saja diberikan kebebasan menentukan spesifikasi, malahan akan diberi peluang duduk bersama-sama jurutera dan pereka dari jenama yang disenaraikan untuk sama-sama berbincang apa yang diperlukan pemilik.

Tujuannya adalah untuk memastikan setiap model yang dibeli unik serta bercirikan identiti pemiliknya, menjadikan setiap model keluaran sebegini eksklusif hanya ada satu di dunia.

5. Penyertaan automatik ke dalam kelab pemilikan

mini takes states

Di negara kita, trend menyertai kelab-kelab pemilikan kereta sudah jadi satu benda biasa. Ramai yang keretanya akan tertampal dengan pelekat rasmi kelab. Penulis belum join mana-mana, kerana penulis tak suka tampal pelekat pada kereta ni.

Idea sebegini juga sebenarnya diguna pakai pengeluar kereta-kereta mewah, di mana jenama-jenama itu sendiri akan mendaftarkan pemilik kereta secara automatik ke dalam daftar ahli ke dalam komuniti.

Jenama-jenama berprestij seperti Ferrari menawarkan penyertaan setiap pemilik mereka ke dalam kelab eksklusif, dijemput menyertai 900 acara berkaitan jenama tersebut di serata dunia, seperti sesi pandu uji, majlis jamuan, perkelahan, pengembaraan dan sebagainya.

Setiap pemilik akan menerima sebuah buku direktori yang menyenaraikan kesemua pemilik jenama tersebut di seluruh dunia serta langganan majalah rasmi Ferrari, Pilota.

Untuk jenama MINI pula, pengeluar jenama ini di Amerika Syarikat akan menganjurkan acara tradisi Mini Takes the States, di mana ratusan pemilik jenama ini di sana akan menyertai perjalanan 15 hari dari bahagian pantai barat negara tersebut ke destinasi yang terletak di pantai timur sejauh 6500 km jarak keseluruhan.

Sebagai pemilik kenderaan tempatan, penulis jarang menikmati kemewahan yang kami senaraikan di atas - kecuali waktu servis, di mana makanan dan minuman disediakan secara percuma semasa menunggu.

Memang habis semua benda penulis try waktu bosan menunggu servis. Jadilah, ada juga daripada tak ada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)