Oleh pada 16 Mar 2022 kategori

Bagi semua anggota kongsi gelap Itali seperti Mafia, 'Ndrangheta atau Camorra, hidup dan mati mereka mudah disimpulkan dengan satu perkataan sahaja - "Omerta". Ia adalah kod berdiam diri yang diamalkan anggota kongsi gelap Itali tentang aktiviti jenayah mereka dan keengganan untuk memberi keterangan kepada polis.

Bagi Mafia, sesiapa yang 'menjual' rakan mereka kepada pihak berkuasa adalah seorang yang bodoh atau pengecut dan sesiapa yang tidak boleh menjaga dirinya tanpa perlindungan polis adalah kedua-duanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kod berdiam diri terhadap penguatkuasaan undang-undang ini telah membentuk asas dan etika bagi kumpulan jenayah terancang Itali Selatan dan cabang mereka. Sebagai seorang 'lelaki terhormat', ia adalah dilarang sama sekali untuk mendedahkan butiran dunia jenayah mereka walaupun terpaksa ke penjara atau tali gantung.

Walaupun dianggap suci, banyak juga kisah di mana anggota tertinggi sesebuah kumpulan itu melanggar kod rahsia Omerta ini dalam sejarah. Berikut adalah kisah mengenai Omerta dan bagaimana ia menjadi salah satu ciri penting dalam jenayah terancang moden yang digeruni.

Asal-usul Omerta

Tidak dapat ditentukan dengan tepat bilakah kod rahsia Omerta ini wujud dan menjadi salah satu ciri penting dalam sejarah Mafia. Ada kemungkinan ia bermula ketika berlakunya penentangan terhadap raja-raja Sepanyol yang ketika itu memerintah Itali Selatan selama lebih dua abad.

penentang di itali selatan

Sebahagian kumpulan penentang di Itali Selatan

Apabila Kingdom of the Two Sicilies (1816 - 1860) runtuh pada awal abad ke-19, kumpulan penjenayah mula berfungsi sebagai tentera persendirian dan melindungi mereka yang mampu membayar. Ia merupakan kelahiran kepada Mafia sehingga yang kita kenali pada hari ini.

Selepas Itali Utara dan Selatan bergabung menjadi satu kerajaan pada tahun 1860-an, negara baru itu mewujudkan sistem mahkamah dan pasukan polis yang baru. Apabila institusi ini diperluaskan ke seletan, kumpulan terancang ini mendapat mereka mempunyai saingan baru yang kuat.

Sejak itu, Uomini d'onore atau "lelaki terhormat" menggunakan prinsip mudah dan kejam iaitu "Jangan sekali-kali bercakap dengan pihak berkuasa tentang aktiviti jenayah sendiri, kumpulan mahupun musuh. Hukuman melanggar peraturan ini adalah mati."

Bagaimana Omerta tersebar ke seluruh dunia

Di bawah Kerajaan Itali yang baru bersatu, wilayah selatan masih lagi sangat miskin dan ramai memilih untuk berhijrah keluar. Ramai yang mencuba nasib di luar negara termasuklah golongan "lelaki terhormat" atau ahli kumpulan jenayah terancang.

camorra

Kumpulan Camorra dipercayai membawa kod Omerta ke Amerika Syarikat

Di kebanyakan bandar di Amerika Utara, pendatang Itali menghadapi kesukaran diterima masyarakat setempat. Ramai di antara mereka yang merasakan tidak boleh mengharapkan polis atau kerajaan tempatan untuk mewakili serta melindungi mereka.

Kawasan kejiranan miskin yang didiami pendatang Itali menjadi tempat yang begitu sesuai untuk puak Mafia berkembang. Kononnya membela nasib rakan senegara, kod Omerta dianggap sebagai satu kebanggaan.

Hampir 100 tahun lamanya, Mafia Amerika begitu sukar ditangani polis Amerika. Kegiatan mereka begitu rahsia, begitu juga dengan ahli keluarga dan kumpulan Mafia yang beroperasi di sana. Namun, segalanya berubah pada tahun 1963.

Pengkhianatan Bersejarah Joe Valachi Terhadap Keluarga Genovese

Seorang Mafia sejak usia muda lagi, Joseph Valachi akhirnya menjadi ahli mendapat kepercayaan ketua kongsi gelap Vito Genovese. Pada tahun 1959, dia dan Genovese telah disabitkan dengan kesalahan menyeludup dadah.

joe valachi

Joe Valachi dianggap sebagai "pembelot" Mafia pertama

Semasa dipenjarakan pada tahun 1962, Valachi membunuh seorang lelaki yang dipercayainya telah sebagai pembunuh upahan yang dihantar oleh Genovese. Bagi mengelak hukuman mati, Valachi melakukan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana ahli Mafia sebelumnya - melanggar Omerta.

Joe Valachi bersetuju untuk memberi keterangan di hadapan ahli senat. Dia mendedahkan rahsia yang hanya diketahui oleh Mafia dan masyarakat Itali-Amerika sahaja. Valachi turut mendedahkan organisasi yang dianggotainya iaitu Cosa Nostra.

Keterangan Joe Valachi itu menjadi era baru dalam usaha anti-Mafia di Amerika. Sejak itu, semakin ramai ahli Mafia yang melanggar kod rahsia Omerta untuk menyelamatkan diri mereka sendiri. 

Usaha menggagalkan Omerta di Itali

Walaupun kekecohan yang berlaku di Amerika, keluarga jenayah Itali masih mengekalkan kod Omerta mereka. Kumpulan Mafia, 'Ngrangheta dan Camorra jauh lebih kuat dan lebih digeruni di Itali berbanding di Amerika. 

giovanni falcone paolo borsellino

Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino

Walaupun menyedari betapa besarnya kuasa sebenar ahli jenayah terancang di Itali, dua orang hakim iaitu Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino cuba sedaya-upaya untuk menentang mereka.

Kejayaan terbesar mereka datang apabila Tommaso Buscetta iaitu seorang ahli kongsi gelap berpangkat tinggi bersetuju untuk melanggar kod rahsia Omerta. Buscetta bersetuju memberi keterangan selepas satu kumpulan Mafia telah menyasarkan keluarganya.

Pembunuh upahan Mafia telah membunuh dua anaknya, empat anak saudara, abangnya, seorang abang ipar, menantu dan rakan terdekatnya. Sebelum memberi keterangan, Buscetta memberi amaran risiko yang bakal mereka hadapi. Ia akhirnya menjadi kenyataan apabila kedua-dua hakim itu terbunuh dalam pengeboman berasingan pada tahun 1992.

Begitu banyak pelanggaran Omerta yang berlaku menyebabkan Mafia dan kumpulan jenayah terancang lain sama ada di Itali atau Amerika hilang kekebalannya.

john gotti

Sammy the Bull (kiri) dan John Gotti

Pada tahun 1991, era popular Mafia di Amerika seolah-olah berakhir apabila Salvatore "Sammy the Bull" Gravano" memberi keterangan terhadap ketuanya sendiri iaitu John Gotti dari keluarga Gambino yang digeruni.




Hakcipta iluminasi.com (2017)