Richard Kuklinski a.k.a 'Iceman' adalah seorang pembunuh upahan yang bekerja untuk Mafia. Bukan seorang yang berbangsa Itali, dia tidak pernah menjadi "sebahagian" daripada keluarga penjenayah terkenal itu. Namun, dia sering bekerja untuk mereka dan didakwa telah membunuh lebih daripada 300 orang atas arahan banyak bos-bos Mafia.
Ramai yang mengatakan bahawa wang bukanlah motif utama Kuklinski melakukan pekerjaan sebegini. Dia adalah seorang sosiopatik yang gemar membunuh dan dibayar kerana hobinya itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi kebanyakan orang, seseorang tokoh Mafia itu sering dilihat mempunyai watak yang romantis. Namun, ia berbeza dengan Kuklinski. Richard Kuklinski pernah ditanya adakah dia seorang pembunuh upahan? Kuklinski menjawab "Tidak, saya hanya seorang pembunuh semata-mata".
Sejarah awal Iceman
Kuklinski sewaktu muda
Richard Kuklinski dilahirkan di New Jersey pada tahun 1935. Bapanya seorang pemabuk manakala ibunya pula seorang yang kuat agama. Semasa kecil, Kuklinski memberitahu dia suka menyiksa dan membunuh haiwan. Ia bukanlah seperti memburu tetapi lebih kepada membunuh kucing-kucing jirannya.
Kuklinski mula menyedari perbuatan membunuh telah memberikannya rasa yang paling menyeronokkan dalam hidup. Kuklinski memberitahu bahawa dia membunuh buat pertama kalinya ketika berusia 14 tahun. Ketika itu dia telah memukul seorang kaki buli sehingga mati.
Kuklinski tidak habis bersekolah dan berhenti belajar. Pada tahun 1950-an, dia telah mula melibatkan dirinya dengan penjenayah tempatan di New Jersey. Ketika berusia 18 tahun, dia telah mendapat kontrak aktiviti jenayahnya yang pertama.
Kuklinski berumur 18 tahun
Malangnya bagi Iceman yang mempunyai ketinggian 6 kaki 5 inci ini, kebanyakan pekerjaan jenayah yang diterimanya pada peringkat awal tidak melibatkan pembunuhan. Dia dikehendaki melakukan rompakan, peras ugut dan mengedar dadah.
Ia seolah-olah tidak cukup buat Kuklinski. Pada pertengahan tahun 1950-an, dia telah pergi ke Kota New York bagi mencari orang untuk dibunuh. Mangsanya mungkin seseorang yang dikenalinya, ditemuinya secara rawak atau mungkin juga mereka yang membuatnya berasa jengkel.
Tidak kira bagaimana caranya, Kuklinski sememangnya gemar membunuh. Dia kadang-kala menembak mangsanya atau memukul mereka hingga mati, bergantung pada mood dan keadaan. Kuklinski memberitahu, pernah sekali dia sendiri hampir pengsan ketika sedang memaksa salah seorang mangsanya menghidu semburan botol sianida.
Mula bekerja untuk Mafia
Roy DeMeo
Menjelang awal tahun 1960-an, Kuklinski mula menjadi terkenal di kalangan Mafia di New Jersey dan New York. Kuklinski kemudian bekerja secara langsung di bawah bos Mafia Brooklyn iaitu Roy DeMeo, sebahagian daripada keluarga jenayah Gambino yang terkenal.
Pada mulanya, Kuklinski berhutang sejumlah wang dengan DeMeo namun hutangnya dikira langsai setelah dia membunuh seseorang seperti yang diarahkan oleh DeMeo.
John Gotti, ketua kumpulan Gambino
DeMeo kemudian menyedari bakat yang ada pada Kuklinski dalam membunuh. Tidak lama selepas itu Kuklinski diambil bekerja untuk kumpulan gangster terkenal itu.
Kuklinski sememangnya tidak pernah gerun dan akan membunuh sesiapa sahaja. Dia bukan sahaja bekerja untuk DeMeo tetapi juga untuk bos-bos lain dalam keluarga jenayah Gambino yang besar. Tidak lama selepas itu dia dikenali dalam kalangan keluarga Gambino sebagai "Si Syaitan".
Kaedah Iceman membersihkan jejaknya
Ahli kumpulan jenayah Gambino
Pada hari ini, adalah sukar untuk melepaskan diri setelah melakukan pembunuhan. Ramai penjenayah yang ditangkap berdasarkan DNA yang mereka tinggalkan di tempat kejadian, membuatkan mereka sering "gagal".
Selain itu, kaedah yang digunakan oleh pihak polis juga bertambah baik. Banyak kamera CCTV yang dipasang di sudut-sudut jalan dan bangunan serta hampir semua orang memiliki telefon pintar. Kuklinski beroperasi sebelum semua teknologi canggih ini berkembang.
Untuk melepaskan diri daripada banyak pembunuhan yang dilakukannya, Kuklinski akan memotong jari mangsanya sehingga pihak polis tidak dapat mengambil cap jari. Selain itu, Kuklinski juga akan menarik keluar semua gigi mangsanya sekiranya mempunyai waktu supaya tidak dikenali.
Iceman juga banyak kali telah mengikat dan membuang mayat mangsanya di Sungai Hudson. Mayat yang terurai dalam air menyukarkan pihak berkuasa untuk mengenal pasti mangsa.
Kehidupan berkeluarga Iceman
Walaupun melakukan pekejaan sebagai pembunuh upahan, Kuklinski juga mempunyai kehidupan berkeluarga. Pada tahun 1961 dia telah berkahwin dengan isterinya Barbara. Mereka kemudian dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Ketika melangsungkan perkahwinan, Iceman dianggarkan telah melakukan sebanyak 65 pembunuhan. Seperti kebanyakan penjenayah yang lain, Kuklinski juga mempunyai kisah pembohongan tersendiri. Ketika mula bertemu dengan isterinya, Kuklinski memberitahu bahawa dia bekerja sebagai seorang setiausaha dalam perniagaan keluarga Gambino
Apabila Kuklinski dalam keadaan baik dia adalah seorang suami dan ayah yang gembira, penyayang dan sentiasa memberikan nafkah penuh. Namun, apabila marah dia kerap memukul isterinya dan sering mengatakan bahawa isterinya adalah "miliknya".
Isteri dan anak perempuan Kuklinski
Dia juga pernah mengugut isterinya menggunakan pisau. Sekiranya Barbara meninggalkannya, Kuklinski akan membunuh wanita itu dan seluruh ahli keluarganya. Isterinya percaya ugutan Kuklinski walaupun tidak mengetahui hakikat bahawa suaminya itu memang seorang pembunuh sebenar.
Sepanjang tahun 60-an hingga 80-an, Kuklinski terus membunuh. Dia adalah pembunuh upahan Mafia terkenal di Pantai Timur dan seluruh negara. Namun, Kuklinski memberitahu bahawa dia tidak akan membunuh wanita dan kanak-kanak. Dia juga tidak bercampur secara sosial dengan majikannya.
Dia memisahkan kehidupan profesional dan kehidupan sosialnya. Tidak ada seorang pun di kejiranannya yang sedar akan aktivitinya walaupun dia sering menjemput jiran-jirannya untuk hadir ke acara BBQ yang diadakannya.
Sepandai-pandai tupai melompat
Richard 'Iceman' Kuklinski
Pada tahun 1980-an, Kuklinski memulakan perniagaan jenayahnya sendiri. Mungkin disebabkan tertekan atau lalai, inilah kali pertama pihak berkuasa mula mengawasinya dengan lebih ketat.
Seperti kebanyakan kisah tentang jenayah terancang, salah seorang "rakan" Mafia Kuklinski telah berpaling tadah dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak polis. Lelaki itu telah memakai alat perakam suara tersembunyi sebelum bertemu dengan Kuklinski bagi mendapatkan bukti persetujuan mengenai kontrak membunuh.
Pada tahun 1986, Kuklinski dan isterinya sedang bersarapan ketika rumah mereka dikepung oleh pihak polis. Apabila Barbara bertanya kepada pihak polis mengapa mereka datang, penyiasat utama memberitahu bahawa suaminya adalah seorang pembunuh.
Selepas perbicaraan yang panjang, Kuklinski didapati bersalah atas tujuh pembunuhan dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. Ketika di dalam tahanan, dia adalah seorang yang gemarkan publisiti.
Jimmy Hoffa
Setelah bertahun-tahun menjalani kehidupan rahsia, Iceman Kuklinski memberi kerjasama dalam banyak wawancara majalah, akhbar dan TV. Dia mengaku bahawa menerima bayaran sebanyak USD 40,000 untuk membunuh Jimmy Hoffa, seorang pemimpin kesatuan di New Jersey yang kematiannya kekal misteri.
Kuklinski berkata bahawa dia tidak pernah menyesal dengan apa yang dilakukan, kecuali dia telah menyakiti keluarganya. Dia berharap agar keluarganya dapat memaafkannya namun mereka enggan.
Kali terakhir dia bertemu isterinya, Kuklinski mengalami penyakit kronik. Dia meminta isterinya agar mengarahkan doktor merawatnya dan dia akan mendedahkan semua aktiviti jenayahnya tetapi isterinya menolak. Dia akhirnya meninggal dunia pada tahun 2016.
Sammy Gravano dan John Gotti
Namun, kematian Iceman agak mencurigakan kerana pada masa yang sama dia dijadualkan untuk memberi keterangan terhadap Sammy Gravano. Kuklinski akan memberi keterangan bahawa Gravano pernah mengupahnya untuk membunuh seorang anggota polis. Semua tuduhan ke atas Gravano digugurkan kerana kekurangan bukti.
Rujukan:
1. Thought Co
2. Crime Museum
3. Biography