Oleh pada 17 Jun 2024 kategori

Kes kehilangan, penculikan dan pembunuhan kanak-kanak sering kali menggemparkan negara. terutama apabila kes tersebut melibatkan kekejaman melampau atau gagal diselesaikan, sehingga menjadi misteri yang tak dapat kita rungkai.

Apa saja kes yang terjadi dan kanak-kanak jadi mangsanya, pasti akan meninggalkan impak yang sangat mendalam khususnya di kalangan mereka yang bergelar ibu bapa. Rasa ngeri, takut dan bimbang nasib sama menimpa kita, adalah igauan ngeri yang takut hendak dibayangkan setiap individu yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudah beberapa kali negara kita digemparkan dengan kes jenayah melibatkan kanak-kanak. Ada yang selesai, ada yang masih menjadi tanda tanya. Berikut adalah lima kes kontroversi yang paling mendapat perhatian di Malaysia.

Nurin Jazlin Jazimin (2007)

nurin jazlin kanak kanak hilang

Nurin Jazlin Jazimin adalah seorang kanak-kanak perempuan pada masa kejadian berusia 8 tahun, yang dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 di Kuala Lumpur.

Nurin dilihat kali terakhir oleh keluarganya ketika pergi berkunjung ke sebuah pasar malam berhampiran rumah mereka. Selepas 26 hari pencarian yang meluas melibatkan anggota penguatkuasa serta orang awam, mayat Nurin malangnya ditemui di dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan berhampiran sebuah unit kedai.

Kes ini mengejutkan Malaysia kerana sukar dibayangkan bagaimana kejamnya sikap pemangsa, sanggup melakukan tindakan sejahat itu kepada seorang orang lain, apatah lagi seorang yang masih kecil usianya.

Walaupun pihak polis menjalankan siasatan yang intensif, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum ditangkap sehingga kini dan ini adalah sesuatu yang terus menyelubungi kita, kerana pelakunya mungkin boleh jadi sesiapa saja berdekatan anda.

Status : meninggal dunia dibunuh

Pelaku : masih bebas

Sharlinie Mohd Nashar (2008)

sharlinie kanak kanak hilang

Dalam kisah Sharlinie Mohd Nashar, adik ini pula seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang hilang pada 9 Januari 2008 di Petaling Jaya, Selangor. Sharlinie kali terakhir dilihat bermain di kawasan berdekatan rumahnya.

Kehilangannya mencetuskan pencarian secara besar-besaran di seluruh negara yang mendapat liputan meluas daripada media, termasuklah gerakan badan NGO yang giat berkempen bagi mendapatkan sokongan masyarakat.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya, Sharlinie tidak ditemui sehingga kini yang menimbulkan bermacam jenis spekulasi. Banyak pihak percaya Sharlinie telah menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, yang menculik dan melarikannya ke luar negara.

Kes ini kekal misteri sehingga sekarang.

Status : tidak diketahui

Pelaku : tidak diketahui

William Yau Zhen Zhong (2013)

kes kematian kanak kanak

Kisah kehilangan kanak-kanak bernama William Yau Zhen Zhong, yang berusia 6 tahun hilang pada 16 Januari 2013 di Kuala Lumpur memang menggemparkan.

William hilang ketika keluarganya sedang memesan makanan di sebuah restoran, ketika dia berada dalam kereta di Putra Heights. Kehilangannya memulakan operasi pencarian besar-besaran yang mendapat perhatian media secara meluas, serta mengakibatkan banyak perbincangan di kalangan ahli masyarakat.

Selepas pencarian dilancarkan, kira-kira dua minggu selepas itu tubuh William dijumpai berdekatan jeti berdekatan Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang. Hasil bedah siasat menyimpulkan William keluar berjalan tanpa disedari keluarga, jatuh ke dalam longkang lalu pengsan sebelum dihanyutkan air.

Status : meninggal dunia

Nora Anne Quoirin (2019)

nora anne kanak kanak hilang

Salah satu kes yang mendapat liputan antarabangsa melibatkan kes Nora Anne Quoirin, seorang remaja berusia 15 tahun yang mengalami masalah ketidakupayaan pembelajaran.

Nora Anne, anak pasangan dari Ireland dan Perancis ini hilang tanggal 4 Ogos 2019 dari sebuah resort di Seremban, Negeri Sembilan ketika sedang bercuti bersama keluarganya. Pencarian besar-besaran melibatkan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa dijalankan secara meluas.

Mayat Nora Anne ditemui 10 hari kemudian di kawasan hutan tebal berhampiran resort tersebut dalam keadaan tidak berpakaian. Selepas siasatan selesai yang mendapati tidak ada kejadian jenayah berlaku mengakibatkan kematian Anne dan kemalangan menjadi punca utama kematian, keputusan itu dikritik ibu bapanya yang merasakan pendapat itu separa masak.

Keputusan itu diicabar di mahkamah, menyebabkan mahkamah tinggi Seremban meminda keputusan itu membolehkan kes tersebut dianggap masih belum selesai dan penyiasatannya harus diteruskan.

Status : meninggal dunia

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi (2019)

zahiruddin bsp kanak kanak hilang

Misteri kehilangan kanak-kanak bernama Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun, yang hilang pada 15 April 2019 di Bandar Seri Putra, Bangi merupakan antara kes yang sangat membimbangkan kita semua.

Zahiruddin dilihat kali terakhir mahu keluar bermain berhampiran kawasan kediaman rumahnya, sebelum tidak pulang-pulang.

Usaha mencari yang dilakukan bukan saja sekitar Bangi bahkan sehingga ke kawasan sekitar Sungai Semenyih melibatkan polis, bomba dan orang ramai gagal menemui sebarang petunjuk.

Lebih menyayat hati, ada pihak cuba berlakon seolah dia adalah penculik dan mengambil kesempatan berlakunya kes kehilangan ini, meminta sejumlah wang daripada pihak keluarga - kononnya perlu dibayar jika mahu anak mereka selamat.

Sehingga ke hari ini jejak Zahiruddin tidak diketahui dan kanak-kanak ini lenyap meninggalkan kita dengan 1001 misteri. Pihak keluarga terutama ayahnya masih percaya anak mereka masih hidup dan merayu agar mengembalikan semula anak lelaki mereka, ke pangkuan keluarga.

Status : tidak diketahui

Pelaku : tidak diketahui




Hakcipta iluminasi.com (2017)