Seorang samseng Itali yang menyembunyikan diri di Republik Dominican akhirnya berjaya diberkas dan diekstradisi setelah 'terkantoi' memuat naik rakaman video dirinya membuat tutorial masakan di YouTube.
Menurut akhbar The Guardian, lelaki yang bernama Marc Feren Claude Biart itu merupakan salah seorang ahli keluarga Cacciola dari kumpulan Mafia 'Ndrangheta. Kumpulan sindiket jenayah terancang ini berpusat di wilayah Calabria di barat daya Itali dan wujud sejak abad ke-18 lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Kumpulan ini juga dikatakan lebih berjaya berbanding Cosa Nostra atau Mafia Sicily beberapa tahun kebelakangan ini dari segi pengaruh dan aktiviti jenayah mereka. 'Nrangheta juga telah lama melangkawi Cosa Nostra Sicily sebagai organisasi Mafia yang terbesar di Itali.
Organisasi ini bertanggungjawab menyeludup sebahagian besar kokain yang masuk ke dalam negara-negara Eropah.
Biart telah menjadi buruan dan pelarian sejak tahun 2014 lagi apabila pendakwa raya Itali mengeluarkan waran penangkapannya atas kesalahan menyeludup kokain ke Belanda.
Biart diiringi anggota Interpol
Menurut NBC News, Biart hidup tanpa dikesan di Boca Chica, Republik Dominika, setelah berpindah lima tahun yang lalu dari Costa Rica.
Dia berjaya bersembunyi dan amat berhati-hati untuk tidak bercampur dengan komuniti Itali di Kepulauan Caribbean itu sehinggalah dia melakukan satu kesilapan besar apabila "menayang" kehebatannya memasak hidangan Itali bersama isteri di saluran YouTube miliknya.
Tidak dapat dipastikan berapa banyak video yang telah dimuat naik dan berapa lama dia mula merakam tutorial masakan Itali sebelum tertangkap.
Walaupun dia berjaya mengelak wajahnya daripada dirakam kamera, Biart tetap dikenali kerana tatu khas yang terdapat pada tubuhnya. Lelaki berusia 53 tahun itu kemudian diekstradisi dan diterbangkan ke Milan untuk menghadapi perbicaraan.
Antara ahli kumpulan Mafia 'Ndrangheta yang ditangkap pihak berkuasa
Bagi Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa atau INTERPOL, penangkapan Biart merupakan kejayaan terbaru dalam beberapa siri operasi yang bertujuan untuk melumpuhkan sindiket Mafia 'Ndrangheta.
Malah, INTERPOL melancarkan operasi khas yang diberi nama I-CAN yang bermaksud Interpol Coorperation Against 'Ndrangheta atau Kerjasama Interpol Terhadap ‘Ndrangheta.
INTERPOL telah bergabung dengan pelbagai pihak berkuasa di seluruh Eropah pada tahun 2020 dalam usaha mereka untuk melancarkan serangan ke atas kumpulan Mafia yang dianggap wujud di "setiap benua dunia" ini.
Sebelum penangkapan Biart, pihak berkuasa berjaya menangkap mafioso (ahli mafia) lain bernama Francesco Pelle yang telah menjadi buruan pihak berkuasa selama 14 tahun. Pelle diberkas ketika sedang menerima rawatan COVID-19 di salah sebuah klinik di Lisbon, Portugal.
Pelle dianggap sebagai salah seorang suspek buruan paling berbahaya dan dikehendaki di Itali. Dia terlibat dalam percubaan bunuh ketua kumpulan pesaingnya, Giovanni Luca Nirta. Walaupun mangsanya selamat tetapi isteri kepada ketua kumpulan pesaing itu, Maria Strangio, tidak bernasib baik.
Francesco Pelle a.k.a Ciccio Pakistan
Percubaan bunuh itu adalah sebahagian daripada pertelingkahan yang berlaku antara keluarga Pelle-Romeo dan Nirta-Strangio. Keluarga Nirta kembali membalas dendam sehingga menyaksikan enam orang kenalan rapat Francesco Pelle dibunuh di Duisburg, Jerman, pada tahun 2007.
Sebelum Pelle, salah seorang lagi penjenayah Mafia Camorra dari keluarga Di Lauro telah ditangkap pada tahun 2019. Lelaki bernama Marco Di Lauro itu sedang menikmati hidangan pasta ketika pihak berkuasa menerjah masuk ke pangsapurinya di Naples. Seperti Pelle, Di Lauro juga telah menjadi buruan selama 14 tahun.
Kini, kumpulan Mafia 'Ndrangheta sedang melalui satu perbicaraan kumpulan jenayah terancang yang terbesar di Itali dalam tempoh 30 tahun.
Pihak pendakwa raya memerlukan masa lebih daripada tiga jam untuk membaca sebanyak 355 nama defendan semasa perbicaraan bersejarah itu bermula.
Dewan perbicaraan kes mahkamah Mafia 'Ndrangheta
Pihak berkuasa menganggarkan bahawa perbicaraan kumpulan Mafia terkenal yang diadakan di kampung halaman organisasi Ndangheta di Calabria itu mungkin akan berlangsung selama dua tahun atau lebih.
Perbicaraan ini akan merangkumi pelbagai kes jenayah seperti pembunuhan, penculikan dan perdagangan dadah antarabangsa. Menurut BBC, lebih daripada 900 saksi dijangka akan memberi keterangan pada Januari 2022.
Seorang profesor Kriminologi dari Universiti Oxford, Federico Varese, mengatakan bahawa perbicaraan itu akan membuka mata orang-orang Itali. Mereka akan mengetahui betapa besarnya kegiatan penyeludupan dadah, pembunuhan dan syarikat pinjaman haram kumpulan Ndrangheta berlaku dalam masyarakat.
Varese juga mendakwa orang ramai akan terkejut apabila menyedari bahawa kumpulan itu sudah lama berakar umbi di wilayah mereka sehingga terpaksa memanggil ratusan orang dalam perbicaraan mahkamah.
Rujukan:
1. Anggota Mafia 'terkantoi' kerana YouTube
2. Mafia buruan pihak berkuasa Itali ditahan di Kepulauan Caribbean