Persepsi songsang tentang kadar jenayah kita, mengakibatkan wujud salah tanggapan sehingga menghasilkan stigma di kalangan orang ramai.
Negeri-negeri pantai timur sering dilabel sebagai 'lubuk jenayah' sementara negeri-negeri ldi pantai barat Semenanjung Malaysia didakwa lebih selamat. Semua kesimpulan ini dibuat atas persepsi semata-mata.
Jika kita mengambil kira statistik dan penyelidikan, tahukah anda negeri manakah yang dikategorikan paling selamat di Malaysia? Berikut adalah hasil keputusan yang merungkai negeri mana paling selamat...dan yang mana paling tinggi kadar jenayahnya bagi tahun 2021.
BESARKAN TEKS A- A+
Indeks nisbah kadar jenayah negara kita
Setiap tahun indeks nisbah kadar jenayah di negara kita diukur dengan mengambil kira statistik kes jenayah yang dilaporkan, dibandingkan dengan jumlah populasi penduduk setiap negeri.
Indeks nisbah kadar jenayah di negara kita mengambil kira beberapa kategori jenayah utama yang dibahagikan kepada dua, iaitu jenayah keganasan yang merangkumi bunuh, rogol, rompakan dan mencederakan orang lain. Kategori kedua pula adalah jenayah melibatkan harta benda, melibatkan perbuatan seperti pecah masuk rumah, kecurian kenderaan, ragut dan kecurian lain.
Secara keseluruhannya, indeks nisbah kadar jenayah Malaysia menampakkan penurunan 21.4 peratus berbanding tahun 2020, dengan majoriti jenis jenayah mencatatkan penurunan. Rompakan mengalami penurunan lebih 24.7% bagi kategori jenayah keganasan dan kecurian kenderaan turun lebih 30.1% bagi kategori jenayah harta benda.
Secara amnya, Malaysia mencatatkan indeks nisbah jenayah pada angka 256.6 kes bagi setiap 100,000 orang penduduk. Dalam artikel kami terdahulu, indeks kita bagi tahun 2017 dicatatkan pada kadar 309.7 bagi setiap 100,000 orang penduduk.
Negeri dengan kadar jenayah paling tinggi
Dalam laporan yang dibuat, 7 negeri mencatatkan kadar jenayah melebihi purata negara kita.
WP Kuala Lumpur dan Putrajaya menduduki kedudukan pertama, mencatatkan kadar lebih dua kali ganda berbanding purata dengan nisbah 592.3 berbanding 100,000 orang.
Selangor duduk di tempat kedua dengan nisbah 304.3, Negeri Sembilan ketiga 295.4 Pulau Pinang 295.0, Melaka 275.9, Johor 262.4 dan terakhir sekali Kedah memenuhkan senarai 6 teratas dengan nisbah 258.3.
Walaupun negeri-negeri ini mencatatkan kadar indeks lebih tinggi berbanding purata - secara keseluruhannya angka yang dicatatkan menurun berbanding tahun sebelumnya.
NEGERI PALING TINGGI KADAR JENAYAH | Indeks |
1. WP Kuala Lumpur dan Putrajaya | 592.3 |
2. Selangor | 304.3 |
3. Negeri Sembilan | 295.4 |
4. Pulau Pinang | 295.0 |
5. Melaka | 275.9 |
6. Johor | 262.4 |
7. Kedah | 258.3 |
Negeri paling selamat di Malaysia
Negeri mana paling rendah kadar jenayahnya di Malaysia?
Negeri yang layak dinobatkan sebagai negeri paling selamat adalah negeri Sabah yang hanya mencatatkan indeks nisbah jenayah pada tahap 143.5 berbanding 100,000 populasi.
Terengganu menjadi negeri nombor dua paling selamat dalam tahun dengan nisbah jenayah 150.3, diikuti Kelantan 188.2, Pahang 195.7, Perak 195.8, Perlis 207.5 dan Sarawak menutup senarai ini dengan kadar 214.6.
NEGERI PALING SELAMAT | Indeks |
1. Sabah | 143.5 |
2. Terengganu | 150.3 |
3. Kelantan | 188.2 |
4. Pahang | 195.7 |
5. Perak | 195.8 |
6. Perlis | 207.5 |
7. Sarawak | 214.6 |
Kesimpulan
Statistik ini yang dilaporkan melalui dapatan yang dibentang oleh Jabatan Statistik Malaysia berdasarkan data tahun 2020 dan 2021, diharap dapat memperjelaskan dengan lebih baik berkenaan kadar jenayah di negara kita.
Kejadian jenayah memang akan berlaku tanpa mengira negeri, tetapi tidak dapat dinafikan faktor sosial dan persekitaran banyak menyumbang kepada punca kenapa sesuatu jenayah itu dilakukan.
Adalah mustahil untuk sesuatu kawasan dapat mencatatkan kadar jenayah sifar, tetapi kita sebagai sebuah masyarakat harus menggembleng tenaga bagi memastikan perbuatan-perbuatan jenayah baik dalam bentuk keganasan atau kerosakan harta benda, dapat dikawal dan dibanteras.
Adakah statistik yang kami kongsikan ini membuatkan anda sedikit sebanyak terkejut dengan realiti kadar jenayah di negara kita atau ini sesuatu yang sudah anda jangkakan? Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen kami.
Rujukan