Oleh pada 09 Aug 2021 kategori

Sukan Olimpik dianggap sebagai temasya sukan paling berprestij di atas muka Bumi. Setiap atlet pasti mempunyai impian untuk menyertainya tetapi hanya yang terbaik sahaja layak bertanding di pentas antarabangsa ini.

Perkampungan Olimpik Tokyo 2020

Banyak negara sanggup membida sehingga ratusan juta hanya untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik. Temasya ini mampu memberikan pelbagai kelebihan kepada tuan rumah dari segi pelancongan, ekonomi dan kemajuan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tuan rumah yang telah ditetapkan akan melabur wang yang banyak untuk membangunkan tapak dan kemudahan sukan ini. Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini dilaporkan telah menelan belanja sebanyak RM 66.24 bilion. Namun, jumlah sebenarnya dipercayai jauh lebih tinggi.

Persoalannya, apakah yang akan berlaku pada tapak acara dan perkampungan atlet selepas berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang hanya berlangsung selama 16 hari ini? 

Risiko besar Sukan Olimpik

Tidak semua Sukan Olimpik menjanjikan pulangan yang lumayan. Banyak kes di mana stadium dan perkampungan Olimpik yang bernilai berbilion-bilion ringgit terpaksa dirobohkan atau dibiarkan terbengkalai selepas berakhirnya sukan itu.

olimpik rio 2016

Pusat akuatik selepas enam bulan tamatnya Olimpik Rio 2016

Walaupun ada tuan rumah yang berjaya memanfaatkan semula tapak Olimpik sepenuhnya, apa yang berlaku seperti di Olimpik Rio, Olimpik Athens dan Beijing menjadi igauan setiap tuan rumah. Malah, ada tapak acara yang terpaksa ditutup kerana berbahaya kepada orang ramai.

Greece antara tuan rumah paling terkesan selepas mengacarakan sukan itu pada tahun 2004. Mereka telah membelanjakan RM 63 bilion lebih daripada jangkaan asal iaitu RM 6.7 bilion. Pelaburan besar yang tidak mendapat pulangan dikatakan menjadi salah satu punca krisis kewangan di negara itu. 

olimpik beijing

Salah satu stadium terbiar selepas Olimpik Beijing 2008

Bukan sahaja tapak acara malah perkampungan Olimpik juga tidak digunakan semula. Beribu-ribu unit pangsapuri dibiarkan terbengkalai dan rosak.

Persoalan yang sama selepas berakhirnya temasya Olimpik kini timbul semula. Apakah yang akan berlaku selepas Olimpik Tokyo 2020. 

Perancangan Tokyo selepas Sukan Olimpik 

Tokyo cuba untuk mengelak daripada mimpi buruk ini dan sudah merancang apa yang akan dilakukan selepas berakhirnya Olimpik Tokyo 2020.

perkampungan harumi

Perkampungan Olimpik di Harumi

Perkampungan Olimpik yang menjadi penempatan sementara 11,656 atlet di Harumi, Chuo, mungkin antara yang paling mudah untuk digunakan semula. Ia akan ditukarkan menjadi kawasan kediaman penduduk di Tokyo.

Kawasan yang menempatkan 21 bangunan dan merangkumi 3,600 unit kediaman itu akan diubah suai sebelum dijual kepada pembeli pada harga bermula dari 49 juta yen (RM 1.87 juta). 

Bagi Ariake Arena yang dibina untuk acara bola tampar pula, ia akan diubah menjadi pusat kebudayaan. Pusat akuatik yang baru dibina juga akan dibuka selepas berakhirnya Olimpik.

Tidak semuanya dibina baru

Bagi mengurangkan risiko terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang membantutkan jumlah kehadiran penonton, tidak semua tapak acara dibina baru untuk Sukan Olimpik.

Kebanyakan tapak acara di Tokyo telah ditambah baik daripada yang sedia ada atau yang dibangunkan pada Sukan Olimpik Tokyo pertama pada 1964.

nippon budokan

Sebagai contoh, stadium Nippon Budokan iaitu tapak kepada acara judo. Tempat itu asalnya merupakan tapak acara muzik dengan artis popular seperti Beatles dan ABBA pernah melakukan persembahan di situ.

Stadium itu dibina pada Olimpik Tokyo 1964 dan akan digunakan sebagai pusat sukan dan kebudayaan selepas berakhirnya Olimpik Tokyo 2020.

Sama seperti Stadium Kebangsaan Yoyogi yang dibina untuk acara bola keranjang dan akuatik pada Olimpik Tokyo 1964. Ia telah diubah suai sebagai tapak acara bola baling dan badminton pada Olimpik Tokyo 2020.

Sebenarnya, setiap tuan rumah telah merancang untuk memanfaatkan semula tapak acara tetapi ia tidaklah semudah yang disangkakan dan akan menelan belanja yang besar.

Tuan rumah yang berjaya

Walaupun apa yang dirancang Tokyo itu sesuatu yang bagus tetapi hanya masa yang dapat menjawabnya. Namun, ada juga tuan rumah yang berjaya memenfaatkan semula tapak acara Olimpik dengan baik. 

Antaranya adalah seperti Olimpik London 2012. Stadium yang dibina untuk Olimpik kini digunakan sebaik mungkin sebagai tapak acara bagi sukan di tahap amatur dan profesional.

stadium olimpik montreal

Stadium Olimpik Montreal pada hari ini

Bagi Montreal yang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1976 pula, kebanyakan kemudahan yang dibina ketika itu masih lagi beroperasi dan digunakan sehingga hari ini.

Selepas berakhirnya Olimpik, Montreal dipenuhi dengan banyak bangunan canggih yang menelan belanja besar dan melebihi jangkaan asal. Namun, mereka berjaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini.

Perkampungan Olimpik di Montreal juga telah dijual kepada pembeli dan bertukar menjadi salah satu penempatan penduduk di bandar itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)