Negara Sweden merupakan salah satu negara Scandinavia yang terletak di Eropah. Negara ini juga dikenali dengan syarikat menjual perabotnya yang mempunyai cawangan di seluruh dunia iaitu Ikea. Ramai rakyat Malaysia yang sudah ke Ikea sama ada untuk membeli perabot atau mencuba hidangan terkenalnya iaitu meatball. Bukan itu sahaja, negara ini juga dikenali dengan kekayaan dan penjagaan hal kebajikan rakyatnya yang sangat bagus.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, Sweden mempunyai masalah sampah sehingga ia mengumumkan bahawa negara itu sedang darurat sampah. Anda jangan salah anggap, bukan kerana ia mempunyai terlalu banyak sampah akan tetapi negara maju ini sebenarnya kekurangan sampah yang menyebabkan banyak pusat pelupusan sampahnya hampir lumpuh.
Ini berlaku disebabkan sikap rakyatnya yang prihatin tentang alam sekitar dan sikap kitar semula pengguna. Sweden menyerapkan sikap baik ini kepada rakyatnya sejak dari bangku sekolah lagi. Jadi, tidak hairanlah jika Sweden merupakan salah satu negara dengan pengeluaran sampah yang paling rendah dalam dunia.
Sebagai salah satu daripada langkah penyelesaiannya, Sweden terpaksa mengimport sampah dari negara luar seperti United Kingdom. Jika tidak berbuat demikian maka masalah lain mungkin akan timbul kerana sampah di Sweden sebenarnya diproses untuk dijadikan tenaga elektrik.
Bayangkan Sweden hanya membuang sisa di tapak sampah cuma sebanyak 1% sahaja setelah diproses. Syarikat pelupusan sampah di sana memproses 99% sampah sehingga habis. Sebanyak 32 pusat pelupusan sampah di Sweden kebanyakannya membakar sampah mereka untuk dijadikan sumber tenaga yang digunakan di seluruh negara.
Sikap kitar semula oleh rakyatnya juga menyumbang kepada permasalahan ini. Hampir separuh dari penduduk negara ini peka dengan alam sekitar dan sentiasa mengitar semula barangan lama mereka sendiri. Inisiatif kerajaan dalam memberi kesedaran tentang kitar semula juga menyumbang lagi kepada permasalahan kekurangan sampah.
Jadi, anda boleh bayangkan betapa bersihnya negara yang terpaksa mengimport sampah dari Norway, UK, Italy dan beberapa lagi negara Eropah ini. Walaupun begitu, peraturan yang ketat dikenakan ke atas pusat pelupusan yang membakar sampah agar tidak menyumbang kepada peratusan pencemaran udara seperti yang berlaku di negara lain yang sering dibantah oleh aktivis alam sekitar.
Di kebanyakan negara maju yang lain, proses pelupusan sampah dengan membakar ini menjadi isu kerana menyumbang kepada pemanasan global tetapi tidak di negara Sweden. Kini, negara Sweden menjadi contoh yang baik dan diikuti oleh negara-negara maju yang lain dalam urusan pemprosesan sampah yang dibuang oleh rakyat negara mereka.
Seperti mana yang kita ketahui, Malaysia juga tidak terkecuali mempunyai sampah yang banyak dan pengurusan yang tidak selari dengan tahap pembuangan sampah. Ditambah pula dengan perangai rakyat yang tidak pedulikan kebersihan alam sekitar, keadaan akan menjadi lebih buruk dari semasa ke semasa.
Walaupun terdapat pelbagai inisiatif kerajaan untuk mendidik rakyat Malaysia membuang sampah dengan mengikut jenisnya, masih ramai rakyat yang tidak peduli dan membuang sampah sesuka hati mereka walaupun tong sampah hanya beberapa kaki sahaja jaraknya. Salah satu mentaliti salah yang sering diamalkan ialah dengan berfikir bahawa ada orang yang dibayar gajinya untuk memungut sampah yang mereka buang sesuka hati.
Kami berharap dengan membaca artikel ini, ia dapat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam pengurusan sampah terutamanya apabila hampir dengan musim perayaan ini. Sampah yang banyak ditinggalkan juga akan menjadi penyebab kepada penyebaran penyakit dan makhluk perosak.
Anda perlu ingat, kita semua akan mati dan mewariskan negara ini kepada generasi yang akan datang. Jika anda sayangkan keluarga atau anak anda, ubahlah sikap tidak peduli ini supaya generasi masa hadapan dapat menikmati bumi ini sama seperti kita atau dalam keadaan lebih baik lagi.