Dalam longgokan-longgokan sampah yang menimbun setinggi bukit di Pulau Indah, yang terletak di dalam daerah Klang terdapat beberapa bungkusan sosej berjenama 'Wolf' yang dihasilkan di Jerman secara kecil-kecilan, sejak tahun 1925. Ini bermakna bungkusan itu telah melalui perjalanan sejauh 9,700 km dari tempat asalnya.

Bungkusan sosej itu turut disertai dengan beberapa barangan Jerman lain seperti botol sabun basuh, bungkusan daging, bungkusan pembungkus bawang dan juga plastik pasta jenama Swabia yang hanya dijual di Jerman. Amat jelas, sampah masyarakat Jerman telah dibawa ke Malaysia oleh pihak-pihak tertentu. Apa yang menghairankan, sampah dari Jerman mempunyai kawalan ketat sebelum dieksport keluar dari negara asalnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jabatan pemantauan di Jerman hanya membenarkan sampah plastik dieksport untuk tujuan kitar semula dan setiap gram plastik yang akan dieksport, direkodkan secara terperinci. Persoalannya - bagaimana sampah-sampah ini boleh hadir di Pulau Indah, Malaysia?

Larangan eksport ke China memaksa Malaysia menjadi pusat sampah Eropah

kilang pelupusan sampah jerman

Malaysia menjadi negara pilihan, selepas China melarang pengimportan masuk sampah plastik. Daripada bulan Januari 2018 hingga Oktober tahun yang sama, sebanyak 114,000 tan sampah plastik dieksport ke Malaysia, peningkatan lebih 125% berbanding jumlah asal sebelum itu.

Statistik di Jerman menunjukkan dalam tempoh setahun, kerajaan Jerman terpaksa menguruskan lebih 6.2 juta tan sampah plastik dengan separuh daripadanya akan dibakar. Separuh lagi akan dikitar semula dengan 1/3 daripada jumlah tersebut akan dikitar semula di luar negara mereka. Bagaimanapun, tinjauan wartawan Jerman mendapati berlakunya penipuan yang didalangi pihak-pihak tidak bertanggungjawab khasnya peruncit dan pengeluar.

Di depan orang ramai, slogan kitar semula dijaja untuk menunjukkan kemampuan mereka walhal hakikatnya tidak banyak pihak yang benar-benar peduli tentang sampah mereka, selepas sampah itu melepasi sempadan negara asalnya.

Punca sebenar mengapa sampah Jerman hadir ke Malaysia

sistem pengurusan sampah jerman

Dengan merujuk kepada kod yang dicetak pada bungkusan, wartawan mendapati sampah yang dilonggokkan di Pulau Indah berpunca daripada dua pasaraya besar Jerman, Aldi dan Edeka. Bagaimanapun, maklum balas dua pasaraya yang diperolehi pula membawa kepada satu pihak lain yang dipertanggungjawabkan bernama Sudpack.

Jurucakap Sudpack memberitahu walaupun mengakui mereka bertanggungjawab menyelia proses kitar semula agar berlaku sepenuhnya, kebanyakan sampah plastik yang ada tidak boleh dikitar untuk diperbaharui dan perlu dibakar. Untuk proses ini, sebuah firma lain pula dilantik dan proses pembakaran memerlukan kos yang sangat besar.

Untuk setiap satu tan bahan plastik dibakar, kosnya sekitar €150 atau RM690, namun boleh meningkat kepada €800 (RM3700) sekiranya bahan itu memerlukan proses lebih lama. Oleh kerana kos yang sangat tinggi diperlukan, jalan yang lebih murah adalah untuk mengeksportnya keluar.

Kos bagi mengeksport keluar plastik dari Jerman melalui jalan air dianggarkan antara €40 ke €150 (RM183 ke RM690) untuk setiap tan. Oleh sebab itulah banyak pihak dari Jerman memilih menjadikan Malaysia destinasi sampah yang sukar untuk mereka proses semula.

Salah siapa sebenarnya masalah ini?

kitar semula plastik kilang

Walaupun banyak pihak mengambil jalan senang melonggokkan sampah yang tidak boleh dikitar semula ke Pulau Indah, sebuah firma penghapusan sampah bernama Nehlsen pula berani mengambil risiko untuk kepentingan bersama. Tindakan kerajaan China melarang kemasukan sampah, memaksa Nehlsen mencari alternatif lain.

Mereka membangunkan satu sistem kitar semula yang lebih efisien, mampu memproses anggaran 20 ke 25 ribu tan setahun bahan kitar semula. Mengapa mereka memilih langkah tersebut? Percubaan mereka menghantar ke Malaysia tidak memberikan mereka keputusan yang diharapkan.

Selepas larangan China diwujudkan, Nehlsen menghantar beberapa kontena sampah ke Malaysia untuk diproses tetapi mendapati syarikat yang beroperasi di Malaysia sebenarnya tidak berupaya dan kurang kemahiran menguruskan sampah kitar semula dalam skala sebesar itu.

Malaysia destinasi pilihan sampah plastik dunia?

pulau indah kawasan sampah

Firma Nehlsen akhirnya memilih untuk menanggung sendiri kos pembakaran sampah plastik yang tidak boleh dikitar semula, atas rasa tanggungjawab mereka memastikan tidak berlakunya pencemaran di Malaysia atau mana-mana negara Asia yang menjadi destinasi pilihan sampah firma-firma lain seperti mereka.

Menegaskan mereka tidak boleh didakwa sekiranya memilih untuk menghantar sampah ke Malaysia, kerana perkara itu dibenarkan kerajaan Jerman sendiri - Nehlsen memilih jalan susah mengambil berat infrastruktur negara kita yang lemah dalam pengurusan sisa pepejal serta ahli politik yang seakan tidak mengendahkan masalah ini.

Kawasan kejiranan sekitar Pulau Indah mula berdepan masalah pernafasan, dengan kajian yang dijalankan mendapati bahan besi dan beracun daripada sampah yang dilonggokkan sudah mula memasuki tanah dan bekalan air penduduk setempat.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada pihak benar-benar mahu mengubah keadaan ini - sama ada kerajaan kedua-dua negara ataupun syarikat-syarikat Jerman yang seakan tidak peduli sampah mereka kini berada 9,700 km di sebuah negara kecil bernama Malaysia.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel How Germany recycling ends up in Malaysian dumps yang diterbitkan pada 26 Februari 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)