Anda mungkin pernah membuang barangan berharga secara tidak sengaja ke dalam tong sampah. Jika anda menyedarinya lebih awal, ia mungkin dapat diselamatkan. Walau bagaimanapun, tiada apa yang dapat dilakukan lagi jika sampah itu telah dipungut oleh lori sampah.
Lebih mahal harga barang yang dibuang itu, lebih menyesal anda berasa. Namun, anda mungkin tidak semalang atau sesedih lelaki bernama James Howells dari Newport, Wales.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini kerana, Howells secara tidak sengaja membuang barangan yang sangat berharga ke dalam tong sampah. Jika tidak, dia mungkin sudah menjadi jutawan yang sangat kaya pada hari ini. Barangan yang dibuang Howells mengandungi mata wang kripto.
Mata wang kripto
Mata wang kripto atau Cryptocurrency adalah sebarang bentuk mata wang yang wujud secara digital atau maya. Ia menggunakan kriptografi untuk menjamin transaksi.
Ia juga merupakan sistem pembayaran digital yang tidak bergantung kepada bank untuk mengesahkan sesuatu transaksi itu. Sistem peer-to-peer mata wang kripto membolehkan sesiapa sahaja di mana-mana jua untuk menghantar dan menerima bayaran.
Bitcoin mula dicipta oleh seseorang yang menggunakan nama samaran Satoshi Nakamoto pada tahun 2008. Ketika mula diperkenalkan pada tahun 2009, ia tidak begitu berharga dan ramai yang agak skeptikal mengenainya.
Seperti yang diketahui ramai, ada diantara nilai mata wang kripto pada hari ini adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, 1 Bitcoin pada hari ini adalah bernilai RM199,000. Namun, nilai mata wang kripto ini berubah dari masa ke masa.
Ini bermakna, jika anda mempunyai dan menjual beberapa Bitcoin sahaja anda sudah menjadi seorang jutawan. Bayangkan jika anda mempunyai ribuan Bitcoin di dalam akaun anda.
Kesilapan paling mahal
Seperti yang diterangkan di atas, James Howells dari Wales telah membuang sesuatu barangan yang begitu berharga baginya. Lebih terperinci lagi, dia secara tidak sengaja telah membuang 7,500 Bitcoin ke dalam tong sampah.
Howells adalah seorang jurutera teknologi informasi yang berusia 36 tahun. Pada awal kemunculan Bitcoin, Howells telah melombong mata wang kripto itu sehingga berjaya memperolehi sebanyak 7,500 Bitcoin.
Pada suatu hari, dia secara tidak sengaja telah menumpahkan air kopi ke atas komputer ribanya. Howells kemudian telah membuka komputer riba itu dan menyimpan cakera keras (hard disk).
Pada tahun 2013, dia secara tidak sengaja telah melakukan kesilapan paling mahal. Ketika sedang mengemas rumahnya untuk berpindah, Howells telah membuang dua cakera keras yang disangka tidak begitu penting.
Dia tidak menyedari bahawa salah satu daripada cakera keras itu mengandungi "private key" yang diperlukan untuk mengakses dan membelanjakan 7,500 Bitcoin yang dimilikinya.
Pencarian lebih 8 tahun
James Howells menyedari bahawa dia secara tidak sengaja telah membuang Bitcoin yang pada ketika itu bernilai sekitar RM 2.7 juta (2013). Lebih parah lagi, Howells adalah orang paling terkesan dengan kenaikan nilai mata wang kripto.
Dianggarkan, nilai Bitcoin yang dibuangnya pada 2013 adalah sekitar RM 1.46 bilion pada hari ini. Menyedari kesilapannya membuang cakera keras itu, James Howells terdesak mencari semula cakera kerasnya itu.
Kini, sudah lebih daripada 8 tahun Howells menyelongkar timbunan sampah di tapak pelupusan sampah di Newport. Dia seolah-olah mencari jarum di dalam jerami apabila menyelongkar timbunan sampah setinggi empat kaki dengan keluasan sebesar sebuah padang bola.
Namun, lelaki ini tidak berputus asa dan percaya cakera kerasnya masih berada di tapak pelupusan sampah ini. Howells malah mengupah beberapa penduduk bandarnya untuk bersama-sama mencari "harta karun" ini dan menjanjikan bayaran yang lumayan jika berjaya.
Beri sumbangan jika berjaya
Malangnya, Majlis Perbandaran Newport telah menyekat kemasukan sukarelawan ke dalam tapak pelupusan sampah mereka. Majlis Perbandaran Newport mendakwa pencarian itu akan menyebabkan kerosakan ekologi melalui penggalian semula sampah-sampah itu.
Walau bagaimanapun, Howells tidak berputus asa dan mencuba cara lain. Dia berjanji akan menyumbangkan sebanyak 25% (RM 367 juta) daripada jumlah Bitcoin miliknya kepada Majlis Perbandaran Newport sebagai "Dana Bantuan COVID-19" jika cakera keras itu berjaya ditemui.
Howells juga mempunyai rancangan untuk menggali kawasan khusus di tapak pelupusan sampah itu berdasarkan sistem rujukan grid sambil mematuhi semua piawaian keselamatan dan alam sekitar.
Namun, Majlis Bandaraya Newport tetap dengan keputusan mereka menutup tapak pelupusan sampah itu daripada orang luar. Majslid Bandaraya Newport telah menerangkan kepada CNN bahawa mereka telah beberapa kali memberitahu perkara itu kepada James Howells.
Tambahan mereka lagi, kos menggali tapak pelupusan, menyimpan dan merawat sisa 200,000 tan sampah di situ boleh mencecah berjuta-juta paun sedangkan tiada jaminan sama ada cakera keras itu benar-benar berada di situ atau tidak lagi berfungsi jika ditemui.
Nampaknya, peluang Howells untuk menemui semula Bitcoin miliknya dan menjadi jutawan segera kelihatan begitu tipis.