Jika kita menyebut sahaja tentang tapak pelupusan sampah, anda pasti terus terbayangkan persekitaran yang busuk dengan timbunan sampah yang menggunung dan penuh dengan binatang kotor seperti burung gagak, tikus, ulat dan lipas, bukan?

Sebelum kami berkongsi dengan lebih lanjut mengenai salah satu sistem pelupusan sampah terbaik di dunia, mari kita lihat dulu suasana persekitaran di beberapa tapak pelupusan sampah yang 'tipikal' dalam benak kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini adalah tapak pelupusan sampah di India:

tapak pelupusan sampah india

Ini pula kawasan pembuangan sampah di China:

tapak pelupusan sampah china

Tidak begitu banyak perbezaan dengan di negara sendiri, Malaysia:

tapak pelupusan sampahh malaysia

Jika sebelum ini kami pernah menulis bagaimana Sweden kehabisan sampah akibat terlalu efisien dan juga mengenai Pulau Thilafushi yang menjadi pulau tambak yang tercemar akibat pembuangan sampah, pernahkah kita terfikir bagaimana negara jiran kita yang kecil ini membuang sampah mereka?

Dengan keluasan tanah yang amat terhad seluas 719.9 kmĀ² dan penduduk seramai 5.64 juta orang, bagaimanakah agaknya negara maju ini membuang dan melupuskan sampah-sampah yang dihasilkan oleh jutaan rakyat di sana?

Sekarang cuba lihat pula gambar ini:

pulau semakau singapura tapak pelupusan sampah paling terbaik dunia ekologi alam sekitar

Adakah anda percaya jika pulau yang kelihatan seperti sebuah pusat peranginan dan sememangnya menjadi tarikan pelancong kerana terumbu karang serta air biru jernih ini sebenarnya adalah sebuah tapak pelupusan sampah?

pulau semakau tapak pelupusan sampah singapura 2

Di Pulau Semakau inilah kerajaan Singapura mengambus segala sampah-sarap dengan cara yang sangat mengagumkan. Pulau Semakau ialah sebuah 'pulau' yang merupakan kawasan tanah kambus ekologi lepas pantai pertama di dunia. Ia direka khusus oleh sekumpulan jurutera dan pakar alam sekitar daripada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (National Environment Agency, "NEA") Singapura.

kawasan peta pulau semakau singapura

Sejak mula dilancarkan pada tahun 1999, tapak pelupusan sampah Pulau Semakau yang terletak sejauh 8km dari bahagian selatan negara ini menelan belanja sekitar $400 juta. Dengan perimeter sepanjang 7km, ia boleh menampung sehingga 63 juta meter padu sampah. Ini bermakna rakyat Singapura mempunyai ruang yang cukup untuk membuang sampah di sini sehingga tahun 2045.

Bagaimana ia berfungsi

Untuk memastikan standard kualiti diterap dalam sistem secara keseluruhan, Proses Pembuangan Sampah (Waste Disposal Process, "WDP") bermula sebelum kapal sampah tiba ke pulau ini lagi. Pihak NEA menjelaskan bagaimana abu yang diperolehi dari loji pembakaran sampah serta pelbagai sisa buangan lain diangkut menggunakan kapal dengan muatan 3,500 meter padu. Sisa buangan ini terdiri daripada 65% abu dan 35% tanah kambus yang tidak boleh dibakar.

pulau semakau tapak pelupusan sampah singapura

Mesin pengorek gergasi yang dibina khas untuk mengangkut sisa pepejal dari kapal dan dimasukkan ke dalam trak sampah bersaiz 35 tan. Trak ini akan bergerak di sepanjang laluan 10 meter lebar untuk melalui semua seksyen di kawasan pulau ini dan menuju ke tapak kambus tanah sebelum memunggah muatan ke dalam sel-sel yang khusus. Jentolak dan jenter pemampat kemudian akan menyamaratakan serta memampatkan sisa ini. Setelah penuh, setiap sel akan dikambus menggunakan tanah. Akhirnya, rumput dan tumbuhan hijau akan mula berakar hingga membentuk landskap hijau yang memukau pandangan.

kawasan persekitaran pulau semakau tempat pejalan kaki

Selamat tinggal gas metana

Salah satu kelebihan sistem yang digunakan di sini ialah disebabkan majoriti sampah yang dibawa adalah dalam bentuk abu yang dibakar, masalah penghasilan gas metana daripada pereputan bahan organik hampir tidak timbul.

air jernih di pulau semakau tempat terumbu karang

Loji rawatan sisa air di sini dilapisi membran yang tidak dapat ditembusi untuk mengelakkan kebocoran bahan berbahaya daripada mencemari air. Namun, seperti Malaysia, Singapura mengalami taburan hujan yang tinggi dan secara teorinya, lubang tanah kambus ini boleh melimpah pada masa akan datang. Ini bermakna pihak kerajaan Singapura perlu memikirkan langkah untuk membina loji rawatan bahan larut lesap di Pulau Semakau untuk mengelakkan limpahan air merebak dan mencemarkan air di kawasan sekelilingnya.

Tapak pembuangan sampah bagaikan syurga dunia

Disebabkan usaha kerajaan Singapura yang sangat efisien dalam memelihara alam sekitar, tapak kambus tanah ini menjadi habitat pelbagai spesies burung dan haiwan yang jarang dijumpai. Malah, ia juga menjadi salah satu lokasi pilihan para peminat dan pengkaji burung di Singapura.

spesies burung banyak hidup di pulau semakau tapak pelupusan sampah

Walaupun ia adalah sebuah tapak industri pembuangan sisa, pulau ini hanya dibuka untuk pelawat yang telah berdaftar dan membuat permohonan daripada NEA sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum tarikh lawatan. Disebabkan kerja-kerja operasi harian, lawatan hanya dibenarkan pada hujung minggu dan tertakluk kepada kelulusan NEA. Jika anda berminat, anda perlu menaiki feri dengan bayaran SGD400 ataupun menyertai pakej kumpulan rombongan untuk menjimatkan kos.

tapak sulaiman pulau semakau tapak pelupusan sampah singapura

Setiap pelawat yang datang ke Pulau Semakau akan diberikan taklimat tentang pengurusan sisa pepejal di fasiliti tersebut serta lawatan mengelilingi pulau untuk menyaksikan sendiri tapak kambus tanah tersebut.

Ada juga para pengunjung yang bertuah berpeluang berjalan selama tiga jam ketika air surut dan melihat koleksi menakjubkan paya bakau, rumpai laut, batu karang, ketam, tapak sulaiman, udang dan pelbagai lagi spesies flora dan fauna menarik yang tidak terdapat di tapak pembuangan sampah yang biasa. Pengkaji burung juga boleh memerhatikan sekitar 66 spesies burung yang menjadikan pulau ini sebagai tempat tinggal mereka.

pulau semakau tapak pelupusan sampah singapura terumbu karang

Pada saat ekosistem bumi semakin tenat hari demi hari, inisiatif seperti ini membuktikan bahawa masih ada peluang untuk manusia bersama-sama menyelamatkannya daripada hancur ditenggelami perbuatan kita sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)