Sebagai sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, negara India sememangnya mempunyai masalah sampah yang terlalu banyak. Keadaan menjadi lebih teruk dengan ketiadaan sistem pengurusan sampah yang efisyen dan sistematik.
Namun, sebuah sekolah di India yang dikenali sebagai Sekolah Akshar telah mengambil satu inisiatif untuk menggalakkan para pelajarnya membersihkan kawasan persekitaran tempat tinggal mereka. Sekolah ini menerima sampah plastik sebagai bayaran yuran pengajian mingguan disini.
BESARKAN TEKS A- A+
Idea kreatif 2 orang guru
Sekolah Akshar merupakan sebuah sekolah kecil yang dimulakan oleh Parmita Sarma dan Mazin Mukhtar pada bulan Jun 2016. Sekolah ini terletak di negeri Assam yang terletak timur laut India yang bersempadanan dengan selatan Himalaya.
Mazin Mukhtar melepaskan kerjayanya sebagai seorang jurutera aeroangkasa untuk bekerja dengan keluarga yang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke India. Di India, beliau telah bertemu dengan Sarma yang merupakan graduan kerja sosial dan mengambil inisiatif menubuhkan sekola ini.
Bagi penduduk setempat, ianya adalah suatu kebiasaan setiap keluarga akan mengumpul sampah termasuk plastik dan membakarnya pada musim sejuk untuk mendapatkan sumber haba. Malangnya, aktiviti pembakaran ini akan menghasilkan asap yang ini bukan sahaja merbahaya untuk kesihatan tetapi juga mengundang pencemaran alam sekitar yang sangat serius.
Selain itu, kedua orang guru ini sedar bahawa kemiskinan penduduk setempat mungkin menyukarkan mereka untuk membayar yuran pengajian untuk menghadiri pengajian di sekolah. Mereka sedar perlu melakukan sesuatu agar kanak-kanak disini bukan sahaja tidak ketinggalan dalam pengajian, tetapi juga menyelamatkan persekitaran tempat tinggal mereka.
Sampah sebagai bayaran yuran pengajian
Pasangan guru ini bertekad untuk melakukan satu inisiatif yang bukan sahaja mendidik masyarakat setempat tetapi juga memberi manfaat pada alam sekitar. Oleh itu, para pelajar yang mengikuti pengajian disini telah dibenarkan untuk membayar yuran pengajian mereka dengan sampah plastik.
Setiap minggu, para pelajar mereka yang berusia antara 4 hingga 15 tahun akan beratur di hadapan sekolah sambil membawa bungkusan sampah seperti botol plastik, pembalut plastik, straw dan sebagainya. Setiap seorang pelajar dikehendaki membawa sekurang-kurangnya 25 sampah setiap minggu sebagai bayaran pengajian di sekolah itu.
Kepentingan mendapat pendidikan sempurna
Sebagai guru yang penuh dedikasi, pasangan guru ini sedar betapa pentingnya setiap kanak-kanak penduduk tempatan mendapat pengajian dan pendidikan yang sempurna. Sebelum sekolah ini dibuka, kebanyakan ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bekerja di kuari yang diberikan gaji sekitar $2.5 sehari.
Mereka sedar perlu melakukan sesuatu memandangkan kanak-kanak yang bekerja di kuari terdedah dengan pelbagai risiko keselamatan. Lagipun, bekerja dalam usia yang terlalu muda tidak menjamin bahawa kanak-kanak ini dapat keluar daripada perangkap kemiskinan apabila mereka dewasa kelak.
Melalui kurikulum bersepadu yang dirancang serta teknik mengajar yang menarik, mereka berjaya menarik lebih ramai pelajar datang ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan yang sepatutnya. Daripada hanya 20 orang pelajar di peringkat awal, kini terdapat kira-kir 100 orang pelajar menghadiri pengajian disini.
Sistem kurikulum yang unik
Kurikulum yang diajarkan disekolah ini juga agak unik dan tidak sama dengan sekolah lain. Ianya lebih memberi tumpuan terhadap nilai-nilai murni dan memberi kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya menjaga alam sekitar dan bagaimana memberikan kembali sumbangan kepada penduduk tempatan.
Selain itu, kanak-kanak ini juga diajar pelbagai topik yang bertujuan untuk membina kemahiran yang diperlukan mereka untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih cerah apabila mereka dewasa kelak. Ini merangkumi cara-cara membina panel solar, pertukangan dan pelbagai kemahiran lain.
Secara umumnya, masyarakat tempatan terutamanya ibu bapa sangat menyokong usaha ini. Malah, mereka juga kini lebih peka tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan kebersihan tempat tinggal mereka. Malah, anak-anak mereka juga lebih berdikari memajukan diri sendiri dengan pelbagai kemahiran yang diperolehi.
Selain itu, para pelajar yang datang daripada keluarga miskin ini juga didedahkan dengan teknologi agar mereka tidak jauh ketinggalan dengan kanak-kanak sebaya mereka yang lebih bernasib baik.
Pasangan guru ini ternyata gembira dengan apa yang dilakukan mereka. Malah, mereka juga merancang untuk menubuhkan kira-kira 100 buah sekolah dengan konsep sama dalam tempoh 5 tahun akan datang terutamanya di kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya berada dalam kancah kemiskinan tegar.
Kredit: