Otak kita merupakan satu organ yang sangat kompleks dan kadangkala bertindak di luar kawalan kita, memberikan kita isyarat-isyarat yang sukar untuk kita fahami.
Boleh juga dikatakan sebagai 'kesilapan' pada otak dalam mentafsir, harus difahami yang isyarat-isyarat ini dianggap sebagai anomali kepada memori kita, sehingga menyebabkan kita merasakan sesuatu yang sukar untuk kita fahami sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Pasti anda pernah mendengar orang ramai menyebut perkataan 'deja vu'; tetapi apa sebenarnya fenomena tersebut? Apa pula lawannya? Adakah ada fenomena lain mirip seperti 'deja vu'? Kami cuba huraikan secara ringkas dalam artikel ini agar anda dapat memahami konsep anomali dalam otak yang boleh berlaku kepada setiap orang di antara kita.
Apa itu Deja Vu
Deja vu adalah perkataan Perancis yang membawa makna 'pernah dilalui' - adalah perasaan yang timbul seolah-olah kita pernah melalui satu situasi sama yang pernah berlaku sebelum itu, semasa kita melalui situasi itu dalam dunia nyata. 'Deja vu' bukanlah satu kebolehan seseorang mampu meramal masa depan, tetapi dianggap satu kecelaruan memori yang berlaku.
Setakat ini belum dapat dipastikan kenapa perkara ini berlaku tetapi penyelidik berpendapat deja vu berlaku disebabkan berlakunya pertindihan di antara cara otak kita menyimpan memori jangka panjang dan jangka pendek.
Ketika deja vu berlaku, secara teori otak kita telah pun menyimpan apa yang sedang kita lalui ke dalam memori, lebih pantas berbanding bahagian otak yang memproses kesedaran kita mampu memproses apa yang sedang kita lalui. Ini menyebabkan kita merasakan seolah-olah kita pernah melalui situasi tersebut.
Apa itu Jamais Vu
Jamais vu pula membawa makna "tak pernah melalui" adalah fenomena yang berlawanan dengan deja vu. Sekiranya deja vu menjadikan kita rasa sesuatu situasi itu pernah dilalui sebelum ini, jamais vu pula menyebabkan kita seakan-akan lupa terhadap sesuatu yang telahpun kita lalui atau ketahui sebelum itu.
Jamais vu kebiasaannya berlaku melibatkan perkataan, orang atau tempat, di mana kita sepatutnya sudah mengetahui perkara tersebut kerana menjadi elemen lazim dalam hidup kita namun tidak dapat mengenali elemen itu buat sementara waktu.
Penyelidik berpendapat jamais vu berlaku kerana wujud kelambatan atau kelembapan pada otak untuk memproses perkara yang sepatutnya menjadi kebiasaan kita setiap hari, yang digelarkan 'brain fatigue' atau keletihan otak. Harus difahami jamais vu berbeza dengan tindakan kita terlupa sesuatu perkara, yang kerap berlaku pada kita.
Apa itu Presque Vu
Presque vu bermakna "samar-samar pernah dilalui" atau lebih kerap digelarkan sebagai 'the tip of the tongue phenomenon' berlaku apabila kita tahu sesuatu, tetapi kita tidak dapat mengingati sepenuhnya apa yang kita tahu.
Sebagai contoh, kita sebenarnya sudah tahu sesuatu nama tempat seperti nama kawasan rumah, tetapi apabila saat kita memerlukan maklumat tersebut otak kita hanya mampu mengeluarkan cebisan memori kita seperti huruf awalan atau sebutan awal nama tempat tersebut, tanpa kita mampu mengingati keseluruhan nama tempat itu.
Apabila itu berlaku, minda kita akan terus berusaha untuk mencari semula memori kita tersebut bagi melengkapkannya, sehingga mengganggu pemikiran kita. Hanya selepas berjaya mengingat atau dibantu untuk mengingat, barulah kita merasa lega kerana 'bebas' daripada berusaha untuk mengingat kembali.
Apa itu Deja Reve
Deja reve membawa maksud "pernah dimimpikan" merupakan satu keadaan unik di mana seseorang itu menyedari realiti yang sedang dia lalui, pernah berlaku dalam mimpinya sebelum itu.
Ini menyebabkan dalam minda individu itu terdetik yang dia pernah melihat situasi yang sama cuma dalam bentuk mimpi. Fenomena ini masih lagi dalam kajian dan penyelidik berpendapat kajian yang lebih mendalam mampu membantu kita memahami apakah rahsia di sebalik kejadian mimpi yang kerap kita alami.
Apa yang dapat kami kongsikan - setakat ini tidak ada lagi bukti saintifik yang meletakkan fenomena deja reve sama seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Namun, bagi sesetengah pihak - mereka percaya sesetengah individu memang mempunyai kebolehan pra-kognitif yang memberikan mereka keupayaan melihat sesuatu lebih awal dalam mimpi. (rujukan)
Apa itu Deja Entendu
Deja entendu adalah fenomena di mana seseorang itu merasakan dia pernah mendengar sesuatu sebelum itu, walaupun itu adalah kali pertama dia mendengar bunyi tersebut. Deja entendu membawa makna "pernah didengari."
Deja entendu kebiasaannya terjadi dengan lagu atau melodi, di mana kita mendengar lagu yang kita rasakan macam kenal tetapi kita langsung tak pernah mendengar lagu tersebut. Walaupun begitu, kita sendiri tidak dapat membuktikan pernah atau tidak kita mendengar bunyi tersebut sebelum ini disebabkan kita tidak pasti atau mungkin juga kita yang tersilap sangka.