Ketika artikel ini ditulis, tren bermain Beyblade di negara kita berada pada tahap kemuncak. Di mana-mana sahaja kedai menjual Beyblade sama ada versi tiruan atau versi asli, yang datang dari Jepun.
Banyak penjual juga menganjurkan pertandingan Beyblade untuk disertai oleh kanak-kanak, mendapat sambutan menggalakkan. Penulis sendiri sempat melihat satu penganjuran kecil yang mendapat penyertaan lebih 150 'bladers' - istilah yang digunakan untuk mereka yang bermain permainan ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Membesar dengan Dash Yankuro semasa kecil, penulis merasakan agak penting juga sebenarnya ibu bapa dapat memahami serba sedikit tentang 'sukan Beyblade' ini. Jadi hari ini kami kongsikan tulisan ringkas berkenaan Beyblade, agar lebih ramai dapat memahami permainan yang menjadi kegilaan ramai kanak-kanak dan remaja.
Apa itu Beyblade?
Beyblade adalah sejenis permainan menyerupai gasing yang diperkenalkan pada tahun 1990 oleh dua orang pereka, Hiro Morita dan Takafumi Aduchi di Jepun. Sama seperti kita yang mempunyai gasing tradisional, masyarakat Jepun juga mempunyai gasing mereka sendiri. Itulah inspirasi bagi mereka berdua mencipta Beyblade. Rujuk soalan di bawah.
Kenapa namanya Beyblade?
Jangan ingat nama itu tak ada asal-usulnya. Ada! Nama Beyblade sebenarnya datang daripada gabungan dua perkataan iaitu 'Beigoma' dan 'Blade.'
'Blade' kita sudah tahu merujuk kepada besi yang tajam digunakan untuk bertarung tetapi apa itu Beigoma? Beigoma adalah sejenis gasing tradisional masyarakat Jepun bersaiz 3 cm yang biasanya dihias dengan ringkas. Beigoma adalah evolusi kepada sebuah lagi gasing tradisional yang digelarkan 'koma.'
Pada mulanya, beigoma diperbuat daripada kulit kerang yang diisikan dengan pasir, sebelum disalut dengan lilit bagi memadatkannya. Kemahiran pertukangan yang bertambah baik membolehkan Beigoma dihasilkan menggunakan besi yang ditempa.
Walau bagaimanapun, populariti Beigoma semakin lama semakin menurun pada abad ke 20 disebabkan kemunculan lebih banyak permainan lain. Populariti Beyblade sedikit sebanyak membantu memperkenalkan semula Beigoma kepada masyarakat Jepun.
Adakah wujud versi Beyblade lebih awal?
Walaupun Beyblade bertanggungjawab mempopularkan gasing moden pada dunia, telahpun wujud satu permainan lain yang dinamakan Battling Tops, diperkenalkan oleh legenda syarikat permainan Amerika Syarikat bernama Ideal Toy Company.
Berbeza dengan Beyblade yang menggunakan sistem motor manual untuk memusingkan gasingnya, Battling Tops masih lagi menggunakan tali. Apa yang menarik, cara permainan Battling Tops sangat mirip dengan mainan tradisional masyarakat kita iaitu gasing pangkah.
Banyak persamaan yang ketara di antara Battling Tops dan Beyblade. Kedua-duanya menggunakan gelanggang khas untuk pertarungan. Selain itu, terdapat lapan jenis gasing dikeluarkan, dengan setiap gasing Battling Tops diberikan nama sendiri yang unik bergantung kepada 'watak' dan warna gasing itu.
Bagaimana Beyblade dimainkan?
Setiap perlawanan Beyblade memerlukan dua orang Bladers berlawan sesama sendiri. Pertarungan diadakan dalam format 3 pusingan dengan pemenang ditentukan oleh pihak yang mendapat 3 mata terlebih dahulu.
Skor untuk setiap pusingan ditentukan menerusi beberapa cara. Matlamat utama perlawanan Beyblade ada tiga - menjadi pemilik Beyblade yang berpusing paling lama, menolak pihak lawan keluar gelanggang atau yang paling ditakuti; berjaya memecahkan gasing lawan.
Berbeza dengan permainan gasing pangkah di mana gasing yang pecah sudah tidak lagi boleh digunakan, Beyblade yang pecah (atau digelarkan Burst) tidaklah benar-benar pecah, tetapi hanya tercabut dan boleh disambung semula.
Sistem skor Beyblade
Pemenang setiap pusingan akan diberikan mata dan pihak yang berjaya mengumpul 3 mata akan diisytihar sebagai pemenang.
Pihak yang Beyblade nya bertahan lebih lama atau berjaya menolak lawannya keluar gelanggang, akan dihadiahkan 1 mata. Pihak yang berjaya memecahkan Beyblade lawannya pula akan diberikan 2 mata sebagai bonus, kerana power sangat.
Selain daripada pertarungan secara solo, perlawanan Beyblade juga boleh dijalankan dengan format 3 bladers lawan 3 bladers lain. Setiap peserta akan dipasangkan dengan seorang lawan dan pasukan yang berjaya memenangi 2 kali perlawanan akan dinobatkan sebagai pemenang.
Ada tak kontroversi melibatkan Beyblade?
Jangan terkejut pula permainan kanak-kanak ini sudah banyak kali menimbulkan kontroversi. Sejak pengenalannya, Beyblade kerap kali menimbulkan masalah di sekolah - mengganggu tumpuan murid serta menimbulkan banyak pergaduhan.
Dalam sebuah kes di Merseyside, Liverpool pada tahun 2002 - seorang penjaga kepada murid cedera selepas matanya, selepas anaknya melancarkan Beyblade ke atas meja yang membuatkan permainan itu meloncat. Insiden itu menyebabkan pihak sekolah pelajar tersebut mengambil keputusan mengharamkan murid sekolah daripada membawa permainan itu ke sekolah.
Kontroversi berkenaan masalah Beyblade tetap berlaku sehingga kini. Pada 17 April 2019, sebuah sekolah di Melbourne terpaksa mengecewakan hati ratusan pelajar mereka yang mengalami kegilaan Beyblade.
Antara masalah yang dihadapi adalah isu kehilangan Beyblade oleh pelajar, yang menyebabkan banyak masalah pada pengurusan. Kes-kes kecurian Beyblade juga semakin menjadi-jadi. Walau bagaimanapun, masalah yang paling besar dihadapi pihak sekolah adalah masalah pertukaran dan penjualan Beyblade di kalangan pelajar yang tidak terkawal.
Beberapa orang pelajar mendakwa mereka ditipu selepas bersetuju untuk bertukar-tukar bahagian pada Beyblade di kalangan rakan.
Perlu ke saya beli Beyblade untuk anak saya?
Terpulanglah pada anda sebagai ibu bapa, pakcik atau makcik, atuk atau nenek. Bermain Beyblade memang menyeronokkan namun penulis berpendapat kosnya agak tinggi untuk mendapatkan Beyblade versi asli. Mencecah puluhan atau ratusan ringgit, untuk sesuatu yang sangat mudah hilang.
Jika anda nak beli Beyblade, beli yang tiruan sudah memadai. Ada beberapa jenama tiruan seperti 'SB' atau 'TD' yang penulis rasakan berkualiti serta tidak jauh bezanya dengan Beyblade yang asli, keluaran jenama Takara Tomy. Tidak dapat dinafikan Beyblade asli lebih kemas serta lebih tegap pemasangannya, cuma bila Beyblade dah berpusing apa sangatlah bezanya.
Pastikan anda tidak menjadi mangsa sesetengah penjual yang menjual dengan harga yang sangat tinggi ketika ini, walaupun versi tiruan. Sebelum tren Beyblade kembali meletup, purata harga Beyblade hanyalah sekitar RM12-RM19 tetapi kini ada yang mencecah RM19 ke RM35.
Pastikan anak anda bermain agak jauh daripada peralatan kaca seperti televisyen atau almari. Kita tak mahulah anda menangis pula disebabkan Beyblade.