Tahukah anda, satu kajian terbaru mendapati kebarangkalian berita palsu disebarkan adalah 70 peratus lebih tinggi berbanding berita sahih? Ini bermakna manusia a.k.a netizen sememangnya lebih suka membawang atau dalam ertikata lain, lebih suka berkongsi perkara yang belum dibuktikan kebenaran dan kesahihannya.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science itu menganalisis penyebaran pelbagai jenis berita (sama ada palsu atau benar) oleh enam organisasi semakan fakta dari tahun 2006 hingga 2017. Keputusan analisis mendapati berita palsu berkaitan politik adalah paling cepat disebarkan melalui Twitter berbanding berita lain seperti bencana alam atau serangan pengganas.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun akaun Twitter yang mula mencetuskan berita palsu itu tidak mempunyai pengikut yang ramai dan jarang-jarang menghantar tweet, berita palsu yang dimuat naik tetap akan tersebar dengan cepat.
Para penyelidik pada mulanya mengumpulkan senarai berita yang telah disahkan benar atau palsu daripada enam organisasi yang memerika kesahihan fakta iaitu Snopes, PolitiFact, FactCheck, Truth or Fiction, Hoax Slayer dan Urban Legends.
Kemudian, mereka menggunakan akses kepada keseluruhan arkib Twitter untuk mencari sebutan mana-mana cerita ini di laman media sosial. Setiap kali mereka menemui satu sebutan, mereka mengesan pula sama ada ia adalah tweet yang asal, balasan kepada sesuatu tweet ataupun retweet.
Dengan itu, mereka dapat menjejak permulaan tweet tersebut dan mengenal pasti bagaimana ia disebarkan melalui Twitter. Dataset mereka merangkumi 126,000 berita yang ditweet oleh 3 juta orang sebanyak lebih daripada 4.5 juta kali.
Apa yang memeranjatkan adalah, analisis mereka mendapati berita dengan fakta yang sahih hanya tersebar kepada kurang daripada 1,000 orang sahaja manakala berita palsu paling tinggi tersebar kepada seramai hampir 100,000 orang. Ini bukan disebabkan tuan punya akaun Twitter itu adalah seorang yang berpengaruh tetapi ia berpunca daripada sikap manusia yang suka berkongsi benda "menarik" dan "baru."
Jika dikaji penggunaan sosial media, para penyelidik itu mendapati maklumat mengarut adalah lebih bernilai daripada maklumat berlebihan. Menurut salah seorang penulis kajian itu iaitu Profesor Sinan Aral dari Massachusetts Institute of Technology, mereka yang menyebarkan berita sampah ini akan memperolehi status sosial yang tinggi kerana mereka "serba tahu" dan sentiasa mempunyai maklumat dalaman.
Untuk mengkaji hipotesis itu, pasukan penyelidik Profesor Aral menganalisis kandungan emosi sesebuah berita dan bagaimana manusia bertindak balas kepadanya. Seperti yang dijangka, berita palsu lebih membuatkan mereka teruja dan menimbulkan rasa meluat.
Akhir sekali, para saintis itu menggunakan algoritma pengesan robot dan mendapati robot membantu penyebaran kedua-dua berita benar dan palsu pada kadar yang sama. Jadi, perbezaan ketara dalam sebaran antara berita sahih dan berita tipu ini bukan berpunca daripada robot internet dan ia adalah tanggungjawab manusia 100%.
Selepas ini, Prof. Aral dan rakan sepasukannya akan cuba untuk lebih memahami punca penyebaran berita palsu ini dan mencari jalan penyelesaian. Beliau mencadangkan sumber berita dilabelkan berdasarkan fakta (seperti NewsGuard) atau meminta syarikat media sosial meneliti sendiri bagaimana mereka boleh membina platform atau algoritma dalam membanteras penyebaran berita palsu. Facebook misalnya sudahpun memulakan usaha mengekang perkongsian berita yang tidak benar menerusi laman itu.
Jadi, sekiranya anda terbaca apa-apa berita melalui blog atau media sosial, jangan terus beriya-iya ingin menjadi orang pertama yang berkongsi berita tersebut. Pastikan kesahihannya terlebih dahulu, barulah dikongsi. Janganlah kita menjadi punca tersebarnya fitnah akibat keterujaan dalam menjadi manusia "first".
Hashtag "share dari group sebelah" tidak akan boleh memadam dosa anda dalam berkongsi penyebaran fitnah itu. Apatah lagi jika anda terus berkongsi sekadar membaca tajuk, tanpa mengetahui isi sebenar artikel.
Untuk mengetahui cara terbaik membezakan berita palsu dengan fakta, boleh baca dengan lebih lanjut di sini.
Jadilah netizen yang lebih cerdik ya.
Sumber dan rujukan:
1. Science
2. Adweek
3. Data Society
4. Sinan Aral
5. TheVerge