Ramai di antara kita cukup risau sekiranya kita mula menunjukkan tanda-tanda semakin mudah melupakan sesuatu, sehingga benar-benar jadi seorang pelupa.

Susah hati kan bila terjadi situasi di mana kita terlupa perkara-perkara mudah, seperti kat mana letaknya barang atau nama individu yang kita kenali? Secara saintifik, wujud beberapa kaedah ringkas yang boleh membantu kita memperkuatkan daya ingatan kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima langkah yang dibuktikan melalui sains, mampu memperkukuhkan kekuatan minda kita untuk mengingati sesuatu dan sentiasa pantas mengingati balik apa saja maklumat yang perlu.

1. Bersenam secara ringan

senaman cergaskan pemikiran

Beberapa kajian yang dijalankan telahpun membuktikan bahawa kesan senaman, tak perlu senaman berat pun cukup sekadar senaman berjalan mampu meningkatkan daya kekuatan minda kita dalam dua cara.

Yang pertama, keupayaan untuk mengingati semula sesuatu (memory recall) dan yang kedua, keupayaan kognitif kita dalam mentafsir apa yang berlaku di sekeliling kita

Secara saintifiknya, apabila kita bersenam tubuh kita akan beranggapan kita sedang berhadapan dengan stres, lalu membebaskan protein yang digelarkan sebagai BDNG atau 'brain derived neurotrophic factor' yang akan membaiki elemen dalam otak kita yang mengawal memori dan kebolehan berfikir. (rujukan)

2. Tidur kena cukup

tidur kuatkan ingatan

Tidur merupakan tabiat paling penting dalam hidup setiap individu yang membantu dalam menjaga daya ingatan anda. Ini kerana waktu tidurlah waktu di mana proses memori-memori anda akan distabilkan ke dalam minda.

Tempoh waktu tidur tu tak perlu panjang, cukup sekadar tidur sekejap untuk berehat. Dari segi saintifiknya, seseorang yang tidak cukup tidur memang akan mengalami kesukaran untuk mengingati sesuatu yang sudah dia pelajari.

Semasa tidur, otak seseorang akan 'terputus' daripada hubungan dengan saraf yang mengawal tubuh tetapi tetap terus aktif. Ketika itulah memori-memori dalam bentuk episod yang disimpan di bahagian hippocampus akan dipindahkan ke bahagian korteks, sebagai memori jangka masa panjang. (rujukan)

3. Amalkan meditasi

amalkan meditasi

Anda sedar tak bahagian otak kita memproses memori dengan dua cara - yang pertama mengingati sesuatu secara sementara dan apabila maklumat itu dirasakan penting, barulah otak kita akan menyimpannya untuk jangka masa panjang?

Itulah pendapat yang dikeluarkan beberapa orang penyelidik yang mengkaji hubungan otak dengan kemampuan manusia mengingati sesuatu. Salah satu cara paling mudah untuk anda melatih minda anda dalam mempunyai memori sementara yang cekap, adalah dengan mengamalkan meditasi.

Kajian menunjukkan, apabila kita melakukan meditasi otak kita akan berhenti bekerja dan ini akan membuatkan kita lebih fokus. Kajian menunjukkan apabila seseorang belajar melakukan meditasi secara konsisten selama 2 minggu, membantu meningkatkan keupayaan seseorang menjawab peperiksaan atau ujian. (rujukan)

4. Amalkan tabiat minum kopi

minum kopi bantu cergas minda

Anda seorang penggemar kopi? Kajian pada tahun 2014 oleh penyelidik di John Hopkins University membuktikan bahawa bahan kafein yang ada dalam kopi membantu meningkatkan keupayaan otak kita dalam tempoh 24 jam selepas diminum.

Bahan kafein memang sudah diketahui mampu memberikan kesan pada otak dan kajian kali pertama menemui kesan positif tabiat minum kopi, dengan kemampuan seseorang memperkuatkan daya ingatannya dalam jangka masa panjang.

Peserta kajian yang meminum bahan yang mengandungi kafein didapati mampu mengingati corak atau bentuk yang berbeza dengan lebih baik, berbanding mereka yang tidak mengambil bahan tersebut. (rujukan)

5. Makan beri membantu menghalang nyanyuk

makan strawberry elak jadi pelupa

Penyakit nyanyuk memang satu gejala yang sangat kita khuatiri berlaku pada kita, bila kita dah berusia tua kan? Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Harvard University, tabiat mengambil buah-buahan beri seperti strawberry dan blueberry mampu melambatkan proses kehilangan memori.

Bahan polyphenolic yang terdapat dalam kedua-dua buah tersebut, mempunyai kandungan bahan anthocyanins yang menambahbaik kemampuan otak kita menghantar isyarat-isyarat neuron.

Selain daripada membantu memperkuatkan memori bagi golongan berusia, pengambilan makanan itu juga membantu mereka mengurangkan rasa kemurungan atau depresi, membolehkan mereka rasa lebih gembira dan berpuas hati dengan hidup. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)