Jika anda pergi ke bahagian aplikasi permainan di PlayStore mahupun AppStore, anda mungkin sudah biasa terlihat senarai puluhan 'brain games' atau permainan yang dikatakan boleh melatih otak supaya menjadi lebih cerdas.
Malah, ada pembangun perisian yang mendakwa aplikasi atau permainan ciptaan mereka boleh meningkatkan daya ingatan, perhatian dan tumpuan pengguna.
Persoalannya, adakah brain games sebegini sememangnya dapat membantu menjadikan seseorang lebih bijak dan hebat?
BESARKAN TEKS A- A+
Alah bisa tegal biasa
Konsepnya sama seperti melakukan senaman. Sekiranya anda membuat senaman squat misalnya setiap hari, anda hanya akan membina otot-otot di bahagian kaki. Senaman itu tidak banyak membantu otot di bahagian lain. Ia juga tidak akan meningkatkan tahap kecergasan tubuh anda secara keseluruhan.
Begitu juga dengan otak. Sesetengah permainan mungkin boleh membantu melatih bagi tujuan tertentu namun ia tidak akan memberi kesan penambahbaikan pada keseluruhan sistem saraf secara amnya.
Menurut seorang ahli sains neuro kognitif, Profesor Michael Thomas dari University London menjelaskan bahawa sememangnya terdapat perubahan yang berlaku dalam otak setiap kali anda menjadi mahir dalam pusingan-pusingan permainan. Walau bagaimanapun, ia hanya akan membuatkan anda lebih cekap menyelesaikan tugasan tertentu sahaja dan tidak akan menjadikan anda seorang cendekiawan.
Terdapat permainan yang membantu kita mengenali dan menghafal bendera negara di dunia, contohnya. Jika anda berusaha dan berlatih bermain dengan gigih, anda mungkin akan berjaya mengingati warna dan rupa setiap bendera. Namun, pada masa yang sama, anda tetap mempunyai masalah mengingati senarai barang keperluan dapur yang perlu dibeli. Jadi, ini membuktikan brain games hanya meningkatkan prestasi anda dalam permainan tersebut sahaja dan bukan dalam hal lain. Kenyataan ini turut dipersetujui oleh Profesor Robert Sternberg dari Cornell University.
Beberapa kajian metasains terkini telah menyimpulkan bahawa tiada bukti yang permainan otak ini dapat membantu mengekalkan fungsi otak bagi orang dewasa pertengahan usia. Kajian-kajian ini juga tidak dapat menentukan sama ada latihan otak dapat mencegah demensia bagi individu yang sudah mempunyai masalah kecil dengan kognisi.
Kualiti penyelidikan berkaitan permainan otak yang ada pada hari ini sebenarnya tidak begitu lengkap dan tidak dapat memberikan satu kesimpulan yang boleh diharapkan. Sebaliknya, penemuan dan bukti yang menghubungkaitkan pendidikan formal dengan tahap kecerdasan adalah jauh lebih kukuh dan boleh dipercayai.
Bagaimana pula dengan permainan video?
Dr. Nachshon Meiran, seorang pakar sains kognitif dari Ben Gurion University of the Negev menjelaskan terdapat beberapa kontroversi dan percanggahan pendapat dalam bidang kajian yang diceburinya kerana terdapat juga beberapa laporan yang menyatakan permainan untuk otak ini juga adalah berguna sebagai subjek terbitan jurnal sewajarnya.
Salah satu contoh yang menarik perhatian media beberapa tahun lalu adalah kajian mengenai permainan video. Pada tahun 2013, sebuah penyelidikan mendapati bahawa tempoh bermain permainan video selama 12 jam boleh memperbaiki penguasaan bacaan pada kanak-kanak disleksia dengan meningkatkan perhatian visual dan keupayaan untuk mendapatkan maklumat bermakna dari persekitaran.
Hasil kajian tersebut mendapati pembacaan kanak-kanak menjadi lebih pantas tanpa mengorbankan ketepatan bacaan. Bahkan, kumpulan penyelidik tersebut turut melaporkan bahawa permainan video mampu mencegah disleksia sebelum ia berkembang. Pada tahun 2017 pula, mereka menerbitkan penyelidikan yang mempunyai dapatan yang seakan-akan sama dengan kajian terdahulu namun menggunakan kanak-kanak berbahasa Inggeris sebagai subjek kajian.
Walau bagaimanapun, sebelum anda membiarkan anak anda berlama-lama menghadap skrin, anda perlu tahu bahawa kita tidak boleh berpegang kepada penemuan kajian tersebut bulat-bulat. Hal ini demikian kerana kajian tersebut hanya membandingkan kanak-kanak yang bermain video aksi dengan bukan aksi. Justeru, ramai penyelidik lain menyangkal dengan mengatakan kajian itu tidak mempunyai piawaian yang diperlukan dan sepatutnya menguji keberkesanan permainan-permainan ini berbanding rawatan psikoterapi secara bersemuka.
Tiada kajian berkualiti tinggi
Sehingga ke hari ini, masih belum ada kajian yang benar-benar berkualiti dijalankan ke atas brain games. Kebanyakan penyelidikan yang dibuat hanya menggunakan bilangan subjek yang kecil, generalisasi yang boleh dipersoalkan, pelaporan yang lemah dan kekurangan pengesahsahihan bebas.
Walaupun syarikat-syarikat pengeluar aplikasi dan permainan ini dengan bangga mendakwa produk mereka disokong oleh sains neuro, Prof. Thomas masih ragu-ragu. Menurutnya, dakwaan tersebut hanyalah sekadar muslihat untuk mengaburi mata supaya pelanggan berasa lebih tertarik.
Tidak dinafikan bahawa terdapat juga nilai-nilai berguna daripada brain games seperti memberi rasa pemerkasaan selain mendapat satu kepuasan. Risiko yang membawa kepada bahaya juga adalah rendah. Namun, sekiranya anda meluangkan terlalu banyak masa bermain brain games ini, anda mungkin terlepas peluang untuk membuat aktiviti yang benar-benar boleh membantu meningkatkan kecerdasan otak seperti bersenam, melakukan aktiviti fizikal, menghafaz Al-Quran, membuat kerja sekolah dan sebagainya.
Pendek kata, anda sebenarnya hanya perlu kekal aktif secara mental, fizikal dan sosial untuk menjaga kesihatan otak secara umum. Jangan terlalu berharap pada aplikasi brain games untuk membantu meningkatkan IQ dan menjadikan anda lebih pintar. Main untuk seronok-seronok saja, tiada masalah.