Hidup sebagai seorang bekas banduan bukanlah mudah memandangkan stigma masyarakat yang memandang serong terhadap mereka. Ada yang disisihkan keluarga sendiri.
Mahu menjalani kehidupan seperti manusia biasa juga bukanlah perkara mudah. Dengan cop “bekas banduan”, tidak ramai majikan yang mahu memberikan peluang kedua kepada mereka. Keadaan ini ada kalanya memaksa segelintir daripada kembali melakukan jenayah kerana ketiadaan duit unuk menanggung hidup sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain itu, bagi banduan yang sudah menghabiskan masa yang agak lama di dalam penjara, mereka juga mengalami kejutan perubahan dunia luar sebaik keluar dari tirai besi yang menjadi "rumah" bagi mereka.
Rekod tahanan paling lama di Malaysia
Menurut rekod, banduan yang paling lama meringkuk dalam penjara di Malaysia adalah hampir 31 tahun. Salleh Talib dan Jamil Ahmad merupakan 2 orang bekas banduan yang telah dibebaskan pada tahun 2006 setelah mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada ketika itu, Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Kedua-dua mereka telah “mendiami” penjara selama 30 tahun 11 bulan 9 hari. Kedua mereka telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1972 kerana kesalahan melakukan jenayah rompakan bersenjata api pada tahun 1976.
Peristiwa bersejarah pembebasan mereka pada tahun 2006 lalu mendapat perhatian luas daripada pihak media di Malaysia. Ketika dibebaskan, Jamil Ahmad berusia 58 tahun sementara rakannya Salleh Talib pula berusia 59 tahun.
Ketika ditangkap, Salleh Talib berusia 27 tahun sementara rakannya, Jamil Ahmad pula berusia 26 tahun. Kedua-duanya telah ditangkap dalam sebuah cubaan merompak menggunakan senjata api dalam satu kejadian di Alor Setar. Salleh Talib kemudiannya dipenjarakan di Penjara Taiping, Perak manakala Jamil dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor
Desakan hidup yang memaksa melakukan jenayah
Kebiasaanya, banduan yang melakukan rompakan atau mencuri adalah mereka yang melakukannya atas desakan hidup atau ingin merasa kesenangan hidup. Itulah yang berlaku pada kedua individu ini. Salleh Talib telah mengambil keputusan untuk keluar dari kampung halamannya untuk mencari hidup lebih baik.
Keadaan ini diambil akibat kesukaran mencari pekerjaan di Baling. Malangnya, niat asalnya untuk mengubah hidup dengan mencari pekerjaan di Kuala Nerang umpama keluar kandang harimau, masuk mulut buaya. Lama-kelamaan, akibat terdesak mahu mendapatkan duit dia mula melakukan jenayah-jenayah seperti mencuri, merompak dan pecah masuk premis perniagaan.
Sudah terjebak dengan jenayah sejak kecil
Sementara itu, Jamil Ahmad yang mesra disapa Pak Long Jamil dalam satu ceramahnya pernah mendedahkan bahawa penglibatannya dalam jenayah bermula sejak daripada zaman remajanya lagi. Dek kerana pekerjaan bapanya yang seringkali berpindah randah, dia terpaksa berkali-kali pindah sekolah. Keadaan ini menyebabkannya persekolahannya terjejas.
Semenjak tingkatan 1 lagi, Pak Long Jamil sudah mula bercampur dengan rakan-rakan yang gemar ponteng sekolah dan mencuri ikan daripada para nelayan. Lama-lama, keseronokan itu mulai timbul sehingga menyebabkannya terjebak pula dengan kegiatan pecah rumah memandangkan habuannya lebih lumayan.
Apabila usianya menginjak 18 tahun, dia mengikut pula bapanya berhijrah ke Pulau Pinang. etikak itu sekitar 1970-an, kumpulan gangster memang sudah wujud dan kuat ketika itu. Pak Long Jamil juga tidak terkecuali dan dia memiliki kumpulannya sendiri. Lama-kelamaannya, dia mula terbabit dengan perniagaan pengedaran dadah.
Persaingan daripada kumpulan gangster yang lain menyebabkannya berazam memperkukuhkan kedudukan kumpulannya dengan kelengkapan senjata api. Pemilikan senjata api ini juga membolehkannya melakukan jenayah rompakan yang lebih besar.
Tidak lama kemudian, Pak Long Jamil bertemu pula dengan Salleh Taib sebelum mereka berdua merancang melakukan rompakan bersenjata di Alor Setar. Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Mereka berdua telah ditangkap dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan kesalahan rompakan secara bersenjata.
Kehidupan selepas dibebaskan
Salleh Talib telah meninggal dunia pada tahun 2012 ketika usia 63 tahun akibat sakit tua selepas 6 tahun dibebaskan dari penjara Taiping kerana sakit tua. Sementara itu, Jamil Ahmad pula sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan. Walau bagaimanapun, dia kesal kerana tidak dapat berjumpa ibu bapanya yang sudah meninggal dunia ketika dia dibebaskan.
Dengan saki baki usia yang ada, Pak Long Jamil tidak segan silu untuk mengakui siapa dirinya yang sebenar. Kadang-kala, dia sudi berkongsi kisahnya dengan anak-anak muda dalam ceramah-ceramah jemputan dan memberi peringatan kepada mereka agar tidak melakukan kesilapan yang sama sepertinya.
Pak Long Jamil turut mengakui kesukaran menjalani kehidupan setelah menghabiskan tempoh yang agak lama di dalam tirai besi. Jika dahulunya makan minum disediakan, kini dia terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkannya. Malah, dia juga menghadapi masalah penerimaan masyarakat setempat.
Semoga kisah kedua individu ini boleh diambil pengajaran buat kita semua.
Kredit: