Sekiranya anda pernah pergi ke rumah-rumah kampung atau orang-orang tua, anda mungkin akan dapat melihat gambar Kaabah tergantung di dinding rumah. Ianya menggambarkan betapa tingginya harapan orang dahulu untuk menjejakkan kaki ke Masjidil Haram.
Bagi orang Muslim, menunaikan ibadah Haji merupakan rukun Islam yang ke 5 dan satu kewajipan bagi yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, perbelanjaan yang besar untuk ke sana biasanya akan menyebabkan seseorang individu itu terpaksa memperuntukkan kesemua wang simpanannya untuk menunaikan ibadah Haji ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Akibatnya, setelah pulang daripada Haji ada yang terpaksa kembali hidup susah malah ada yang terpaksa menggadaikan tanah untuk meneruskan kehidupan. Perkara ini merupakan realiti yang sangat menyedihkan.
Idea bernas Ungku Abdul Aziz
Institusi Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 1962. Ianya merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan umat Islam berhubung perjalanan menunaikan Haji di Tanah Suci.
Perjalanan ke Ka'abah secara amnya memerlukan biaya yang besar dan biasanya akan menggunakan sebahagian besar daripada wang simpanan yang disimpan. Akibatnya, nasib ekonomi umat Islam terutamanya selepas melaksanakan haji sangat menyedihkan dan hal ini memberikan implikasi buruk terhadap pembangunan ekonomi dan pertumbuhan negara.
Selama bertahun-tahun lamanya, perkara ini berlaku namun tiada tindakan yang mampu dilakukan oleh kerajaan pada waktu itu. Namun, segalanya berubah selepas Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid dari Universiti Malaya seorang ahli akademik yang terkenal dalam bidang ekonomi luar bandar, telah menyampaikan idea untuk menubuhkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).
Penubuhan ini bertujuan untuk membantu umat Islam menunaikan haji ke Mekah tanpa memusnahkan masa hadapan mereka dan mengelakkan mereka daripad kesusahan kewangan apabila mereka kembali semula ke tanah air sebaik sahaja menunaikan Haji. Oleh itu, penubuhan TH bertujuan untuk menyediakan kemudahan kedua-duanya - untuk menyelamatkan dan melabur secara menguntungkan.
Cara simpanan wang yang tidak menguntungkan
Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan pada tahun 1950-an, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz mendapati majoriti orang Muslim pada ketika membuat simpanan kewangan semata-mata kerana mahu mengerjarkan Haji.
Biasanya mereka hanya menyimpan wang di bawah bantal, bawah tilam, bawah lantai, dalam bekas yang ditanam dan sebagainya. Ada juga yang membeli tanah atau binatang ternakan yang kemudiannya akan dijual bagi menampung perbelanjaan ke Mekah. Cara penyimpanan sebegini bukan sahaja menjejaskan ekonomi luar bandar tetapi juga mempengaruhi pembangunan negara.
Cara penyimpanan tradisional seperti ini diamalkan memandangkan setiap Muslim mahu memastikan wang simpanan mereka benar-benar bersih daripada unsur riba apabila pergi mengerjakan Haji kelak. Hal ini disebabkan simpanan wang di bank dan institusi kewangan pada ketika itu masih belum bebas daripada unsur riba dan Bank Islam masih belum lagi wujud.
Oleh itu, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz mencadangkan bakal jemaah Haji perlulah menyimpan di bank atau institusi kewangan yang bebas riba tetapi pada masa yang sama tetap menjana keuntungan. Keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan sedemikian akan dikembalikan dalam bentuk perkongsian keuntungan atau dividen kepada pendeposit.
Cadangan itu hanya boleh dilaksanakan pada tahun 1962 apabila Sheikh Mahmoud al-Shaltut, Rektor Universiti Al-Azhar, Kaherah melawat Malaysia. Selepas mengkaji kertas cadangan itu, beliau meluluskan rancangan itu sebagai salah satu cara yang boleh diterima oleh Islam dan akan memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia dan menggesa pelaksanaannya dilakukan segera.
Penubuhan Tabung Haji
Mesyuarat pertama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji di Kuala Lumpur pada tahun 1963
Idea bernas ini akhirnya menjadi realiti apabila Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) telah ditubuhkan pada tahun 1969. LUTH adalah sebuah agensi hasil gabungan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) dan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji (yang ditubuhkan lebih awal pada tabu 1951).
Walaupun sudah mencapai kejayaan membanggakan pada ketika itu, pendekatan pelaburan TH pada masa itu kadang-kala dikritik oleh beberapa orang kerana dianggap sudah ketinggalan zaman dan perkara ini telah mendapat perhatian daripada beberapa orang pemimpin negara pada waktu tersebut.
Oleh itu, TH telah didesak untuk terus maju bukan sahaja sebagai institusi Islam yang membantu orang Muslim mengerjakan Haji, tetapi juga perlu mengembangkan dan lebih proaktif dalam pelaburannya, selaras dengan wawasan negara untuk menjadi negara perindustrian menjelang tahun 2020.
Akibat permintaan dan desakan untuk memodenkan dan juga menanamkan profesionalisme dalam pengurusan dan kakitangan, Akta Lembaga Tabung Haji 1969 (Disemak 1973) telah dipinda dan disemak semula pada tahun 1995. Bersama dengan pengecualian TH dari Skim Perkhidmatan Kerajaan dan pengenalan skim pekerjaannya sendiri, pindaan itu diharapakan dapat menjadikan TH lebih produktif dan inovatif dalam pelaburannya.
Kredit: