Tabung duit syiling berkemungkinan besar akan lenyap 10 ke 20 tahun akan datang, disebabkan oleh transisi pertukaran sistem matawang dunia ke arah bentuk digital.
Lagipun dari segi penggunaannya sendiri, duit syiling ini pun agak renyah untuk diuruskan bukan? Tabiat menabung dengan duit syiling pasti akan menjadi memori yang bakal dikenang kerana bagi kanak-kanak generasi sebelum tibanya milenium, tabung merupakan satu barangan yang sangat dibanggakan pemiliknya.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai pasti mempunyai tabung berbentuk bangunan Tabung Haji yang cukup popular. Ada juga yang menyimpan dalam tabung burung nuri Bank Rakyat dan ada juga yang menggunakan tabung gajah BSN.
Walaupun wujud bermacam jenis tabung di dunia - hanya satu bentuk sering dikatakan 'de facto standard' tabung dan sering dipaparkan dalam media khasnya media barat, iaitu tabung jenis babi/khinzir. Kenapa babi dijadikan tabung?
Asal-usul 'pygg' - sejenis tanah liat
Kita mulakan dengan asal-usul mengikut pandangan masyarakat Eropah.
Penggunaan duit syiling sebagai matawang dalam urusan jual beli dan pertukaran, menyebabkan masyarakat zaman dahulu di Eropah sekitar 600 tahun dahulu memerlukan bekas untuk menyimpan syiling mereka di rumah.
Pada era tersebut perkakasan besi agak mahal dan hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan.
Disebabkan itulah orang kebanyakan akan membeli atau membentuk sendiri bekas yang mereka gunakan, sama ada sebagai perkakas rumah, bekas simpanan dan tabung syiling; menggunakan sejenis tanah liat berwarna jingga yang digelarkan masyarakat tempatan sebagai 'pygg' atau 'pygge' - yang membawa makna 'tanah liat.'
Masyarakat Saxon di Eropah menyebut 'pygg' sebagai 'PAG' bukan 'PIG.'
Apabila berlakunya perubahan ke arah sistem tulisan mereka, huruf Y sistem sebut sebutan mereka termasuklah dalam istilah 'pygg' mula disebutkan sebagai 'ee.' Jadi korupsi sebutan berlaku dikatakan mengubah cara sebutannya.
PYGG mula disebut sebagai 'PEEG' dan cara sebutan lamanya ditinggalkan - bagi merujuk tabung tanah liat mereka.
Walaupun begitu, pendapat ini tidaklah harus anda ambil sebagai fakta.
Carian berkenaan etimologi istilah 'pygg' atau 'pygge' tidak menemui petunjuk yang kukuh berkenaan salasilah istilah tersebut, walaupun hasil carian akan membawa anda kepada banyak artikel tulisan yang mensahihkan pendapat itu.
Babi sebagai petanda nasib baik
Babi memainkan peranan yang besar dalam kepercayaan orang zaman dahulu. Masyarakat Mesir zaman kuno misalnya meletakkan babi dalam tahap yang tinggi.
Dijadikan sumber daging, pengurusan sisa sampah serta najisnya digunakan sebagai baja, babi memainkan peranan yang besar sehinggakan diangkat sebagai salah satu simbol penting masyarakat mereka.
Kaum wanita Mesir Kuno dikatakan akan menghadiahkan kalung yang diperbuat daripada silika, diukir agar menyerupai kepala seekor babi betina setiap kali tibanya perayaan tahun baru mereka.
Peranan babi sebagai satu simbol positif ini terus diangkat masyarakat Eropah zaman dahulu, khasnya masyarakat beretnik Jermanik untuk menjadikan anak babi sebagai hadiah kepada anak muda yang tamat pendidikan awal mereka.
Sama ada ada kaitan di antara persepsi masyarakat Mesir Kuno dengan kepercayaan-kepercayaan masyarakat Eropah selepas itu berkaitan babi sebagai simbol ini, tidak dapat diperjelaskan.
Apa yang kita tahu setakat ini - tabung berbentuk babi tertua di dunia telah ditemui di sebuah pekan bernama Billeben yang terletak dalam Thuringia, Jerman dipercayai dibentuk sekitar abad ke 13.
Bagaimanapun, banyak pihak menyangkal penemuan itu disebabkan oleh ketiadaan syiling yang disimpan di dalamnya semasa ditemui - menunjukkan ada kemungkinan 'tabung' yang dijumpai ada juga kemungkinannya bukan sebuah tabung.
Apa kaitan masyarakat Nusantara dengan tabung babi?
Sebuah lagi tabung berbentuk babi yang terkenal di seluruh dunia adalah sebuah tabung yang ditemui di Indonesia yang dinamakan oleh orang tempatan sebagai 'tabung kepeng' bagi menyimpan syiling berbentuk bulat dengan lubang ditengahnya.
Tabung itu yang lengkap dianggarkan dibuat ketika pemerintahan kerajaan Majapahit sekitar abad ke 14. Ada pihak yang mendakwa tabung itu merupakan tabung berbentuk babi tertua dunia - namun sama seperti beberapa dakwaan sebelum ini, kesahihannya belum dapat dipastikan.
Penemuan tabung tersebut bersama banyak tabung berbentuk lain yang telah pecah, menunjukkan masyarakat Indonesia era tersebut telah pun mengamalkan tabiat menyimpan secara peribadi.
Tabung babi yang lengkap itu merupakan satu-satunya tabung yang masih belum dipecahkan untuk dikeluarkan simpanannya, semasa ditemui.
Dalam perihal kaitan antara babi, tabiat menyimpan dan simbol babi sebagai pembawa nasib baik; ada terlalu banyak persoalan-persoalan yang belum dapat kita jawab.
Sekiranya anda baca, banyak pihak nak 'claim' mereka adalah pencetus idea di sebalik penggunaan babi sebagai bentuk tabung tak kiralah di benua Eropah, Asia dan Afrika ketika ini.
Artikel ini ditulis bukan untuk menjawab persoalan yang diajukan, sebaliknya bertujuan hanyalah untuk menjelaskan teori-teori yang ada berkenaan isu 'kenapa babi kerap dijadikan tabung?'
Apa yang kita tahu, babi sudah diangkat sebagai simbol langkah kanan sejak beribu tahun lamanya tetapi dalam era moden - kita gemar 'membabikan' orang lain sebagai satu bentuk slanga negatif.
Sejak bila babi mula dijadikan simbol unsur-unsur buruk dan celaka? Nantikan artikel khas hanya untuk menjelaskan topik tersebut.